Followers

Friday, May 13, 2005

Islam beri kedudukan indah kepada wanita

Tamadun manusia telah bermula sekalipun sebelum terbinanya tamadun Islam. Tamadun Yunani, Rom, Hindu, Nasrani, Arab Jahiliah dan Parsi ialah tamadun yang telah wujud sebelum Muhammad s.a.w. mengasaskan tamadun Islam. Walaupun tamadun ini merakamkan pelbagai keindahan dan kemajuan dari aspek fizikal dan kemasyarakatan, akan tetapi kedudukan wanita masih berada di tempat yang paling rendah dan terpinggir.
Disebabkan fizikal kaum ini yang bersifat lemah, maka akal dan maruah wanita dinafikan sekeras-kerasnya. Maka berkurun-kurun lamanya sebelum agama yang sempurna diturunkan, Islam, maka wanita hidup hanya kerana ia ditakdirkan perlu dilahirkan demi menyambung generasi manusia. Wanita sekadar bernyawa tanpa sebarang kebebasan, hak, pengiktirafan tanggungjawab atau sekurang-kurangnya membuat pilihan.
Wanita adalah kaum malang yang hanya berkahwin dengan pilihan yang telah ditentukan, tunduk, diperhambakan dan tidak terdapat ruang atau undang-undang bagi membolehkan mereka untuk bercerai. Wanita dinafikan hak mereka untuk memiliki atau mewarisi harta kecuali dengan syarat-syarat yang amat ketat. Inilah kedudukan wanita yang terdapat dalam undang-undang seperti Undang-undang Justinianus atau pada zaman Kaisar Konstentin. Malah suatu ketika dahulu wanita hanya setaraf barang dagangan yang boleh dijual beli di pasar-pasar.
Antara kandungan sebuah agama kuno berbunyi, ``Tidak ada kesabaran yang ditentukan, angin, maut, panas yang membakar, racun, penyakit menular dan api, semua keburukan itu bersumber daripada perempuan.'' Sesetengah agama menganggap bahawa wanita adalah makhluk yang dikutuk Tuhan dan dikisahkan bahawa orang-orang yang baik di sisi Tuhan adalah orang-orang yang menjauhkan diri daripada perempuan. Begitu juga nasib yang berlaku terhadap wanita dalam zaman Arab Jahiliah. Tidak ada had dalam mengahwini perempuan atau garis panduan dalam perkahwinan. Maka si anak lelaki boleh mengahwini ibu tirinya apabila bapanya meninggal dunia. Sementara melahirkan bayi perempuan adalah keaiban sepanjang hayat yang ditanggung oleh seluruh keluarga. Dan keaiban yang ditanggung membenarkan mereka untuk menanam hidup-hidup bayi-bayi perempuan mereka.
Maka kaum wanita dan golongan yang bersimpati terhadap kaum wanita mula berfikir bagaimana hendak memperjuangkan nasib wanita agar setaraf dengan kedudukan kaum yang dikurniakan susuk tubuh yang lebih kuat dan bertenaga. Bersandarkan kepada rasionalisme maka akhirnya wujudlah kumpulan-kumpulan yang mendukung feminisme demi memperjuangkan hak-hak wanita yang lebih saksama, kedudukan yang lebih dihormati dan pengiktirafan terhadap fungsi yang dimainkan oleh mereka dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.
Namun sebenarnya, kering dan kontangnya tamadun Arab yang disebabkan oleh pemikiran Arab Jahiliah telah dilenyapkan dan disuburkan oleh kerahmatan Islam yang diturunkan Allah s.w.t. melalui rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Evolusi pengangkatan darjat wanita telah dilaksanakan oleh Islam melalui firman Allah s.w.t., antaranya dalam Surah al-Nisa' ayat 1 yang bermaksud, ``Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (yakni isterinya - Hawa) dan membiakkan dari kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai.'' Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa lelaki dan perempuan telah dijadikan daripada sumber yang sama dan mereka saling perlu-memerlukan bagi meneruskan zuriat manusia di dunia.
Sebenarnya tidak timbul dalam Islam tentang isu-isu yang diperjuangkan oleh feminisme Barat, kerana Islam adalah agama yang cukup lengkap dalam mempertahankan kedudukan dan hak wanita sesuai dengan fitrah kejadiannya. Hanya mungkin disebabkan kedangkalan fikiran manusia itu sendiri menyebabkan hukum-hukum Tuhan masih dipertikaikan kesempurnaan dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Dalam soal berpoligami sekalipun, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. bertelingkah kerana perasaan cemburu dan berlumba-lumba dalam memenangi hati suami mereka, akan tetapi akhlak dan amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. menyebabkan tidak seorang pun yang dapat mempertikaikan keadilan Rasulullah dalam berpoligami.
- Siti Shamsiah Hj Md Supi ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

1 comment:

Mardiana Ishak said...

You must have done a lot of reading. I like the way you choose certain topic and post it in your blog.

About this women issue thingy, I agreed whole heartedly but it’s sad that sometimes that there are still small group of people in Muslim society nowadays would have very little knowledge on the rights of women in Islam.

The existences of groups that try to uplift women’s right are good but when they started to questions on Quran and Hadith, it’s going to be a long day debate. Thought it is alright to be critical in thinking (I guess).

In conclusion, good issue that you had brought up.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...