Followers

Thursday, March 31, 2005

Perluaskan seruan keamanan Palestin

MENTERI Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar tahun lalu pernah menyuarakan harapan supaya krisis Palestin yang mendesak mestilah ditangani seperti isu aparteid di Afrika Selatan.
Isu itu seperti juga kempen antiperiuk api dan kempen antipenyeludupan manusia perlu terus diperjuangkan tanpa luput daripada perhatian masyarakat antarabangsa.
Lebih daripada itu, apa pun berlaku di dunia ini, krisis di Palestin jangan dipencilkan dari pentas utama masalah isu antarabangsa yang perlu diselesaikan.
Malahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sentiasa prihatin dengan penderitaan semakin meruncing rakyat Palestin dan menggesa penyertaan masyarakat Islam untuk membantu mengatasi kesengsaraan itu.
Malaysia yang menjadi Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tentunya paling terpanggil untuk merealisasikan gesaan badan dunia itu.
Di bahu Malaysia tergalas harapan yang cukup tinggi untuk meneruskan survival sebuah negara Palestin berdaulat sekalipun selepas kematian Yasser Arafat - yang diangkat sebagai Bapa Perjuangan Palestin pada November lalu.
Sejak tahun 2000 lagi, PBB menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat madani dalam menjayakan usaha ke arah keamanan dunia lebih-lebih lagi melibatkan isu kemanusiaan seperti Palestin.
Maka kerana itu pelbagai pihak khususnya NGO terpanggil untuk tampil serta menyuarakan dengan lantang penentangan mereka terhadap kezaliman Israel dalam isu Palestin serta beberapa konflik lain di dunia ini.
Tujuan mereka cuma satu; mahu mempengaruhi kerajaan di dunia supaya setidak-tidaknya memberi perhatian kepada hal yang satu dan tidak berkesudahan itu.
Perlu diingatkan, masyarakat madani global muncul sebagai penggerak utama beberapa kempen di peringkat antarabangsa dan kerjasama mereka dengan kerajaan berjaya menumbangkan kerajaan aparteid di Afrika Selatan.
Tetapi sebenarnya begitu banyak persidangan diadakan oleh NGO dengan tujuan dan harapan agar sekurang-kurangnya konflik Israel-Palestin yang berlarutan lebih 50 tahun `bergerak sedikit' ke arah kemajuan.
Realitinya pula, mereka juga perlu terima bahawa penduduk Palestin terus tertindas, keganasan tetap berlaku dan Israel pula angkuh dengan kekejaman itu.
Bagaimanapun, atas iltizam mahu melihat konflik Israel-Palestin tidak lagi berkeadaan statik sebegitu, Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) telah mengambil inisiatif mengadakan Persidangan Masyarakat Madani - Keamanan di Palestin di Putrajaya selama tiga hari bermula 28 Mac lalu.
Sepanjang tiga hari persidangan, sama ada wakil NGO Israel atau Palestin senada dalam menyatakan bahawa konflik itu boleh diselesaikan.
Persidangan yang menghimpunkan lebih 500 peserta termasuk NGO dari dalam dan luar negara itu bermatlamat memberikan sedikit sebanyak pengaruh kepada kerajaan masing-masing selain diharap dapat menceduk idea baru berhubung konflik Israel-Palestin.
Sepatah kata Penyelaras Aman Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir ketika dihubungi: ``Persidangan itu berjaya mencapai matlamatnya, iaitu mahu menyampaikan kepada dunia tentang suara protes berhubung ketidakadilan ini yang perlu diteruskan.''
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, pelbagai pihak disegarkan ingatan mereka mengenai penderitaan Palestin dan mencari jalan bagi jangka masa panjang untuk `menamatkan' kesengsaraan itu sepanjang persidangan diadakan.
Sekalipun ada pihak yang skeptikal bahawa persidangan tiga hari ini tidak membawa konflik Palestin-Israel `ke mana-mana', Mukhriz menegaskan: ``Setidak-tidaknya ia berlangsung secara aman dengan penyertaan pihak Israel dan Palestin serta kumpulan lain yang prihatin.
``Kita tidak menolak kemungkinan terus mengadakan persidangan seperti ini di masa depan kerana percaya ia akan memberi kesan untuk jangka masa panjang.''
Mukhriz berkata, persidangan kali ini berbeza dengan perhimpunan bertemakan Palestin lain kerana ia mendapat pengiktirafan PBB.
Sebagai badan dunia yang bertanggungjawab menjaga setiap permasalahan negara anggota, pengiktirafan itu dilihat sebagai sangat relevan ketika Malaysia menjadi Pengerusi OIC dan NAM.
``Kita berharap kali ini sekurang-kurangnya Israel tidak akan mungkir janji dalam menyelesaikan konflik. Kita mahu menunjukkan kepada dunia bahawa NGO juga mempunyai pengaruh kuat dalam membuat sebarang keputusan penting lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan konflik kemanusiaan seperti Palestin.''
Sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan merangkumi pelbagai topik berkaitan Palestin sepanjang persidangan.
Adam Keller, jurucakap NGO Israel, Gush Shalom mencuri perhatian apabila secara berapi-api mengutuk Israel di atas kekejamannya terhadap Palestin semasa menyampaikan ceramah beliau bertajuk `Masih Adakah Harapan Keamanan Buat Palestin' pada hari kedua persidangan.
``Tidak dinafikan ada segelintir pihak Israel yang benci dengan penindasan Israel dan mahu ia segera berakhir.
``Ia bukan kekejaman Perdana Menteri Ariel Sharon sahaja tetapi seluruh Zionis yang mahu kepentingan mereka sentiasa terpelihara,'' katanya semasa ditemui.
Mengenai sama ada konflik itu boleh diselesaikan, beliau berkata, ia tidak mustahil.
``Penyelesaian boleh dicapai dengan syarat campur tangan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) dalam hal ini dibataskan. Ia tidak baik untuk banyak pihak termasuk Israel.
``Campur tangan mereka hanya akan menyebabkan Israel terus naik tocang, Palestin semakin terpinggir dan masalah itu tidak diselesaikan pada bila-bila masa.
``Masyarakat antarabangsa pula harus terus menekan dan mendesak pihak-pihak yang relevan seperti PBB dalam usaha supaya masalah itu segera ditamatkan.
``Biar perjuangan darah dan air mata mereka ini berbayar satu masa nanti dan bukannya sia-sia.''
Sementara itu, penerbit stesen televisyen satelit Al-Jazeera, Ramzy Baroud pula berkata, rejim Yahudi perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kezaliman yang dilakukan mereka ke atas Palestin.
Sambil optimis bahawa konflik itu bakal berakhir beliau yang juga rakyat Palestin berkata, hak rakyat terbabit termasuk pelarian perlu dikembalikan mengikut resolusi yang ditetapkan oleh PBB dan Israel perlu berundur dari wilayah yang ditakluki.
Kenyataan Ramzy, yang juga Pengarang Palestinecronicle.com itu disokong oleh pejuang hak asasi dan kolumnis akhbar Britain, The Independent, Yasmin Alibhai-Brown.
Kata Yasmin yang ditemui semasa lawatannya ke British Council baru-baru ini: ``Konflik Israel-Palestin boleh diselesaikan dengan syarat hak dan tanah mereka yang diambil dikembalikan semula.''
Apa yang lebih penting sebenarnya sebahagian besar peserta memuji usaha kerajaan Malaysia dan penganjur Aman Malaysia dengan mengadakan persidangan keamanan seumpama itu.
Usaha Malaysia menyalakan obor keamanan itu seharusnya dipuji ketika banyak lagi pihak seolah-olah sengaja melambat-lambatkan prospek keamanan di Asia Barat.
Dan barangkali tidak keterlaluan jika kita mengharap agar nyalaan api keamanan itu tidak akan terpadam selepas tiga hari persidangan di Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...