Followers

Thursday, November 29, 2012

Malaysia Diiktiraf Sebagai Negara Contoh


ANTARA atur cara menarik pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 adalah Forum Antarabangsa UMNO yang diadakan buat kali ketiga di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Forum itu bukan sahaja bagi berkongsi kisah sebenar daripada mulut ahli panel yang menempuhi zaman konflik di negara mereka sendiri malahan membincangkan keamanan sejagat untuk dijadikan iktibar semua pihak yang bertelagah.

Panel peserta terdiri daripada dalam dan luar negara mewakili lebih 200 delegasi kerajaan dan parti-parti politik utama dari 20 negara, khususnya yang pernah atau masih berdepan dengan persengketaan dalaman mahupun dengan negara jiran.

Azerbaijan, Kemboja, Iraq, Palestin, Vietnam, Niger, Sudan, Filipina, China dan banyak lagi menghantar wakil-wakil mereka untuk berkongsi kisah dan pengalaman masing-masing.

Pengerusi forum tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan program tersebut berjaya bukan sahaja dalam menarik lebih ramai wakil delegasi berbanding tahun lalu, malahan menyertai perbincangan secara serius dalam tajuk-tajuk yang dibincangkan.

"Perbincangan yang diadakan padat dengan isi penting khususnya daripada panel-panel jemputan menceritakan pengalaman sendiri agar hadirin memahami situasi sebenar hidup dalam persengketaan.

"Mereka yang turut serta bukan calang-calang orang. Kita ada pemimpin daripada Hamas, Fatah, Bangsamoro, Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Timbalan Menteri Niger, Ahli Parlimen wanita dari Azerbaijan dan wakil dari negara-negara lain juga," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpendapat forum itu berjaya mencapai sasarannya untuk memberi penjelasan daripada mulut mereka yang hidup dalam dunia bergolak berbanding cerita melalui media massa sahaja.

Tambahnya, selain kehadiran yang semakin ramai, minat untuk menjadi ahli panel juga semakin tinggi sehinggakan wakil Iraq terpaksa membuat permintaan saat akhir untuk berucap dan berkongsi kisah mereka.

Beliau melihat perkembangan itu menunjukkan forum berkenaan telah menjadi satu platform penting untuk masyarakat antarabangsa berkongsi kisah-kisah mereka dengan dunia mahupun rakyat Malaysia sendiri.

"Ini membuka mata dan bagus untuk negara serta UMNO sendiri. Kalau rakyat Malaysia mendengar kisah ahli-ahli panel tersebut, mereka akan tahu betapa bertuahnya dapat hidup di negara ini, walaupun ada konflik yang timbul sekali sekala tetapi kita tetap boleh uruskan dengan baik.

"Untuk sekat konflik sepenuhnya tidak boleh kerana ia sudah wujud sejak kelahiran anak-anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, semuanya bergantung kepada cara kita menguruskannya," ujarnya.

Kerana itu katanya, perwakilan yang hadir pada forum tersebut begitu kagum dengan pencapaian Malaysia yang mempunyai pertindihan tuntutan dengan lima negara jiran tetapi semuanya dapat diselesaikan secara baik tanpa peperangan.

Ismail Sabri memaklumkan, para delegasi asing yang hadir sebagai ahli panel atau peserta biasa bukan sahaja memuji peranan Malaysia dalam menyelesaikan konflik negara lain malahan mahu belajar cara dan pendekatan pemimpin negara mengatasi konflik yang dihadapi selama ini.

"Dalam menyelesaikan konflik, perlu ada kompromi kedua-dua belah pihak dan bukan sebelah pihak sahaja mengalah. Negara yang menjadi orang tengah juga tidak boleh ada kepentingan peribadi, kerana itu Amerika Syarikat (AS) tidak sesuai membantu perjanjian damai Palestin-Israel.

"Kita patut sedar kejayaan ini kerana ada pemerintah yang bijak menguruskan konflik dan kerana cara pendekatan mereka juga, kini Malaysia dihormati dunia selepas berjaya membantu menyelesaikan konflik di beberapa negara lain," tegasnya.

Mengambil contoh penyelesaian isu rantau ini, beliau memaklumkan perebutan pulau Malaysia dengan Singapura dan Indonesia diselesaikan di mahkamah antarabangsa sementara tuntutan zon minyak dengan Brunei dan Thailand diselesaikan melalui perkongsian hasil secara sama rata.

Tambahnya, negara tidak pernah memilih langkah ketenteraan mahupun peperangan dalam menyelesaikan konflik yang timbul dengan jiran-jirannya seperti mana yang berlaku antara Azerbaijan dan Armenia mahupun antara Iraq dan Iran.

Menurut beliau, Malaysia kini menjadi model kepada negara-negara lain bukan sahaja kerana menyelesaikan konflik secara aman malahan mempertahankan kata putus yang dicapai.

"Mereka juga kagum kerana kita mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama tetapi tetap mampu dijaga tanpa konflik dalaman yang serius.

"Kerana itu juga kita diyakini mampu menjadi orang tengah jika timbul isu di negara lain seperti mana Kemboja yang menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur pada zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan perjanjian damai Bangsamoro di zaman Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.

Beliau memaklumkan, bukan sahaja delegasi Kemboja dan Bangsamoro yang mengiktiraf dan menyebut peranan kerajaan Malaysia, malahan banyak negara lain termasuk Hamas dan Fatah memuji sokongan pemimpin negara untuk kemerdekaan Palestin.

Tambahnya, Hamas dan Fatah yang tidak sehaluan dalam politik juga sekata memuji pendirian teguh Malaysia yang tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak termasuk AS dalam mempertahankan sebuah negara Palestin berdaulat.

Selain Thailand yang baru-baru ini dimaklumkan mengharapkan bantuan dalam menyelesaikan konflik di selatan negaranya, Ismail Sabri turut mengakui ada beberapa negara lain mengemukakan permintaan agar kerajaan Malaysia menjadi orang tengah.

"Ada beberapa negara lain yang menghadapi konflik sudah meminta Malaysia memainkan peranan sebagai orang tengah tetapi masih terlalu awal untuk kita dedahkan perinciannya.

"Kita juga tahu ada pihak lain di Malaysia yang ingin mengambil nama seperti dalam penyelesaian konflik di Filipina tetapi delegasi Bangsamoro sendiri telah iktiraf Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang terlibat secara langsung, bukannya orang lain," tegasnya.

Menurut Ismail Sabri lagi, kerana itu juga Perdana Menteri dijemput ke Manila semasa majlis menandatangani perjanjian autonomi kerana beliau terlibat secara langsung dalam proses damai itu sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan lagi.

"Golongan yang menidakkan usaha-usaha murni kerajaan walaupun setelah diiktiraf dunia, umpama sudah tertutup pintu hati sedangkan mereka tahu semua yang kerajaan lakukan itu bagus. Ini sindrom tidak mahu terima hakikat, tidak mahu mengaku kebaikan orang lain.

"Tetapi, kita dalam UMNO akan pegang kepada hakikat, menang atau kalah kita kena terima. Tak boleh kata demokrasi bila menang sahaja, jerit tidak demokratik pula bila sudah kalah," ujar Ismail Sabri.

2 comments:

Elie Lily said...

seten parts Malaysia memang boleh jadi contoh. but other parts, kita still spoil. hmm. tp lahir kat malaysia, supposed we should be proud being Malaysian right? :)

Alan said...

memanglah kita tidak mampu memajukan seluruh negeri didalam masa yang sama melainkan negara kita ni kecil macam singapura ataupun jepun.

malah di amerika sendiri, masih ada tempat yang spoil..

sebagai rakyat negara ni, tak kisahlah macam manapun tempat kita, kita tetap perlu berbangga kerana hanya ini satu2nya negara yang kita ada.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...