Followers

Sunday, March 23, 2008

Ilmu Hitam


Meskipun zaman semakin moden, perbuatan manusia yang mengikut telunjuk syaitan itu terbukti masih berleluasa apabila ada pengamal ilmu hitam mendakwa menerima permintaan untuk berbuat demikian.

Pengamal ilmu hitam, Mamat, 50, berkata walaupun dilihat karut dan tidak masuk akal, khidmatnya mendapat sambutan, terutama daripada individu yang mahu melunaskan dendam.

“Untuk tujuan itu, mereka sanggup mengeluarkan belanja besar, malah ada yang rela membayar saya sehingga RM25,000.

“Bayaran itu dikira setimpal kerana mereka tahu kerja ini ada risiko pada bomoh dan pihak yang mengupah kerana mereka boleh dikenakan semula ilmu hitam itu jika mangsa berubat dengan bomoh lebih handal. “Dalam sebulan, ada seorang dua datang untuk mendapatkan khidmat saya. Alasan mereka, mahu balas dendam dan melihat musuh mereka kecundang.

“Begitupun, awal-awal lagi saya beritahu, kerja yang saya buat jauh menyimpang daripada ajaran Islam dan bersekongkol dengan syaitan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sekitar ibu negara menerusi satu sumber, baru-baru ini.

Menurut Mamat, dia mengamalkan dua kaedah ilmu hitam, iaitu Ilmu Panah Rajuna Kuning (anak jin) dan Ilmu Temprom (jembalang bukit). Jika ilmu berkenaan menjadi, mangsa akan terseksa dan hidup umpama mayat.

Katanya, untuk Ilmu Panah Rajuna Kuning, dia menggunakan batang pisang yang dikafan dengan membayangkannya umpama tubuh manusia yang hendak dikenakan ilmu hitam itu.

Menurut Mamat, dia menggunakan gabungan mantera dan ayat al-Quran, menulis nama mangsa pada kain kafan sebelum menikam bahagian batang pisang yang diibaratkan jantung mangsa menggunakan keris yang dijampi.

“Jika dapat waktu dan tarikh lahir mangsa, saya akan melakukan upacara itu pada masa dan tarikh berkenaan. Jika tidak, saya akan melakukannya pada Isnin malam Selasa.

“Jika kena pada syarat dan masanya, bahagian yang ditikam mengeluarkan darah dan ia petanda mangsa sudah ‘terkena’. Kalau mangsa cepat diselamatkan, selamatlah dia,” katanya.

Ditanya berapa jumlah mangsa akibat perbuatannya, Mamat enggan mengulas lanjut kerana bimbang waris mangsa mengesan perbuatannya.

Mengenai Ilmu Temprom pula, Mamat berkata, sihir itu membabitkan penggunaan patung tanah liat atau sekarang menggunakan plastisin (doh permainan) yang dibentuk mengikut rupa badan manusia.

“Seperti Ilmu Panah Rajuna Kuning, Ilmu Temprom juga menggunakan mantera dan ayat al-Quran dan upacara ilmu ini turut menggunakan gambar mangsa.“Patung yang dihasil kemudian dicucuk jarum dan sasaran utama adalah pada bahagian kepala, jantung dan sendi bahu, lutut, kaki serta tangan,” katanya.

Menurut Mamat, biasanya penderitaan mangsa bermula dari tempoh tiga hari upacara dilakukan sehingga seminggu.

Katanya, pada mulanya mangsa berasa panas, kebas dan sejuk di tapak kaki sebelum sakit di seluruh badan.

“Tujuan menyucuk jarum di kepala bertujuan menjadikan mangsa hilang ingatan dan berdepan masalah sakit kepala melampau.

“Apabila dicucuk di bahagian sendi pula, mangsa tidak mampu bergerak dan sentiasa berdepan kesakitan.

Untuk menambah derita mangsa, upacara berkenaan dibuat berulang kali, biasanya sebulan sekali,” katanya yang mendakwa doktor tidak mampu mengesan penyakit sebenar mangsa.

Menurut Mamat, selain dua ilmu digunakannya, ada lagi beberapa ilmu lain yang memberi kesan sama.

“Ada pengamal ilmu hitam menggunakan batu bata yang dibalut kain kafan dan kemudian dilambung ke belakang melalui kepala, terus ke sungai dan mangsa akan terseksa hidupnya.

“Ada juga yang menggunakan patung haiwan yang dicucuk jarum bertujuan menyeksa mangsa,” katanya.

Mengulas mengenai pelanggan yang menggunakan khidmatnya, Mamat berkata, kebanyakan mereka sakit hati dengan pihak tertentu seperti jiran, rakan sepejabat atau saingan dalam perniagaan.

Katanya, ada juga anggota masyarakat datang meminta bantuannya kerana masalah makhluk ‘belaan’ (jin) orang tertentu yang mengganas dan mengacau penduduk setempat.

“Jika berdepan kes makhluk belaan mengganas dan mengganggu orang ramai, tuan makhluk itulah yang perlu ditangani,” katanya.


*Sumber Ahad Metro.*

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...