Followers

Friday, March 04, 2005

PM terkejut

Itulah reaksi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas membuat tinjauan dari udara di kawasan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, pagi semalam.
Perdana Menteri yang membuat tinjauan selama sejam, menyaksikan sendiri bagaimana pembangunan di sekeliling kawasan itu tidak terkawal dengan pokok ditebang sewenang-wenangnya dan bukit ditarah sesuka hati.
Ketika berucap merasmikan Hari Landskap Negara 2005 di ibu negara iaitu sejurus selepas tinjauan udara itu, Abdullah dengan nada kesal menceritakan betapa landskap di sekeliling taman pertanian yang sebelum ini dipenuhi hutan, berubah secara drastik - gondol.
``Saya lihat kawasan yang dibangunkan itu, habis pokok ditebang, langsung tidak ada pokok, malahan rumput pun tidak ada,'' katanya.
Dari mimik muka Abdullah semasa di atas pesawat, reaksi segeranya dalam ucapan tersebut dan gambaran yang diberikan terhadap kawasan sekitar taman pertanian itu, kesimpulan yang boleh dibuat ialah: ``Kawasan sekitar Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam tidak OK.''
Ternyata kesimpulan tersebut berbeza dengan kesimpulan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, selepas membuat tinjauan darat taman tersebut Selasa lalu: ``Semuanya OK, tidak terjejas dan ia tidak diceroboh.''
Sejurus selepas tinjauan tersebut, Abdullah membuat empat keputusan drastik bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan kepada alam sekitar.
KEPUTUSAN 1
Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diwajibkan bagi kawasan melebihi 20 hektar berbanding sebelum ini iaitu seluas 50 hektar. Jika terdapat pecahan kawasan kurang 20 hektar secara berturutan yang hendak dimajukan maka laporan EIA diwajibkan bagi keseluruhan kawasan tersebut
KEPUTUSAN 2
Semua kawasan pembangunan dengan keluasan 40 hingga 80 hektar yang telah dibersihkan tetapi tidak dimajukan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan kerajaan akan membayar balik kos yang ditanggung oleh pemilik tanah. Kawasan berkenaan akan dibangunkan sebagai taman rekreasi untuk penduduk setempat
KEPUTUSAN 3
Pokok-pokok bersaiz dengan diameter 15 hingga 20.32 sentimeter (enam hingga lapan inci) tidak boleh ditebang. Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi berkaitan akan menandakan pokok-pokok yang tidak boleh ditebang sekiranya kawasan itu hendak dibangunkan
KEPUTUSAN 4
Semua undang-undang dan peraturan berkaitan alam sekitar dikuatkuasakan sepenuhnya dengan serta-merta. Penguatkuasaan diketatkan dan pihak berkuasa jangan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang tersebut








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...