Followers

Wednesday, February 16, 2005

Siapa pembunuh sebenar Rafik?

BEIRUT 15 Feb. - Lebanon berkabung hari ini sekali gus menimbul tanda tanya di kalangan rakyatnya siapakah pembunuh sebenar bekas Perdana Menteri, Rafik Hariri.
Kematiannya dalam satu letupan bom turut menimbulkan kebimbangan sengketa etnik akan meletus semula 15 tahun selepas perang saudara berakhir.
Pembangkang Lebanon yang anti-Syria segera menyalahkan kerajaan di Beirut dan di Damsyik sebagai bertanggungjawab terhadap pembunuhan Rafik yang terkorban bersama sembilan orang lain apabila letupan kuat memusnahkan konvoi kenderaan mereka.
Kira-kira 100 orang lain cedera dalam letupan tersebut yang memusnahkan sebuah kawasan tepi pantai di Beirut.
Laporan media menyatakan letupan itu berpunca daripada bom kereta dan sebuah pertubuhan berhaluan Islam yang tidak dikenali sebelum ini mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan.
Dalam rakaman video yang disiarkan oleh televisyen Al-Jazeera, kumpulan yang menggelar dirinya sebagai `Kemenangan dan Jihad di Syria' menyatakan serangan pengebom berani mati itu untuk membalas dendam terhadap hubungan erat Rafik dengan kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun saudara tiri Raja Fahd dari Arab Saudi, Putera Talal bin Abdul Aziz mencurigai kesahihan kenyataan tersebut dan beliau meminta siasatan bebas dijalankan mengenai serangan itu.
Rafik, 60, meninggal dunia empat bulan selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan perbalahan mengenai pengaruh Syria di Lebanon.
Serangan itu menimbulkan suasana pilu di Lebanon dan kebimbangan mengenai kestabilan negara itu yang perlu melangkah berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan di antara masyarakat-masyarakat Sunnah, Syiah dan Kristiannya.
Keganasan itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya Parlimen dijadual berlangsung.
Tentera Lebanon mengumumkan kerahan menyeluruh askarnya untuk menjaga kestabilan negara dan memanggil balik askar yang sedang bercuti serta menempatkan askar di Beirut dan kawasan lain.
Walaupun kerajaan mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari, keluarga Rafik menyatakan mereka tidak mahu pegawai kerajaan menghadiri pengebumiannya apabila beliau disemadikan esok.
Para pemimpin pembangkang Lebanon yang anti-Syria menuntut mogok umum tiga hari, peletakan jawatan kerajaan dan pengunduran tentera Syria dari Lebanon.
``Kami menganggap kerajaan Lebanon dan kerajaan Syria bertanggungjawab terhadap jenayah ini,'' kata ahli Parlimen, Bassem Sabeh selepas pembangkang bermesyuarat di kediaman Rafik di Beirut.
Beliau berkata Syria mesti mengundurkan 15,000 askarnya dari Lebanon sebelum pilihan raya Parlimen.
Presiden Lebanon, Emile Lahoud yang disokong Syria berkata, musuh politiknya itu telah meninggal dunia sebagai `seorang yang syahid untuk sebuah Lebanon bersatu.''
Serangan itu mendapat kutukan antarabangsa dan bekas penjajah Lebanon, Perancis meminta siasatan antarabangsa dilancarkan. - AFP


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...