Followers

Thursday, May 08, 2014

KENALI JENIS PISAU CUKUR


SEBELUM anda membuat keputusan membeli pisau cukur, kenal pasti perbezaan setiap jenis dan adakah ia bersesuaian dengan anda. Kanta Rias minggu ini membawakan lima jenis pisau cukur yang sesuai digunakan kaum Adam.

1) Pisau cukur pakai buang

Boleh dibeli dalam kuantiti banyak pada harga yang murah. Pisau cukur jenis ini boleh bertahan sehingga lima kali penggunaan atau apabila bilahnya mula berkarat.

2) Pisau cukur bilah berjalur (multi-blade)

Bilah pencukur ini kebiasaannya boleh ditukar ganti kerana dilengkapi katrij pakai buang. Terdapat juga pisau cukur jenis ini yang dibuang terus secara keseluruhan selepas beberapa kali digunakan.

Ketika melakukan pilihan, selain jenama, bandingkan ciri-ciri kebolehgunaan, ketahanan dan efisiensi. Bilangan bilah yang lebih daripada bilah tunggal berjalur tiga (multiple single-blade) mempercepatkan kerja mencukur.

Ketahanannya dikatakan mampu mencecah sebulan setengah. Namun realitinya, ia hanya sesuai digunakan untuk tempoh maksimum dua minggu.

Harganya juga agak mahal berbanding pencukur pakai buang. Bagi jenis bilah boleh diganti, anda perlu melaburkan wang ekstra bagi membeli pek isi semula pisau cukur ini.

Pencukur yang tidak mempunyai fungsi katrij pakai buang juga dijual pada harga tinggi disebabkan rekaan pemegang yang selesa dan sofistikated.

3) Pisau cukur bilah bermata dua

Pilihan ini kembali digemari kaum Adam. Walaupun secara teknikalnya pencukur bilah berjalur paling selamat, tetapi ramai meletakkan status itu terhadap pisau cukur jenis ini.

Pemegang pencukur ini dijual secara berasingan. Ia boleh diperoleh dari harga serendah RM30 sehingga RM3,000, bergantung kepada jenama dan rekaannya. Individu yang memilih pencukur ini lazimnya sanggup membeli pemegang eksklusif kerana bilahnya agak murah.

Bilah bermata dua sebaik-baiknya dibeli dalam kuantiti yang banyak. Dengan cara tersebut, anda akan memperoleh setiap bilah yang kurang daripada RM3.

Disebabkan harganya yang murah, ia hanya bertahan sehingga lima penggunaan dan anda disarankan menukar bilahnya setiap minggu jika anda bercukur setiap hari.

Begitupun, pencukur bilah bermata dua agak tajam berbanding pencukur lain dan sering meninggalkan luka kecil kepada pengguna kurang mahir.

4) Pisau cukur elektrik

Sesuai digunakan untuk cukuran kering. Majoriti pencukur elektrik direka khusus untuk digunakan pada kulit kering. Bagaimanapun, kekemasan dan ketajaman cukurannya tidak begitu sempurna.

Pencukur elektrik berharga murah selalunya memiliki kelajuan rendah. Justeru, tidak semua cukuran dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif.

Namun, pencukur elektrik yang mahal sangat berguna kepada mereka yang sering bergerak pantas dan mahukan cukuran segera. Terdapat pencukur jenis ini misalnya, pencukur elektrik tanpa wayar, boleh diguna bersama air atau buih.

5) Pisau cukur straight

Selain klasik, ia juga lambang elegan dan maskulin. Pisau cukur ini kian dilupakan sejak pencukur pakai buang dan pencukur elektrik diperkenalkan. Lelaki hari ini juga menganggap ia sebagai pencukur yang melecehkan kerana perlu menguasai skil-skil tertentu sebelum boleh digunakan.

Pisau cukur straight berkemungkinan tinggi merupakan pisau cukur tertajam antara semua. Justeru, penggunaan pencukur ini bakal meninggalkan banyak luka kecil jika anda tidak mahir mengawalnya.

Kini pencukur straight digunakan kebanyakan salon rambut bagi mencukur sideburn, jambang dan misai pelanggan lelaki.

2 comments:

Asrul said...

Gambar mana brader...

Aku beli yang bilah tu, dan pakai buang.

Alan said...

aku pakai yang boleh tukar mata. murah sikit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...