Followers

Monday, August 24, 2009

Hantu Botak Dalam Lombong

Baru saja saya meneguk kopi di rumah Aki Sahak, tiba tiba dua orang lelaki memanggilnya dari tengah halaman. Mereka kelihatan cemas dan gelisah. Memang ramai orang yang datang mencari Aki Sahak untuk meminta pertolongan apabila dilanda masalah.

"Apa halnya ini?" tanya Aki Sahak.

"Adalah sikit perkaranya aki..." jawap salah seorang dari mereka.

Lalu keduanya dijemput naik kerumah dan turut dijamu kopi.

"Cakaplah apa halnya ini?" kata Aki Sahak setelah kami semua terdiam.

"Begini aki, anak bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang masih tak jumpa." dia terus memberitahu tujuan sebenar kedatangan mereka.

"huss macam mana boleh jatuh?" Aki Sahak terkejut.

"Mandi dengan kawan kawannya. Tiba tiba dia terus tenggelam. Sampai sekarang masih tak jumpa"

Dengan tidak banyak bicara, saya dan Aki Sahak terus mengikut kedua lelaki tadi menuju lombong yang dikatakan. Saya dapati sudah ramai yang menunggu di lombong berkenaan. Orang ramai turut membantu menyelam namun gagal mengesan mayat budak berkenaan. Ada juga sesetengah pihak yang berpendapat tunggu saja sampai mayat itu timbul.



Tetapi sejak dari pukul 10 pagi sehingga jam 5.3 petang mayat berkenaan masih tidak juga timbul.

Abang Amud iaitu ayah kepada budak tadi sudah mula tidak yakin bahawa anaknya boleh ditemui lagi. Dia tahu anaknya sudah mati lemas tetapi mengapa mayatnya masih tidak timbul. Kalau hendak tenggelam kedalam lumpur adalah mustahil.

Aki Sahak terus berbincang sesuatu dengan Abang Amud. Kemudiannya mereka menuju kearah saya. Dia terus bersalam dengan saya..

"Aki Sahak dah beritahu tentang Mat Deh ni..." "Jadi saya nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolonglah benar benar Mat Deh..." ujarnya dengan penuh harapan.

"Eh tolong apa pula ni? sahut saya tersengih sengih.

"Janganlah berdalih lagi Mat Deh. Saya minta tolong benar ni. Aki Sahak sendiri yang minta sampaikan pada Mat Deh." Abang Amud terus mendesak.

SAya jadi serba salah dengan permintaan Abang Amud. Saya berpaling kepada Aki Sahak. Aki Sahak terus meminta saya membantunya didalam usaha mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.

"Lombong ini bukannya sungai. Dah tentu ada benda yang menyorokkannya.." demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang kampung yang berkumpul.

"Perlukah bara dan kemenyan?" soal Abang Amud.

"Tak perlu. Ini bukannya kerja asap kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam mana..." Aki Sahak memberi jaminan.

"Kita buat semuanya kerana Allah" Aki Sahak berbisik kepada saya.

Sebelum memulakan, kami semua sembahyang fardu maghrib dahulu ditepi lombong. Selesai sembahyang, barulah dia menerangkan bahawa dia mahu tidurkan saya. Barulah saya faham kaedah yang akan digunakan. Saya sendiri akan ditidurkan dan rawan(yakni roh kita semasa tidur) saya sendiri akan keluar mencari mayat budak berkenaan.

Mungkin bagi orang yang tidak memahami, bagaimana cara ini dilakukan. Tetapi bagi mereka yang mempelajari Usulluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Kerana semuanya tetap dibawah kekuasaan Allah jua.

"Mulakan zikir..." bisik Aki Sahak.

Dalam beberapa saat saja, saya rasakan dunia menjadi gelap. Hanya terdengar suara Aki Sahak membisik supaya diteruskan berzikir. Ketika ini saya dapat merasakan tubuh saya melayang ke udara.

"Sekarang masuk kedalam lombong dan cari mayat budak ni." begitu jelas suara Aki Sahak ditelinga saya.

Dengan tidak bertangguh, saya terus masuk kedalam lombong. Semuanya kelihatan gelap gelita. Kemudian saya membaca Surah Waddhuha. Setelah itu barulah sekeliling menjadi terang benderang.

Ketika ini saya nampak satu lembaga sedang duduk bersila ditengah dasar lombong. Diatas ribanya terdapat seorang budak. Tiba tiba dia berpaling kearah saya. Matanya menyala nyala seperti puntung api.

"Lepaskan budak itu..." perintah saya tetapi lembaga itu tidak menghiraukan saya.

Memang budak itu tidak boleh diselamatkan lagi tetapi tak patut puaka air berkeras tak mahu lepaskan mayatnya.

"Lepaskan!.." perintah saya lagi.

"budak ini menganggu anak cucu aku bermain" sahut lembaga botak itu.

Dia berkeras tidak mahu lepaskan mayat anak Abang Amud.

"Lanarjumanakum walayasmanakum minna azabun alimm..." saya menghembus perlahan lahan kearah lembaga tersebut. Setiap kali saya menghembuskan nafas, berpuluh puluh anak panah berapi menjunam ke tubuh lembaga botak tersebut.

Lembaga itu mengeliat geliat setiap kali tubuhnya diterjah anak panah berapi. Dia terus menjerit jerit meminta ampun.

"Kalau kau tak nak dipanah lagi, lepaskan budak itu!" perintah saya lagi.

Lembaga itu masih terus berkeras.

Lantas saya terus mengucapkan "Allahu Akbar" sebanyak tiga kali.

Seluruh kawasan lombong terus bergegar kuat bagaikan dilanda gempa bumi. Tubuh lembaga itu terus berputar seperti debu ditiup angin.

Namun lembaga itu tetap berdegil. Memang syaitan sengaja mahu melalaikan kita dan terus memperdayakan manusia. Sebab itulah saya terus bertindak tanpa memberinya peluang lagi.

"Wallauanquran suyirat bihiljibalu..." saya berdoa dengan khusuk dan taqwa kepada Allah. Lalu saya hembuskan ke kepala lembaga botak berkenaan. Lembaga itu menjadi debu dan hancur.

Jeritannya bergema ke pelusuk alam. Hanya saya yang dapat mendengar jeritan berkenaan. Kalaulah semua orang ditepi lombong dapat mendengarnya, tentu mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah.

Sebaik tubuhnya menjadi debu, mayat Anak Abang Amud terlepaslah dari ribaannya.

"Sekarang masuk semula kedalam tubuh kamu dan buka mata" terdengar suara Aki Sahak memberi arahan. Perlahan lahan saya masuk semula kedalam tubuh yang terbaring. Apabila saya membuka mata, saya melihat orang ramai masih mengelilingi saya.

Tatkala saya mahu duduk, terdengar orang memekik dari tepi lombong. "itu dia..budaknya dah timbul!"

Saya tergamam Apabila Abang Amud terus memeluk saya dengan erat. Terasa air matanya membasahi bahu saya. Ketika ini mayat Anak Abang Amud telahpun dibawa naik kedarat dan diusung ke rumah untuk dikebumikan keesokkan harinya.

Dipetik daripada siri "Tok Awang Ngah" cetakan 1985

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...