Followers

Friday, May 08, 2015

SULTAN NAZRIN SEMPURNAKAN ISTIADAT TABAL PUSAKA


Istiadat mengambil air di tujuh kuala su­ngai di sekitar Sungai Perak hari ini sempena Pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung dengan penuh istiadat Kesultanan Melayu Perak.

Istiadat bermula kira-kira pukul 9.30 pagi dengan perarakan tujuh kenderaan khas diiringi paluan nobat dari pintu besar Istana Iskandariah ke jeti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di tebing Sungai Perak.

Perarakan diketuai Toh Seri Nara Diraja Mohd. Shah Nong Chik terdiri daripada pasukan nobat diraja, lima panglima dan tujuh bentara-bentara bersama-sama beberapa pawang istana membawa perkakas istiadat dan 16 jejawat berlembing.

Perkakas istiadat yang dibawa termasuklah 16 Geluk Mas Perak dihiasi dengan daun-daun nyiur muda berjari lapan, bekas perasap, bekas beras kunyit, bekas beras basah, bekas tepung tawar, bekas air sintuk dan bekas air bunga panca bicara.

Setelah tiba di jeti MPKK, perkakas istiadat dibawa naik ke dalam bot dan sepanjang istiadat itu nobat dipalu oleh pasukan nobat diraja.

Raja Chik Muda Pawang Diraja, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara kemudiannya menaiki bot dan mula mengambil air bermula di Kuala Sungai Kangsar.

Sebanyak 15 bot termasuk lapan bot pengiring menyertai istiadat mengambil air dari tujuh kuala su­ngai tersebut.

Walau bagaimanapun, untuk upa­cara berkenaan, panglima-panglima, jejawat berlembing serta pasukan nobat diraja tidak mengikuti bersama rombongan istiadat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Adat Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Datuk Seri Wan Mohd. Fathir @Wan Fadzir Wan Hussain berkata, istiadat mengambil air tersebut kemudiannya di­ikuti di Sungai Chempias, Sungai Saiong, Sungai Itam, Sungai Chermin, Sungai Buaia dan berakhir di Sungai Menora.

“Alhamdulillah, dalam masa dua jam lebih istiadat ini berjaya disempurnakan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Tugas mengambil air ini dise­rahkan kepada Toh Seri Nara Diraja dan Pawang Diraja. Air yang dimasukkan dalam geluk ini kemudiannya dibawa ke istana untuk acara bersiram tabal pada malam ini di Istana Iskandariah,” katanya.

Menurut beliau, istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai di sekitar Sungai Perak itu bermula selepas pucuk pemerintahan Kesultanan Perak beralih ke daerah tersebut.Jelasnya, pada zaman Kesultanan Melayu Perak yang pertama, air yang digunakan untuk Istiadat Bersiram Tabal diambil di sekitar kawasan Tanah Abang di kawasan Bagan Datoh.

“Tidak ada pantang larang ter­tentu semasa istiadat ini tetapi banyak kepada doa-doa mengikut hukum Islam.

“Kesemua air yang diambil itu akan dimasukkan ke dalam geluk dan dibawa naik ke Panca Persada untuk disimpan bagi Istiadat Bersiram Tabal yang akan berlangsung pada pukul 8.30 malam ini di Istana Iskandariah,” katanya.

TABAL PUSAKA

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan Istiadat Tabal Pusaka ia­itu satu lagi istiadat penting dalam pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35 di Istana Iskandariah di sini malam ini.

Upacara dimulakan dengan Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan dan perkakas Nobat Diraja yang dikendalikan oleh Raja Chik Muda Pawang Diraja, Raja Rosli Raja Mohamad di Balairung Seri, Istana Iskandariah pada kira-kira pukul 9.30 malam.




Berangkat sama dalam majlis tersebut, bonda Sultan Nazrin, Raja Permaisuri Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Upacara dimulakan dengan Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan dan perkakas Nobat Diraja yang dikendalikan oleh Raja Chik Muda Pawang Diraja, Raja Rosli Raja Mohamad di Balairung Seri, Istana Iskandariah pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Berangkat sama dalam majlis tersebut, bonda Sultan Nazrin, Raja Permaisuri Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Upacara tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berlangsung dalam keadaan gelap dan hanya diterangi cahaya lilin yang dibawa masuk oleh 16 jejawat perempuan.

Setelah selesai upacara memulih perkakas, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke tempat bersemayam di puncak Panca Persada setinggi 11 tingkat di pekarangan istana yang dibina khas bagi Istiadat Bersiram Tabal.

Dalam upacara itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berada di bawah sehelai kain putih yang direntang dan dipegang oleh empat kerabat diraja wanita di setiap penjuru di tempat persemayaman pasangan diraja itu.

Istiadat disempurnakan dengan air yang diambil dari tujuh kuala Sungai Perak pada sebelah pagi ini, dicurahkan ke atas baginda berdua dengan diketuai Raja Chik Muda Pawang Diraja diikuti Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik dan adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Azureen.

Baginda berdua kelihatan ceria sambil tersenyum sewaktu menjalani istiadat itu yang berlangsung selama kira-kira lima minit.

Sepanjang upacara itu berlangsung, lagu Raja Berangkat (Gendang Berangkat) dan Puteri Mandi Mayang dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak.

Sejurus selesai Istiadat Bersiram Tabal, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara diselimutkan dengan kain songket bersulam benang emas sebelum turun dari Panca Persada.

Selepas menukar persalinan di Bilik Kesenangan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat ke Balairung Seri untuk Istiadat Santapan Nasi Berastakona, sekali gus menyempurnakan Istiadat Tabal Pusaka.

Baginda berdua kemudian menghadiri majlis santapan di Dewan Santapan istana bersama dengan kaum kerabat, pembesar negeri dan tetamu yang lain.

Semalam, Sultan Nazrin ditabal sebagai Sultan Perak ke-35 dan Tuan­ku Zara dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak dalam Istiadat Tabal Adat yang berlangsung di Istana Iskandariah.

Istiadat Tabal Pusaka merupakan antara enam istiadat yang perlu disempurnakan sempena pertabalan Sultan Perak.

Istiadat tersebut mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Santapan Nasi Berastakona.

Selepas menyempurnakan istiadat Tabal Adat dan Pusaka hari ini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan meneruskan pula istiadat menziarahi makam-makam sultan, raja pemerintah serta tokoh pembesar negeri terdahulu mulai esok, sebagai melengkapkan proses pertabalan baginda sebagai Sultan Perak Ke-35.


Makam pertama yang akan diziarahi Sultan Nazrin esok ialah Makam Tok Temong yang terletak di Kati, Kuala Kangsar dekat sini.

Sultan Nazrin dijadualkan berangkat dari Istana Iskandariah pada pukul 9 pagi ke lokasi makam sejauh 14 kilometer dan mengambil masa kira-kira 15 minit dengan berkereta.

Setibanya di Makam Tok Temong, Sultan Nazrin akan menyertai doa selamat dan kenduri arwah.

Tok Temong merupakan salah seorang pembesar di negeri ini sebelum wujudnya institusi Raja Perak.

Nama Tok Temong tercatat dalam sejarah kesultanan negeri Perak memandangkan Tok Temong yang membawa persembahan sejenis tangkal azimat, iaitu Mestika Embun ketika pertabalan Sultan Mudzaffar Shah I sebagai Sultan Perak yang pertama pada 1528.

Mestika Embun dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran negeri sehingga ke hari ini dan digunakan dalam setiap istiadat pertabalan diraja Perak.

Selepas selesai menziarahi Makam Tok Temong, Sultan Nazrin akan berangkat pulang ke Istana Kinta dan menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Pada sebelah petang pula, baginda akan berangkat menziarahi Makam Bendahara Raja Alang Iskandar atau dikenali sebagai Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng dekat sini.

Sultan Nazrin dijadualkan berangkat dari Istana Kinta pada pukul 4 petang dan menuju ke lokasi makam sejauh 16 kilometer yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 minit dengan berkereta.

Seperti di Makam Tok Temong, Sultan Nazrin akan menyertai bacaan doa selamat serta kenduri arwah di Makam Marhum Teja.

Marhum Teja ataupun Raja Alang Iskandar merupakan Bendahara Perak semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah I dan Sultan Ja'afar Muazzam Shah.

Ketika menjadi Bendahara Perak di Kuala Teja, baginda me­ngutip cukai di atas segala barang-barang yang masuk dan keluar di Kuala Sungai Kinta.

Sesudah menziarahi Makam Marhum Teja, Sultan Nazrin akan pulang ke Istana Iskandariah dan berangkat ke majlis berzanji serta marhaban di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada sebelah malamnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...