Followers

Thursday, January 27, 2005

‘Berdagang dengan Asia lebih baik’

CYBERJAYA: Bangsa Eropah tidak boleh memaksa masyarakat Asia menerima budaya dan nilai hidup mereka untuk dijadikan nilai sejagat kerana tidak semua pegangan yang mereka amalkan itu sesuai dengan orang Asia.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bangsa Eropah tidak boleh menentukan apakah yang baik dan tidak baik untuk diterapkan dalam nilai dan cara hidup masyarakat Asia kerana tidak semua nilai yang mereka pegang itu baik.“Berdasarkan sejarah, kita mempunyai pengalaman buruk apabila mengadakan hubungan dagangan dengan bangsa Eropah di Melaka pada 1511... mereka datang bukan saja untuk merampas hasil negara ini, tetapi juga untuk menakluk.“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai masalah berdagang dengan bangsa Asia seperti China, India dan Arab kerana mereka datang ke negara ini semata-mata untuk berdagang dan tidak pernah berhasrat menakluk,” katanya pada sesi dialog bertajuk ‘Jurang Budaya Antara Eropah dan Asia: Implikasinya’ di Universiti Multimedia Malaysia (UMM) di sini semalam.Turut hadir pada majlis itu isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga Canselor UMM; Naib Canselor UMM, Dr Ghauth Jasmon dan Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Dr Peter A Schweizer.Dialog itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Life UMM, Kedutaan Switzerland di Kuala Lumpur dan UMM.Dr Mahathir berkata, perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan jurang yang wujud antara kedua-dua bangsa adalah saling menghormati nilai dan budaya masing-masing walaupun wujud perbezaan ketara.“Tindakan seperti membunuh untuk memaksa orang lain menerima nilai dan menentukan corak pemerintah negara lain seperti yang berlaku di Iraq sama sekali tidak wajar dan bangsa Asia tidak dapat menerimanya,” katanya.Mengenai suara majoriti, beliau berkata, masyarakat Asia yang kuat berpegang kepada nilai tradisi juga tidak dapat menerima pegangan bahawa hak individu melebihi suara majoriti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...