Followers

Thursday, December 30, 2004

KUALA LUMPUR: Kerajaan membatalkan semua acara keramaian sempena sambutan tahun baru, malam esok dan mahu digantikan dengan majlis doa selamat ketika angka korban tsunami akibat gempa bumi di utara Sumatera, Ahad lalu, dijangka mencecah 100,000 orang.
Pihak berkuasa negara yang teruk ditimpa bencana itu, terutama Sri Lanka, Indonesia dan India menjangka lebih ramai lagi terkorban dalam gerakan mencari mangsa yang masuk hari kelima, hari ini.Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menyertai masyarakat antarabangsa dengan memberi amaran bahawa angka kematian boleh meningkat beratus ribu lagi.Petang semalam, dua lagi mayat ditemui di Pulau Pinang menjadikan 52 korban tsunami di negeri itu dan 67 di Malaysia. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula berkata, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara kemeriahan menjelang tahun baru dan meminta semua pihak, termasuk swasta, mengadakan majlis doa agar negara selamat daripada sebarang bencana alam.“Marilah juga kita doakan agar yang menderita mendapat kesabaran dan mengatasi kerugian yang dialami,” katanya di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda, ketika mengunjungi mangsa tsunami dan meninjau kerosakan akibat serangan ombak besar itu.Perdana Menteri juga meminta masjid di seluruh negara mengadakan khutbah yang berhubung kait dengan malapetaka tsunami dan apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi penderitaan yang dialami mangsa.Bagi rakyat bukan Islam, beliau meminta mereka mendoakan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara ini mengikut amalan dan kepercayaan agama masing-masing. Serentak itu, dua acara menyambut tahun baru anjuran TV3, masing-masing bersama Petronas di Kuala Lumpur City Centre dan AmBank Group di Dataran Merdeka, dibatalkan. Kerajaan Pulau Pinang turut membatalkan acara seumpamanya di negeri itu.Abdullah, dalam reaksi spontannya dengan pembatalan itu kepada pemberita di Langkawi petang semalam, berterima kasih kepada Petronas, AmBank Group dan TV3 yang menghormati semua mangsa tsunami, termasuk mereka yang kehilangan anggota keluarga dalam tragedi buruk itu.Sementara itu, di Indonesia, Naib Presidennya, Jusuf Kalla, menganggarkan 40,000 penduduk negara itu mungkin maut akibat tsunami ekoran gempa bumi terkuat dalam tempoh 40 tahun itu.Daripada jumlah itu, 30,057 mangsa yang terbunuh adalah di Aceh, kawasan berdekatan pusat gempa bumi berkenaan. Sri Lanka, menjadi negara kedua terbanyak dari segi angka korban, iaitu 22,493 orang diikuti India (12,419) dan Thailand (1,657).Negara lain yang mencatat kematian termasuk Somalia, Myanmar, Maldives, Tanzania, Kenya dan Bangladesh.Pakar kesihatan PBB dan agensi lain terus memberi amaran bahawa mayat reput, sistem pembetungan najis yang rosak, air tercemar dan kekurangan makanan serta tempat perlindungan selain jangkitan penyakit seperti malaria dan demam denggi juga mengancam beribu-ribu lagi mangsa yang cedera dan lemah selepas tsunami melanda.“Derita penduduk dalam jangka masa panjang lebih besar selain kebimbangan mengenai tsunami dan gempa bumi. Ada kemungkinan kita akan saksikan banyak lagi maut kerana penyakit berjangkit, setara dengan angka korban tsunami,” kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), David Nabarro.Bekalan makanan dan ubat juga dilaporkan semakin kehabisan di banyak tempat, menyebabkan seorang ketua kecemasan sivil dari Itali, Guido Bertolaso, meramalkan angka kematian akan melepasi 100,000. Pengarah Eksekutif Tabung Bantuan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Carol Bellamy bimbang lebih banyak mangsa tsunami dan masalah lain selepas ini adalah kanak-kanak.“Kanak-kanak boleh berlari (untuk selamatkan diri) tetapi mereka tidak mampu mengelak daripada dihanyutkan banjir,” kata Bellamy.Bekalan pertama bantuan antarabangsa tiba di Banda Aceh, 2,000 kilometer ke barat Jakarta, kelmarin, tetapi tidak dapat diedarkan kerana ketiadaan lori.

ABDULLAH berdoa ketikamelawat mangsa tsunami di Kampung Kepala Jalan,Kota Kuala Muda,Kedah semalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...