Followers

Monday, December 20, 2004

GEORGETOWN: ‘Jangan menuding jari sekarang’ adalah komen yang diberikan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar mengenai isu mengembalikan semula kegemilangan negeri ini.
Ia ditujukan kepada Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang didakwanya bertindak negatif ketika membalas kritikan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kesungguhan politik dalam menjaga kepentingan pembangunan Pulau Pinang.
Mohd Sharif yang kini Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kenyataan Koh bahawa pengkritik akan ‘mendendangkan lagu berbeza’ jika kepentingan kawasan mereka sendiri terjejas adalah tidak wajar.
"Koh sepatutnya mengambil kempen Sayangi Pulau Pinang sebagai cabaran dan mengambil langkah segera untuk membetulkan keadaan...bukan masanya untuk menuding jari," katanya.
Beliau berkata, jika kerajaan negeri mengambil langkah tepat untuk memperbaiki keadaan, terutama seperti yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melawat pulau itu lebih 10 tahun lalu, Pulau Pinang sudah terselamat daripada keadaan yang memalukan.
Mohd Shariff yang menjadi Timbalan Ketua Menteri daripada Mei 1995 hingga November 1999 berkata, Pulau Pinang begitu sinonim dengan sampah, kemudahan yang tidak diurus dengan baik, persekitaran tidak bersih dan kesesakan lalu lintas.
Masalah kebersihan belum dapat diatasi sepenuhnya daripada identiti Pulau Mutiara sehingga di gelar negeri ini sebagai ‘Darul Sampah’
Mohd Shariff berkata, jika kerajaan negeri mengambil isu itu secara serius ketika itu, sudah tentu separuh daripada masalah berkenaan dapat diatasi.
"Hal ini dapat mengelak kerajaan negeri daripada malu," katanya sambil menambah sudah sampai masanya kerajaan negeri mengambil langkah segera sebelum keadaan bertambah buruk.
"Ini adalah pandangan lama, bukan baru dan Koh patut serius menangani dakwaan ini," katanya.
Mohd Shariff yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang berkata, kesungguhan politik adalah satu-satunya langkah yang boleh menyelamatkan Pulau Pinang daripada terus hilang sinarnya.
“Koh patut menerima komen itu yang dibuat dengan tujuan baik," katanya dan menambah rasa kesal kerana Seberang Prai dilayan seperti ‘anak tiri’ apabila bercakap mengenai pembangunan.
"Seberang Prai adalah sebahagian daripada Pulau Pinang tapi sedih kebanyakan kegiatan pembangunan ditumpukan di bahagian pulau," katanya.

.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...