Followers

Monday, July 19, 2010

Orang Melayu Perlu Sedar - Ini Negara Kita !

KELIBAT orang muda banyak dipertanyakan ketika berlangsungnya Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ipoh, Sabtu lalu. Rata-rata yang hadir seolah-olah berasa hairan mengapa seminar kesedaran mengenai orang Melayu itu tidak mendapat sambutan di kalangan generasi muda Melayu.

Daripada seramai kira-kira 1,000 orang yang memenuhi dewan berkenaan, kehadiran orang muda boleh dibilang dengan jari. Sedangkan seminar sehari anjuran Gabungan Melayu Perak (GMP) itu membariskan nama-nama pembentang kertas kerja yang cukup gah dan tersohor dalam isu-isu mengenai Melayu.

Antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan tokoh akademik yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran & Kajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam. Turut hadir membincangkan topik Melayu ialah tokoh peguam, Zainur Zakaria dan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Halipah Esa.

Penganjuran perhimpunan itu juga dilihat sangat kena pada masanya ketika isu-isu mengenai orang Melayu masih diperkatakan sehingga kini. Hak keistimewaan orang Melayu seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan, agama Islam dan institusi Raja-Raja terus dicabar oleh sesetengah pihak.

Seharusnya dalam perkara ini, kelantangan dan keberanian generasi muda diperlukan sebagai benteng mempertahankan bangsa Melayu. Sebaliknya yang terjadi ialah golongan warga emas Melayu yang sebahagian besarnya sudah melepasi usia persaraan yang lebih banyak memenuhi dewan.

Ironinya kumpulan ini sudah tidak perlu lagi diingatkan tentang apa keistimewaannya untuk menjadi orang Melayu di bumi Tanah Melayu atau Malaysia ini.

Mereka adalah generasi Melayu yang melalui sendiri kepayahan pada era pra dan pasca merdeka. Mereka juga merasai sendiri kepahitan di bawah penguasaan tentera Jepun, komunis dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Maka, kehadiran mereka sebenarnya tidak lebih daripada mengenang kembali apa yang telah dilalui sepanjang tempoh itu.

Tetapi bagi generasi muda Melayu selepas merdeka yang tidak merasai kepayahan itu, perhimpunan sebegini perlu didekati untuk menyedarkan mereka harga yang perlu dibayar oleh orang Melayu untuk meraih nikmat kemerdekaan tersebut.

Kelibat mereka juga sangat diperlukan kerana merekalah yang akan terus mempertahankan apa yang selama ini menjadi hak orang Melayu.

Tanpa kesedaran daripada perhimpunan seperti ini, generasi muda Melayu akan terus leka dan hanyut dalam dunia mereka sendiri. Lama-kelamaan, hak-hak orang Melayu yang diwarisi daripada sisa-sisa perjuangan kemerdekaan terdahulu akan lenyap tanpa mereka sedari.

Rendahnya minat generasi muda Melayu terhadap sejarah bangsa mereka sendiri turut mendapat perhatian Prof. Ramlah.

Katanya, generasi muda hari ini tidak mendalami sejarah negara dengan mendalam menyebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perjalanan pembentukan Malaysia.

Mereka juga tidak menghayati apa yang telah dikorbankan oleh orang Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan. Disebabkan kurangnya pengetahuan itu, mereka berasakan tidak mempunyai apa-apa untuk dipertahankan.

Tetapi apa yang menghairankan Prof. Ramlah ialah generasi muda sebaliknya sangat berbangga mendalami sejarah negara lain terutamanya kuasa Barat seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Rusia dan sebagainya. Mereka juga lebih mengenali tokoh-tokoh seperti Barack Obama, Adolf Hitler, Nelson Mandela dan banyak lagi.

Tetapi lidah mereka pelat untuk menyebut nama-nama pejuang kemerdekaan negara seperti Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaakub, Mustapha Hussin dan ramai lagi.

Tanyalah generasi muda Melayu hari ini berapa ramai yang tahu apa yang berlaku di sebalik penentangan besar-besaran orang Melayu terhadap Malayan Union.

Apakah mereka sedar di mana pendirian orang-orang bukan Melayu ketika penjajah cuba menghidupkan gagasan Malayan Union ketika itu?

Kerana itu bagi Prof. Ramlah, tanggapan mengenai sejarah di kalangan generasi muda perlu diperbetulkan. Satu pendekatan baru perlu dicari bagi memastikan generasi muda itu benar-benar menghayati sejarah bangsa dan negara.

Beliau tidak bersetuju generasi muda dihantar mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di luar negara. Dalam usia yang terlalu muda iaitu awal 20-an, pelajar-pelajar ini terlalu hijau dalam soal kewarganegaraan dan jati diri sama ada sebagai seorang Melayu mahupun sebagai seorang rakyat Malaysia.

Seharusnya dalam usia semuda itu, pelajar-pelajar generasi baru ini ditanam dengan semangat cintakan negara dan perasaan nasionalis sebenar di universiti-universiti tempatan.

Barulah pelajar-pelajar itu dibenarkan melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti Sarjana Muda dan Doktor Falsafah di luar negara. Ada benarnya apa yang disebut oleh Ramlah itu kerana rendahnya semangat nasionalis pelajar-pelajar muda yang dihantar ke luar negara tersebut, sebahagian besar daripada mereka tidak pulang untuk berbakti di tanah air.

Sebaliknya mereka selesa bekerja dan menetap di luar negara kerana rendahnya perasaan perasaan cintakan negara. Keghairahan kerajaan menghantar pelajar muda ke luar negara juga melahirkan generasi baru yang berfikiran liberal dan sosialis.

Mereka berasakan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan 53 tahun lalu tiada kena mengena dengan kehidupan hari ini. Bagi mereka juga, masyarakat moden hari ini seharusnya tidak lagi dipisahkan dengan garis perkauman.

Mereka mahukan semua bangsa, kaum dan etnik mendapat hak yang sama rata dan istilah seperti kuota, hak istimewa dan pelbagai kelebihan milik bumiputera dikongsi secara bersama. Namun apakah mereka sedar permintaan itu sebenarnya hanyalah pengorbanan sebelah pihak semata-mata.

Cubalah tanya kepada kaum yang menguasai ekonomi hari ini, sudikah mereka berkongsi sedikit kek ekonomi yang mereka miliki kepada orang Melayu? Cuba juga ajukan persoalan bersediakah mereka menutup sekolah berasaskan etnik jika benar-benar mahu melihat wajah sebenar bangsa Malaysia? Atau diselaraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai rasmi terutamanya di semua sekolah? Jawapannya sudah semestinya tidak.

Malah jika boleh mereka mahu lebih banyak peluang ekonomi diberikan kepada mereka dan lebih banyak tanah serta dana disediakan untuk membangunkan sekolah berasaskan etnik. Maka inikah yang dikatakan perjuangan sama rata dan perkongsian yang adil?

Sementara itu Zainur pula menegaskan orang bukan Melayu perlu sedar bahawa hak keistimewaan orang Melayu diperakui sendiri oleh penjajah terutamanya seperti yang tertulis dalam Suruhanjaya Reid. Maka, ia tidak wajar dipersoalkan jauh sekali untuk dihapuskan.

Beliau turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak larut dalam perjuangan memberikan kesamarataan kepada semua kaum kerana sejarah dunia ada mencatatkan bagaimana kaum minoriti menjadi pemerintah kepada kaum majoriti seperti yang terjadi di Afrika.

Kuasa itu pula sangat sukar untuk diambil semula dan lama-kelamaan kaum majoriti akan kehilangan identiti seperti mana yang berlaku kepada Melayu di Singapura.

2 comments:

Anna Boleyn said...

orang muda zaman sekarangs dah tak berminat dengan menda2 ni sume. huhu

p/s : hari ni ada banyak slot baru keluar kat HLN. Ada resipi, petua, one in love, gosip sopan and macam2 lagi. jemput baca yerr :)

alan said...

memang sekarang awk cakap tak minat..nanti bila awak dah mula rasa susah baru awak sedar..tapi masa tu mungkin dah terlambat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...