Menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahukan istiadat pertabalan baginda bulan depan menjadi platform mendekatkan hubungan dengan rakyat, pelbagai program telah diatur melibatkan penyertaan rakyat jelata.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Anuar Zaini dalam sesi taklimat kepada media sempena Istiadat Pertabalan di sini baru-baru ini berkata, seperti dititahkan Sultan Perak, istiadat itu juga bukan untuk berpesta atau bersuka ria.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Seranta, Penerbitan, Cenderamata, Belia dan Pelajar Istiadat pertabalan berkata, acara yang disusun turut melibatkan penyertaan rakyat terutama generasi muda menerusi program seperti pertandingan menulis esei, pidato serta Larian Pertabalan.
“Sultan mahu istiadat ini menyediakan ruang untuk mengenali lebih dekat, lebih rapat majoriti rakyat negeri ini dan platform untuk rakyat disatukan.
“Dalam masa sama, baginda amat prihatin terhadap perbelanjaan kerana istiadat bukan untuk bermegah-megah serta bermewah, sebaliknya, mahu meneruskan kesinambungan adat dan budaya,” katanya.
Selain Istiadat Pertabalan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Mei dan melawat makam-makam Sultan Perak, Sultan Nazrin juga dijadual menghadiri beberapa program bersama rakyat sepanjang 15 hari pertabalan diadakan.
Bermula pada 3 Mei, baginda akan berangkat menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sebelum merasmikan pameran koleksi gambar sempena Istiadat Pertabalan di Dewan Bandaran Ipoh pada keesokan hari selain penyampaikan hadiah peraduan menulis esei di Hotel Casuarina di sini.
Selesai istiadat pertabalan pada 6 dan 7 Mei di Istana Iskandariah, baginda juga akan berangkat ke majlis berzanji dan marhaban di Masjid Ubudiah pada 8 Mei.
Sementara itu, sepanjang istiadat menziarahi makam-makam Sultan Perak dari Kuala Kangsar sehingga ke Beting Beras Basah di Bagan Datoh, beberapa Majlis Bersama Rakyat diatur di lokasi-lokasi yang bakal disinggahi baginda antaranya di Padang Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaakob, Bota Kanan (11 Mei), Kampung Gajah (12 Mei) dan Arena Square, Teluk Intan (13 Mei).
Keberangkatan baginda untuk menziarahi makam-makam Sultan Perak juga disifatkan sebagai kesempatan terbaik untuk rakyat bertemu baginda dengan lebih dekat.
Ini kerana baginda akan menziarahi makam-makam yang terletak di kawasan kampung di sepanjang Sungai Perak seperti di Sayong, Manong, Belanja, Bota Kanan, Parit, Lambor Kanan, Pulau Tiga, Kampung Gajah dan Teluk Intan.
Sultan Nazrin turut dijadual berangkat ke Program Larian Pertabalan dan pertunjukan tatu di Stadium Perak pada 16 Mei.
Pada tarikh tersebut, Program Larian Pertabalan turut diadakan di kesemua 10 daerah di negeri ini disusuli Majlis Menutup Kerja pada 17 Mei di Istana Iskandariah. - SUMBER
No comments:
Post a Comment