Followers

Tuesday, October 21, 2014

KERAJAAN AWAL KEPULAUAN MELAYU


Dalam catatan sejarah China ada tersebut, bahawa pada pertengahan kurun yang ketujuh, terdapatlah Kerajaan bernama Holing, dan sebuah negeri bernama Cho-po. Yang menjadi rajanya pada waktu itu ialah seorang raja perempuan bernama Simo.

Penulis itu menceritakan bagaimana aman dan makmurnya negeri di bawah perintah Ratu Perempuan itu. Tanahnya subur, padinya menjadi. Upacara upacara Kerajaan berjalan lancar. Ratu dijaga atau diiringkan oleh biti-biti perwara, kipas dari bulu merak bersabung kiri kanan dan singahsana tempat baginda semayam bersalut emas. Keris dan pedang Kerajaan pun bersalutkan emas dan bertakhta ratna mutu manikam. Agamanya pula adalah agama Buddha. Dengan kerjasama antara I-Tsing pengembara China dengan Jnabadhra, yang dalam bahasa Cina ditulis Yoh-na-poh-to-lo disalinlah buku buku agama Buddha ke dalam bahasa anak negeri.

Tentang keamanan dan kemakmuran negeri Holing itu, sampai juga khabar beritanya ke Ta-Cheh, sehingga tertarik hai pengembara Ta-Cheh hendak melawat Holing. Di antara tahun 674-675 sampailah satu perutusan bangsa Ta Cheh ke Holing. Suatui ketika, Raja Ta-Cheh cuba mencicirkan satu pundi emas ditengah jalan namun tiada siapa yang mahu mengambilnya. Sampai tiga tahun pundi emas itu terletak di tengah jalan. Suatu masa, lalulah Putera Mahkota ke jalan itu lalu disepaknya pundi emas itu sampai pecah. 

Perbuatan Putera Mahkota rupanya dipandang suatu kesalahan besar oleh Ratu Simo. Amat murkalah ratu Simo lalu diperintahkan olehnya supaya memotong kaki Putera Mahkota sebagai hukum. Demikianlah cerita yang terakam di dalam catitan sejarah Tiongkok.

Hasil penyelidikan mengatakan Cho-po itu adalah tanah "Jowo" atau Pulau Jawa. Manakala Kerajaan Holing ialah Kerajaan Kalinga, yang memang pernah wujud di Jawa Tengah atau Jawa Timur pada pertengahan kurun ketujuh. Dan memang wujud seorang Ratu yang bernama Sima atau Simo.

Raja Ta-Cheh yang disebut pula adalah Raja Arab. Sebab Ta Cheh ialah nama yang diberikan oleh orang Tiongkok kepada bangsa Arab pada zaman itu.

Setelah dikaji perhitungan Hijrah, tahun 674 itu adalah waktu pemerintahan Yazid Bin Mu'awiyah, Khalifah Bani Umaiyah. Mengenai siapa Raja Arab itu, mengikut peraturan musafir masyarakat Arab dahulu, mereka hendaklah "merajakan" seorang di antara mereka yang lebih tua usianya atau banyak pengalamannya didalam kumpulan. Itulah dia ketua rombongan yang sama diertikan sebagai Raja.

Mengikut catatan pengambara China lain, telah wujud satu kelompok bangsa Arab yang tinggal di tepi pantai pesisir barat Pulau Sumatera dalam tahun 674 masihi. Ini bermakna kedatangan islam ke alam Melayu telah wujud sejak kurun ketujuh. Cuma waktu itu Islam masih tidak disebarkan kerana Kerajaan Kerajaan Melayu Hindu Buddha berada dalam keadaan kuat dan teguh. Kepercayaan Raja dan rakyat mereka tidak dapat diubah. Manakala pendatang Arab juga hanya singgah berdagang sebelum pulang. Bukannya untuk berdakwah.

Sehinggalah tahun 1292, barulah muncul negeri islam Pasai dengan pengislaman Merah Silu, dan baginda menjadi Sultan pertama dari Kerajaan Islam. Masuk abad kelima belas, pengaruh Kerajaan Hindu semakin menurun seiring dengan kejatuhan Kerajaan Sriwijaya dan munculnya Melaka sebagai negeri islam yang maju dan masyur.

Dipetik daripada buku "DARI PERBENDAHARAAN LAMA" karya HAMKA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...