PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai, malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang, bahawa kemungkinan kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa pengantar. PAGE dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik, suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik.
Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) bersama-sama 48 pertubuhan Melayu juga Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) membantah sekeras-kerasnya akan cadangan berkenaan. Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah.
Identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh kepentingan kelompok minoriti. Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia.
Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi tidak menolak peri pentingnya bahasa Inggeris. Mereka memikirkan kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil elit dan kelas atasan. Ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang bahasa anti kelas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini dalam kerangka kepentingan politik.
Secara khususnya pembesaran kelas menengah Melayu disebabkan oleh pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Semakin ramai kelas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah kelas ini masih kecil berbanding kelas yang sepertinya di kalangan bukan Melayu.
Amat dikhuatirkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan kelas birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya, berbanding majoriti rakyat di luar bandar yang terus berbahasa Melayu. Maka bahasa Inggeris untuk kelas atasan Melayu manakala bahasa Melayu untuk kelas bawahan Melayu.
Bahasa Melayu akan terus dipandang kampungan, penuh kekolotan dan tradisional. Satu jurang kebudayaan yang tidak molek dalam kerangka perpaduan Melayu. Bukan sahaja berlaku susun lapis dari segi sosial dan ekonomi, malah dari segi bahasa, kembali ke fenomena zaman kolonial dan pra-merdeka.- Utusan Malaysia
Sudah menjadi amalan biasa diakhir zaman ini, ada sesetengah golongan yang menganggap kemahiran berbahasa Inggeris menunjukkan status diri yang hebat. Benda ni aku tak pelik sebab dah banyak contoh yang aku nampak.
Benda ni sebenarnya dah bermula sejak zaman Inggeris lagi. Sesiapa yang boleh bertutur dan menulis didalam bahasa Inggeris dipandang tinggi. Hal ini berterusan sampailah kita merdeka. Sehingga fahaman ini tertanam didalam benak kepala setiap manusia bahawa bahasa Inggeris itu bagus, bahasa Melayu tidak bagus.
Sampailah hari ini, golongan korporat atau keparat megah menggunakan bahasa Inggeris didalam perbualan harian. Aku tak hairan sangat sekiranya mereka bukan berbangsa melayu. Yang aku pelik adalah ada orang melayu sendiri yang malu menggunakan bahasa melayu.Seolah olah kalau orang kaya mesti bercakap dalam bahasa Inggeris.
Aku selalu lepak KL. Tengok budak budak melepak dan merayau. Memang aku nampak sangat jurang diantara budak budak golongan bawahan dan juga atasan.Mungkin disebabkan faktor pendidikan juga memainkan peranan tetapi benda ni kalau tak dibendung dari sekarang, jurang ini akan semakin meluas.
Tak salah seseorang itu mahir didalam bahasa Inggeris. Tetapi menjadi salah apabila dia terlalu mengagungkan bahasa asing sehingga mempelekehkan bahasa sendiri. Golongan ini patut disedarkan. Tak kiralah sehebat manapun pengetahuan dia didalam bahasa Inggeris, dia tetap orang melayu. Nenek moyang dia tetap makan belacan,petai dan jering. Jadi tak payahlah berlagak sangat dengan fahaman bahasa inggeris melambangkan status diri.
No comments:
Post a Comment