Followers

Thursday, August 21, 2008

Perginya Seorang putera raja, tokoh korporat, politik

BANYAK yang menggelar baginda seorang lelaki yang penuh bersemangat melayari kehidupannya. Siapa yang tidak mengenali Tunku Abdullah ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 83, sebagai seorang putera raja, tokoh korporat dan tokoh politik.

Pagi semalam, adinda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar itu mangkat di sebuah klinik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Baginda yang baru tiba di KLIA dengan penerbangan dari London tiba-tiba mengalami sesak nafas lalu dikejarkan ke klinik di mana baginda disahkan mangkat pada kira-kira pukul 9.20 pagi.

Tunku Abdullah iaitu anak lelaki ketiga Yang di-Pertuan Agong pertama Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad meninggalkan seorang balu Che Engku Rozeeta Ahmad Baharuddin dan sembilan anak serta 17 cucu.

Almarhum dilahirkan pada 2 Mei 1925 di istana Negeri Sembilan dan membesar pada zaman pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Sebagai remaja ketika zaman perang, baginda dikatakan cukup kental mengharungi hidup seperti rakyat jelata lain walaupun terpaksa mengharap makanan yang dilontarkan oleh pesawat pejuang tentera Inggeris.

Keperitan dan perjuangan hidup menyaksikan beberapa siri penjajahan orang asing dari Jepun sehingga Inggeris itu barangkali menyemai semangat kecintaan pada negara yang kental dalam dirinya.

Lantaran itu, beberapa peristiwa bersejarah di negara ini telah dilalui oleh Tunku Abdullah iaitu semasa Perang Dunia Kedua sehingga kepada kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.
Sebagai ahli politik, Tunku Abdullah memberi sumbangan yang tersendiri kepada UMNO.

Baginda adalah salah seorang penggerak utama membawa Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali ke dalam UMNO setelah dipecat pada 1969 oleh Presiden UMNO ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Malah, kesetiaan baginda terhadap parti terserlah apabila baginda bersedia untuk mengosongkan kerusi Parlimen Rawang ketika itu untuk memberikan laluan kepada Tun Dr. Mahathir kembali kepada persada politik perdana.

Dalam arena korporat, Tunku Abdullah yang mendapat pendidikan tinggi di Raffles College, Singapura dan Universiti Glasgow, Scotland dalam bidang pentadbiran awam adalah tokoh perniagaan sejati sehingga saat-saat akhir baginda menghembuskan nafas terakhir.

Baginda menjadi seorang tokoh korporat yang berjaya apabila meninggalkan kerjaya sebagai ahli politik pada 1974 selepas 10 tahun memberi perkhidmatan kepada rakyat kawasan Parlimen Rawang.

Tunku Abdullah pernah dilantik sebagai Pengarah MBF Group pada 1969 dan menduduki kerusi pengerusi syarikat tersebut pada 1973. Selain itu, baginda juga merupakan Pengerusi dan Pengarah MAA Holdings Berhad dan Melewar Group Berhad.

Di sebalik pelbagai jawatan yang diterajuinya, baginda tidak pernah menimbulkan sebarang konflik membabitkan syarikat-syarikat korporat tersebut.

Sebagai peneraju MAA, Tunku Abdullah berjaya meletakkan syarikat insurans hayat dan am Malaysia itu sebagai yang terulung di negara ini.

Memetik kata-kata bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir yang juga merupakan sahabat baik baginda, "Kehidupan Tunku Abdullah adalah jendela dunia korporat, politik dan keluarga diraja Malaysia."

Seluruh kehidupan Tunku Abdullah itu juga pernah dimuatkan dalam buku biografi tulisan adindanya, Tunku Ibrahim yang diterbitkan pada 2000.

Atas nama cinta kepada rakyat Malaysia, hasil daripada penjualan buku edisi terhad itu disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Buah Pinggang MAA-Medicare manakala royalti yang diterima Tunku Halim disumbangkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah.

Pemergian baginda ke rahmatullah pagi semalam tentunya dirasai oleh kerabat diraja, rakan dan rakyat jelata dalam mengenangkan jasa-jasa yang pernah ditaburkan baginda terutama dalam arena politik dan ekonomi.

2 comments:

MWinBiz said...

Innalillah.....
time kasih sbb melawat blog sy..
jgn lupe utk aktifkan msjbox..
tak mahal pun.. :D

Anonymous said...

bro,cm ne nk aktifkn msj box...sape2 blh tlg aku x

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...