Followers

Tuesday, June 21, 2005

Kes penculikan warga asing meragukan

BACA dan kaji di sebalik nasib tebusan-tebusan berikut:

l Douglas Wood, 63, (jurutera warga Australia) diculik sejak hampir sebulan lalu tetapi bebas dengan selamat tanpa cedera, minggu lalu. Tentera Iraq mendakwa mereka bertanggungjawab membebaskannya dalam satu operasi walaupun beberapa minggu sebelum itu, Mufti Australia, Sheikh Taj Al-Din Hilali banyak menggerakkan rundingan pembebasannya.

l Florence Aubenas, 44, wartawan Perancis dan jurubahasanya dari Iraq, Hussein Hanun yang ditahan sebagai tebusan selama lima bulan di Iraq dibebaskan pada 12 Jun setelah diculik 5 Januari lalu. Pembebasan mereka menimbulkan tanda tanya setelah pihak berkuasa menafikan membayar wang tebusan.

l Clementina Cantoni, 32, (rakyat Itali) dibebaskan pada 9 Jun setelah ditahan selama 24 hari di Kabul. Usaha pembebasan dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri Afghanistan dan pasukan keselamatan.

l Tiga wartawan Romania dan seorang pemandu warga Amerika Syarikat kelahiran Iraq dibebaskan pada 22 Mei selepas hampir dua bulan diculik ketika membuat liputan di Iraq.
Sekadar melontar persoalan. Mereka adalah sebahagian daripada beberapa lagi orang asing yang menjadi tebusan di Iraq. Begitupun boleh dikatakan majoriti daripada mereka terselamat.
Jika adapun laporan tebusan yang tidak selamat ialah tebusan dari Jepun yang disembelih dan kalangan tebusan tempatan yang juga ditemui mati tanpa kepala.
Sebenarnya seperti ada yang tidak kena di sebalik pembebasan tebusan-tebusan tersebut. Ketika menjadi tebusan mereka digambarkan begitu tertekan, cengkung dan merayu kerajaan masing-masing membebaskan mereka.
Tetapi yang peliknya, apabila mereka dibebaskan amat jarang dilaporkan kumpulan-kumpulan penculik digempur atau dihapuskan. Tidak seperti nasib perampas kapal terbang di Eropah atau bangunan di Chechnya. Apa yang dilaporkan tebusan dan penculik di Afghanistan dan Iraq, kedua-dua selamat.
Keraguan yang timbul ialah adakah insiden-insiden penculikan rakyat asing di Iraq itu adalah cetusan strategi politik negara asing sendiri manakala segelintir sahaja kes tulen.
Bagi sesetengah pihak kes-kes `ciptaan' ini juga penting bagi menggambarkan bahawa kumpulan-kumpulan pengganas di Iraq memang masih wujud dan majoritinya adalah Islam. Ini adalah satu perang psikologi paling berkesan di Iraq ketika ini.
Perang ini akan mewajarkan pendudukan berterusan kuasa penakluk seperti Amerika Syarikat untuk terus berada di Iraq atau Afghanistan.
Bahawa rakyat juga perlu terus diyakinkan bahawa mereka akan terus dapat dilindungi jika kuasa asing terus berada di bumi mereka.
Jadi, siapakah sebenarnya penculik-penculik itu? Adakah ini satu lagi sandiwara Barat di Asia Barat?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...