Followers

Wednesday, June 22, 2005

PASRAH JODOH

"SAYA sudah malas hendak fikir mengenai masalah rumah tangga lagi. Sampai bila saya ingin menunggu begitu saja? Saya juga sudah penat menangis. Jadi, lebih baiklah sekarang saya memikirkan bagaimana hendak mencari rezeki dan membesarkan anak saya saja," tegas Watie apabila bercerita mengenai perkahwinannya bersama Azhari.

Watie ternyata masih keliru dengan keadaan dirinya kini. Dia tidak pasti apakah statusnya. Masihkah dia bergelar isteri atau pun sebaliknya? Namun dia yakin, jika diikutkan hakikat kepercayaan, dia sudah pun tidak lagi bersuami. Hanya hitam putih daripada mahkamah yang belum diperoleh. Azhari, katanya, sudah lama tidak pulang ke rumah menemui dia dan anak, Ahmad Afif Danial, yang sudah pun berusia setahun sebulan. Dia tidak tahu ke mana suaminya menghilang. Pada masa yang sama Watie menerima hakikat itulah kepahitan yang terpaksa ditelannya sebagai isteri kedua.

"Saya reda dengan segala apa yang berlaku kepada saya. Saya tidak tahu apa status saya kini, masih isterinya atau tidak? Saya berasakan saya harus membawa perkara ini ke mahkamah dengan segera untuk diselesaikan. Saya memang ingin menyelesaikannya, namun dia macam langsung tidak mahu ambil peduli. "Bagaimanapun, saya tidak boleh duduk berduka seperti itu saja. Saya kena bangun semula dan meneruskan hidup. Siapa yang tidak ada masalah dalam hidup? Jadi, apa yang penting, saya harus bangkit dan sedia hadapi rintangan. Saya tidak boleh lari daripada masalah, jadi saya harus sanggup berdepan dengan dugaan yang datang," ujar Watie.

Dedah artis jelita ini, dia hanya sempat duduk sebumbung bersama suami hanya kira-kira empat bulan saja selepas bernikah. Kemudian, suaminya mula meninggalkan rumah dan kini langsung tidak mengunjungi mereka berdua. Dia sendiri sudah penat melayan pertanyaan rakan, keluarga dan wartawan mengenai kedudukan sebenar dirinya. Dia menjadi bimbang untuk mengatakan hakikat kebenaran kerana dia tidak punya kepastian. Justeru dia amat berharap, tidak lama lagi penyelesaian terhadap kemelut yang dihadapi dapat dihurai dengan membawa kes berkenaan ke muka pengadilan. Menyedari tanggungjawab yang dipikulnya kini bukan kecil, Watie nekad bekerja keras mencari rezeki halal untuk menyara kehidupan dia dua beranak. Lantas dia menerima segala tawaran berlakon yang datang, tanpa mengira bentuk watak dan drama yang diterbitkan. Bahkan dia mengaku, dia turut berlakon dalam siri Kisah Benar. "Saya tidak memilih sekarang ini. Buat apalah saya hendak memilih sangat, asalkan saya mendapat duit yang halal. Saya sedar, kehidupan saya sekarang bukannya senang sangat. Tetapi, saya masih mampu menyediakan makan minum untuk kami berdua," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita.

Bukan lakonan di televisyen saja yang Watie terima, malah wanita ini juga sudah mula berjinak-jinak dengan dunia teater. Si Tanggang menjadi gelanggang pertama untuknya menunjukkan bakat lakonan di pentas. Daripada mencuba, Watie akhirnya mengaku jatuh cinta dengan teater dan berazam mendalaminya pada masa depan. Biarpun jauh berbeza daripada lakonan drama, Watie cepat mempelajarinya. Dia juga sudah memahami teknik menghafal dialog dengan lebih berkesan selepas terbabit dengan pementasan Si Tanggang.

Jika sebelum ini, dia sering diganggu kerisauan apabila tiba di lokasi kerana masalah hafalan perbualan kini dia menarik nafas lega setelah teater banyak membantu menangani masalah berkenaan. "Insya-Allah, jika tiada aral melintang, teater Si Tanggang akan dipentaskan di Kedah pada 1 hingga 4 Julai depan, selepas pementasan pertamanya dulu di Shah Alam. Jika tidak ada halangan juga, Ogos nanti saya akan menyertai Festival Teater Selangor pula," ujar Watie yang kini mahu mendalami cara melontarkan suara di pentas teater. Selain lakonan, Watie yang muncul dalam drama Haryati dan Dilema Wanita ini sebenarnya masih aktif di bidang nyanyian. Bersama Azza dan Hanna mahu pun Ava Vanja, dia masih bergerak ke sana ke mari memenuhi undangan nyanyian yang datang. Katanya, rezeki nyanyian tetap ada biarpun mereka sudah lama tidak mengeluarkan sebarang album.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...