Followers

Monday, January 06, 2014

UMAT ISLAM DIHINA


GELARAN Gestapo yang diberikan oleh seorang biskop kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika melakukan serbuan ke atas premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada Khamis lalu seolah-olah sengaja mahu menggambarkan betapa ‘ganas’ tindakan agensi itu.

Seperti yang kita tahu, Gestapo merupakan polis rahsia Nazi yang amat dikenali dengan kaedah keganasan terhadap sesiapa sahaja yang dianggap musuhnya termasuk penghapusan kaum Yahudi semasa era Perang Dunia Kedua dahulu.

Serbuan oleh JAIS itu dilakukan susulan kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew baru-baru ini supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dirampas dalam serbuan berkenaan manakala Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choon dan pengurus premis terbabit, Sinclair Wong ditahan bagi membantu siasatan.

Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 9, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 kerana menerbitkan dengan menulis kalimah Allah untuk kegunaan bukan Islam tetapi dibebaskan kemudian atas jaminan polis.

Banyak pihak yang mengkritik dan mempersoalkan tindakan JAIS menyerbu premis terbabit.

Tidak kurang juga yang mendakwa serbuan berkenaan salah di sisi undang-undang termasuk Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar.

JAIS cuba digambarkan sebagai ‘budak jahat’ oleh pihak tertentu berikutan tindakannya itu. Itulah tohmahan yang diterima oleh JAIS dalam menjalankan tanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan kesucian Islam.

Apa yang menjadi persoalan adalah benarkah JAIS bertindak keterlaluan dan menyalahi undang-undang?

Kejamkah JAIS berbuat demikian semata-mata patuh kepada keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes Rayuan Sivil pada 14 Oktober lalu yang menetapkan bahawa kalimah Allah bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan penganut Kristian?

Salahkah JAIS mentaati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan rakyat negeri itu akur kepada larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam?

Bagi seorang peguam jenayah kanan, Ranjit Singh Dhillon, titah Sultan Selangor itu dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 sudah cukup berkuasa untuk menjadi undang-undang.

Jelasnya, jika dibaca bersama keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, The Herald seharusnya ‘duduk diam’ sehinggalah rayuan bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sikap The Herald yang membangkitkan isu tersebut ternyata menerbitkan rasa sangsi dalam dirinya, seolah-olah mereka mempunyai agenda sendiri.

Jika benar pula dakwaan JAIS telah melanggar undang-undang dalam serbuan berkenaan, Ranjit mendesak Christopher Leong (Presiden Majlis Peguam) supaya memfailkannya di mahkamah bagi mencabar titah Sultan Selangor dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

“Tegakkan kebenaran undang-undang, masuk mahkamah. Majlis Peguam tidak perlu gentar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, tidak sepatutnya Christopher Leong ‘main wayang’ dalam media kerana badan profesional yang dipimpinnya tidak wajar diheret ke dalam medan persengketaan berbaur politik.

Lebih mengecewakan Ranjit adalah sekiranya kenyataan Christopher Leong itu merupakan pandangan peribadi, bukannya satu ketetapan yang dipersetujui bersama oleh semua ahli Majlis Peguam.

“Adakah titah Sultan Selangor dan enakmen terbabit dibahaskan terlebih dahulu oleh ahli-ahli Majlis Peguam sebelum dibuat sebarang ketetapan?" soalnya.

Cukup-cukuplah mahu menghentam JAIS dalam isu ini. Biarlah agensi berkenaan melaksanakan amanah yang mereka galas tanpa campur tangan pihak tidak berkenaan atau pihak lain yang mempunyai kepentingan sendiri.

Jika masih ada yang tidak berpuas hati, gunakanlah saluran sepatutnya termasuk membawa isu berkenaan ke mahkamah. Biar undang-undang mengadili siapa yang benar, siapa salah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...