Followers

Friday, March 14, 2008

Perjalanan Nabi Musa ketika kembali ke Mesir

KISAH AL-QURAN
MAKA tatkala Musa menyelesaikan waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnya api di lereng gunung. Ia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah (di sini) sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”. (al-Qashash: 29)


Dari Madyan, Nabi Musa membawa isterinya menuju ke Mesir iaitu negeri kelahirannya. Nabi Musa meninggalkan mertuanya yang sudah tua. Walaupun beliau bahagia bersama isterinya isterinya di Madyan, tetapi Nabi Musa mahu kembali ke tanah airnya.

Nabi Musa bersama isterinya berangkat menuju ke utara meninggalkan Madyan. Setelah berjalan menempuh padang pasir yang luas, akhirnya Nabi Musa bersama isterinya tiba di Thur Sina (Gunung Sinai). Nabi Musa bersama isterinya sesat dan berasa ragu untuk meneruskan perjalanan.

Malam telah tiba, membawa bersama ketenangan dan kedamaian dengan bintang-bintang yang gemerlapan di langit. Bertambah ragu dan bimbang Nabi Musa dengan perjalanan mereka. Tiba-tiba dari jauh Nabi Musa melihat api-api yang berkelip-kelip.

“Saya mahu ke sana. Mahu melihat api yang berkelip-kelip itu. Tinggallah kamu di sini sekejap. Saya akan segera ke sini membawa berita,” kata Nabi Musa kepada isterinya.

Nabi Musa pun berjalan menuju ke tempat itu. Nabi Musa tiba di bawah pokok zaitun yang rendang berhampiran api itu. Tiba-tiba dia terdengar satu suara.

“Wahai Musa, Aku adalah Allah Tuhanmu. Maka tanggalkanlah kedua-dua kasut di kakimu, kerana sesungguhnya engkau berada di lembah suci Thuwa. Aku memilih engkau menjadi utusan-Ku Dengan itu dengarlah baik-baik apa yang akan diwahyukan kepadamu.

Sesungguhnya Aku adalah Tuhan. Tidak ada Tuhan selain Aku. Dengan itu sembahlah Aku. Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku. Sesungguhnya kiamat pasti tiba. Manusia akan menerima balasan atas segala perbuatannya. Janganlah engkau menurut kata orang yang tidak mempercayai Aku dan janganlah engkau membawa celaka kepada dirimu sendiri.”

Wahyu pertama telah sampai kepada Nabi Musa. Nabi Musa telah diangkat menjadi rasul dan sebagai utusan Allah s.w.t.

“Wahai Nabi Musa apakah di tangan kamu itu,” bunyi suara itu selanjutnya.

“Ini adalah tongkatku. Tempat untuk aku bertekan dan menggunakannya untuk menghalau kambing gembalaan,” jawab Nabi Musa.

Allah memerintahkan Nabi Musa melemparkan tongkat yang berada di tangannya itu. Tiba-tiba tongkatnya itu bertukar menjadi ular. Pada mulanya ular itu kecil tetapi lama-kelamaan ular itu menjadi besar.

Nabi Musa menjadi takut sehingga baginda lari dengan sekuat-kuatnya.

“Jangan takut wahai Musa. Sesungguhnya orang yang telah diutus tidak boleh takut. Kamu peganglah semula pasti ia akan menjadi tongkatmu”.

Nabi Musa menjadi tenang dan insaf mendengar firman Allah s.w.t. itu. Baginda bersyukur atas pemberian Allah kepadanya. Musa telah menjadi nabi dan rasul Allah s.w.t.

“Kepitlah tanganmu ke dalam ketiakmu. Nescaya tanganmu akan menjadi putih bersih yang berkilat-kilat. Apabila kamu di dalam ketakutan, pangkulah tanganmu itu. Sekarang kamu boleh berangkat bagi menghadapi Firaun dan pengikut-pengikutnya”.

Inilah kedua-dua mukjizat yang diberikan Allah s.w.t. kepada Nabi Musa. Nabi Musa berjalan pergi ke tempat isterinya lalu meneruskan perjalanan ke Mesir.



PENGAJARAN

* Seseorang itu hendaklah bersyukur dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...