Tindakan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak memberikan sebarang reaksi terhadap usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah menimbulkan persoalan sama ada mereka mahu bertindak biadab atau tidak matang dalam berpolitik.
Persoalan itu ditimbulkan berikutan mereka langsung tidak mengangkat tangan sama bersetuju, tidak bersetuju mahupun berkecuali terhadap usul dalam Sidang DUN di sini, hari ini.
Difahamkan, itu kali pertama dalam sejarah DUN Negeri Sembilan, mana-mana ADUN sama ada daripada pihak pembangkang mahupun pemerintah tidak menyokong usul tersebut, yang lazimnya dibentang, dibahas dan diluluskan pada setiap penggal persidangan.
Hari ini, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr. Awaludin Said yang bertanyakan pendirian pembangkang terhadap usul tersebut tidak mendapat sebarang reaksi daripada pembangkang.
“Pembangkang, kamu bagaimana, tidak setuju tidak angkat tangan. Berkecuali pun tidak angkat tangan?” soal Awaludin.
Ketika itu, pembangkang tidak memberikan sebarang reaksi, sebaliknya mendiamkan diri.
Awaludin bertanya lagi, “maknanya kamu tidak bersetuju?”. Bagaimanapun pembangkang masih tidak memberikan jawapan dan terus mengambil sikap berdiam diri dan tidak memberi sebarang reaksi.
Sebelum itu, sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan sebaik sahaja selesai, Awaludin telah meminta semua ADUN mengangkat tangan sebagai tanda bersetuju, tidak bersetuju dan berkecuali.
Hanya ADUN dari Barisan Nasional (BN) yang mengangkat tangan bersetuju dan menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan berkenaan.
Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Muhriz pada istiadat pembukaan Isnin lalu, antara lain mengulas prestasi ekonomi negeri, kewangan dan pembangunan; memakmurkan negeri mensejahterakan rakyat; modal insan dan belia; pembangunan luar bandar, pertanian dan pelancongan; keselamatan; perpaduan; ekstremisme dan perkhidmatan awam.
Sementara itu, Mohamad yang ditemui pemberita selepas persidangan itu selesai berkata, tindakan yang dibuat oleh pembangkang itu seperti tidak mengiktiraf Tuanku.
“Kita (BN) menyokong titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pembangkang tidak mengiktiraf Tuanku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Awaludin berkata, sewajarnya ADUN menyatakan pendirian tetapi kali ini mereka tidak berbuat demikian sama ada bersetuju, tidak bersetuju mahupun berkecuali, sebaliknya mengambil sikap mendiamkan diri.
“Saya berharap Ahli Yang Berhormat ada satu kewibawaan untuk membuat keputusan dalam memilih tiga pernyataan dalam mengundi walaupun itu hak mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP-Chennah) berkata, pembangkang tidak memberikan sebarang reaksi terhadap usul titah ucapan itu kerana yakin titah ucapan itu dibuat oleh kerajaan negeri dan diberikan kepada Tuanku Muhriz untuk dibaca.
“Titah ucapan Tuanku adalah dasar kerajaan negeri. Memang ada nasihat Tuanku kita terima dengan baik. Tidak ada apa-apa isu, kita tidak membantah, tidak mengangkat tangan. Itu hak kita sebagai ADUN,” katanya.
No comments:
Post a Comment