Followers

Thursday, March 17, 2005

Serius Terhadap Status Halal

Semua pihak yang terlibat dalam pengeluaran, pengesahan dan penguatkuasaan tanda makanan halal mesti mengambil serius terhadap tugas mereka.
Ini kerana soal makanan halal amat serius pada pandangan masyarakat Islam di negara ini. Ia bukan semata-mata soal penipuan dalam perniagaan atau melanggar peraturan dan undang-undang. Malah ia lebih daripada itu kerana soal halal adalah berkaitan dengan suatu bahagian agama yang dipandang serius dan sensitif oleh umat Islam di negara ini.
Mungkin bagi umat Islam di negara-negara lain tidak begitu memandang berat tentang soal makanan halal ini, tetapi bagi orang Melayu dalam banyak-banyak perkara mengenai agama, soal status halal amat dipandang berat.
Kedudukan inilah yang perlu difahami oleh pengeluar-pengeluar makanan halal khususnya dari kalangan orang bukan Islam yang kurang faham terhadap kedudukan serius status halal ini.
Justeru apabila berlaku pendedahan mengenai adanya sosej yang diperkenalkan sebagai halal tetapi sebenarnya disalut usus babi, umat Islam di negara ini berasa marah, terhina dan dipersenda. Mungkin bagi sesetengah-sesetengah peniaga, pelanggaran peraturan halal ini hanya merupakan suatu penipuan dalam perniagaan, tetapi bagi umat Islam negara ini, ia merupakan tindakan mencabar dan menghina agama yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Sememangnya apa yang boleh dilakukan umat Islam tentang hal ini adalah menyeru agensi-agensi penguat kuasa supaya bertindak tegas dan keras terhadap syarikat-syarikat yang melanggar peraturan itu.
Tetapi bagi pengeluar makanan halal, mereka harus sedar soal status halal makanan bukan sekadar peraturan biasa seperti mana kedudukan cakera padat cetak rompak yang merupakan isu moral. Bahkan, status makanan halal ini amat sensitif yang merupakan bukan saja isu agama dan budaya tetapi juga psikologi dan emosi umat Islam negara ini.
Pengeluar-pengeluar makanan mesti bersifat ikhlas dan bertanggungjawab dalam memastikan produk mereka benar-benar halal menepati logo yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ini kerana sebarang kes pelanggaran peraturan makanan halal yang berterusan ini akan hanya menimbulkan rasa tidak yakin kepada logo berkenaan, dan seterusnya menimbulkan kecurigaan di antara penganut agama - suatu perkembangan negatif dalam masyarakat majmuk ini.
Kita percaya agensi-agensi kerajaan termasuk Jakim akan bertindak sewajarnya bagi mengatasi masalah ini. Bagaimanapun, kita juga sedar bahawa mempertingkatkan mutu logo dan segala kaedah baru bagi mengatasi masalah ini tidak akan mencapai kejayaan sekiranya pengeluar-pengeluar makanan halal itu sendiri tidak sedar tentang implikasi negatif daripada perbuatan itu.
Sememangnya banyak ahli perniagaan yang tertumpu perhatiannya kepada keuntungan berlipat ganda tanpa mengambil peduli mengenai soal moral dan tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
Mungkin bagi mereka, tipu daya dalam perniagaan adalah suatu perkara biasa yang dibolehkan dalam sesebuah masyarakat komersial berpasaran bebas seperti Malaysia. Tetapi bagi umat Islam, kepentingan komersial bukan segala-galanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...