Followers

Friday, June 24, 2005

Platform Intel

BAYANGKAN anda sedang bermain permainan video kegemaran anda bersama-sama anak anda, dalam masa yang sama di bilik lain rancangan TV kegemaran anda sedang dirakamkan.
Di bilik berlainan pula isteri dan anak anda sedang melihat gambar yang dirakamkan sewaktu bercuti baru-baru ini-semuanya berlangsung dengan lancar dan sempurna pada waktu yang sama juga pada kompu-
ter yang sama.

Bayangkan lagi anda sedang bersembang (chating) bersama kawan-kawan anda dalam masa yang sama anda sedang menggunakan dokumen pada komputer dan semua aktiviti itu dilakukan melalui komputer dan talian internet juga dalam masa yang sama.
Semua kemudahan dan keseronokan dalam satu medium pada masa yang sama itu kini ditawarkan oleh Intel (M) Sdn. Bhd. melalui dua platforms (perantara) baru mereka yang dilancarkan baru-baru ini khusus untuk aplikasi penggunaan komputer di rumah dan di pejabat.

Pengarah Pemasaran Intel, Alvin Phey berkata, kedua-kedua perantara terbaru itu digabungkan dengan chipset mikropemproses terbaru Intel, komunikasi silikon dan teknologi perisian yang setanding dengan inovasi rekaan chipset seiring dengan keperluan efektif pengguna biasa dan ahli perniagaan.
Katanya, bagi komputer untuk penggunaan di rumah, Intel telah membangunkan teknologi perantara yang dipertingkatkan dengan keseronokan hiburan termasuk keupayaan digital yang lebih meluas.
``Melalui kelebihan itu, pengguna tidak hanya menggunakan komputer untuk kerja-kerja biasa tetapi dalam masa yang sama menikmati keseronokan dari komputer tersebut melalui pelbagai cara,'' katanya.

Menurut Phey, teknologi yang dibangunkan dalam perantara tersebut termasuk pemprosesan Intel Pentium D dengan dua teras utama atau `minda' dan chipset dari siri Intel 945 Express.
Ciri-ciri itu katanya, akan menyokong kelebihan dalam medium hiburan seperti audio dan video pada keamatan yang tinggi dan kelebihan paparan grafik.
Bagi kategori baru untuk komputer dengan aplikasi pejabat pula tambahnya, Intel memperkenalkan perantara Profesional Business yang dipertingkatkan dengan sistem keselamatan syarikat, pengurusan dan kolaborasi teknologi dalam satu pakej pada harga berpatutan.

``Peningkatan ini termasuk pengenalan kepada Intel Active Management Technology (Intel AMT), yang akan menolong pengarah bahagian teknologi maklumat mengawal, meningkatkan keselamatan data, dan menganalisis sebarang masalah.
``Ia juga boleh berfungsi sama ada ketika komputer tersebut tidak digunakan atau ketika berlaku kegagalan pada cakera keras atau ketika sistem tidak beroperasi,'' ujarnya.
Menurut Phey, perantara Intel untuk aplikasi penggunaan komputer di rumah dan di pejabat itu telah menandakan era baru dalam penggunaan komputer seiring dengan peningkatan penggunaan komputer untuk tujuan bekerja, komunikasi, hiburan dan permainan.

Tambahnya, dalam pertukaran penggunaan komputer dengan cip pemprosesan 32-bit kepada 64-bit ketika ini, Intel turut memperkenalkan teknologi Intel Extended Memory 64-bit kepada semua produk desktop.
Katanya, Intel juga akan terus merevolusikan dan membangunkan kelebihan lain dalam perantara itu dari semasa ke semasa seiring dengan keperluan dan kehendak kehidupan yang serba moden.
Pada majlis pelancaran itu juga, Intel turut menunjukkan bagaimana perantara baru itu membenarkan pengguna menggunakan komputer mereka secara serentak dan menawarkan ahli perniagaan untuk meningkatkan keselamatan komputer, pengurusan sistem dan kebolehan kolaborasi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...