Followers

Friday, October 19, 2007

Pertahankan Kedaulatan Negara Kita

SAYA begitu tertarik dengan kenyataan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam yang menggesa kerajaan bertindak segera terhadap kebanjiran pendatang asing di Malaysia sekali gus menidakkan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

Seperti yang diperkatakan oleh Datuk N. Siva Subramaniam, sektor perkhidmatan di pasar raya besar dan kawalan keselamatan sudah dikuasai pendatang asing.

Adakah wajar sektor yang membabitkan keselamatan rakyat Malaysia diserahkan kepada orang asing? Banyak kawasan perumahan yang mempunyai pengawal keselamatan boleh dikatakan majoritinya pengawal keselamatan rakyat asing.

Bagaimana mereka ini boleh jadi pengawal keselamatan? Apa kelayakan yang membolehkan mereka menjadi pengawal keselamatan? Adakah mereka ini boleh dipercayai?

Saya merasakan keselamatan saya dan rakyat Malaysia semakin terancam apabila pengawal keselamatan itu adalah rakyat asing. Saya berharap kerajaan mengambil berat tentang perkara ini. Sektor perkhidmatan keselamatan tidak sepatutnya diberikan kepada rakyat asing.

Statistik menunjukkan bahawa 25 peratus daripada tenaga pekerja di Malaysia terdiri daripada warga asing. Ini menunjukkan bahawa lebih dua juta pekerja asing berada dan mencari rezeki termasuk mereka yang masuk ke negara kita secara tidak sah.

Angka ini sangat tinggi dan tidak hairanlah di mana-mana sahaja kita pergi, kita akan menemui pekerja dari kalangan warga Indonesia, India, Myanmar, Bangladesh dan sebagainya.
Apabila kemasukan pekerja asing digembar-gemburkan, sebenarnya kita tidak dapat lari daripada membincangkan soal peluang pekerjaan yang semakin tertutup kepada penduduk tempatan terutamanya dalam sektor pembinaan dan juga perladangan.

Tidak dinafikan juga bahawa peluang pekerjaan penduduk tempatan semakin menipis dalam bidang kerja sebagai pembantu rumah kerana warga Indonesia dan Filipina sudah menguasainya.

Keadaan ini dikatakan bertolak daripada sikap penduduk tempatan sendiri yang dikatakan terlalu memilih pekerjaan dan tindakan majikan yang lebih gemar menggaji pekerja asing kerana kosnya murah, tidak banyak kerenah dan sebagainya.

Agak menyedihkan kerana pekerja-pekerja asing sudah menular ke kilang-kilang, kedai makana sehinggalah ke premis-premis perniagaan lain; sebagai pembantu kedai. Tugas ini sebenarnya boleh dipikul oleh penduduk tempatan kerana tidak semua kalangan penduduk tempatan berkelulusan tinggi.

Sebenarnya masih ramai budak lepasan sekolah menengah, kolej dan universiti di negara kita masih menganggur dan merayau ke sana sini tanpa melakukan sebarang kerja berfaedah.
Golongan inilah yang perlu dibela nasib mereka supaya peningkatan kes jenayah mahupun gejala sosial lain dapat dikurangkan.

Peningkatan

Jika pendatang asing yang masuk ke negara kita secara tidak sah dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah, kerana mereka tidak mendapat kerja, ia samalah dengan penduduk tempatan yang alternatifnya terlibat dengan jenayah kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan.

Semua sudah maklum bahawa kebanyakan kes jenayah berkait rapat dengan kemiskinan, desakan hidup dan tiada pekerjaan yang menyebabkan mereka mencari jalan mudah untuk memperoleh kesenangan hidup.

Langkah mudah untuk membendung masalah kemasukan pekerja asing ke negara kita adalah dengan mengadakan semula Program Pemutihan yang pernah diadakan suatu ketika dahulu.
Program Pemutihan akan dapat membersihkan semula status pekerja asing di negara kita. Jika ramai yang meragui kesahihan taraf pekerja asing di negara ini, adalah lebih baik mereka diperiksa dengan rapi oleh pihak berwajib.

Menghantarkan semula mereka ke negara asal adalah lebih baik daripada kita menanggung pelbagai risiko terutamanya masalah jenayah dan juga peluang pekerjaan penduduk tempatan yang semakin terdesak.

Program Pemutihan juga boleh menentukan siapa sebenarnya yang layak berada di negara kita dan menjalankan tugas yang diperuntukkan kepada mereka.
Di samping itu, mengehadkan pengambilan pekerja asing akan dapat membuka ruang kepada penduduk tempatan memperoleh pekerjaan di tanah air sendiri.

Tidak ada gunanya negara mencapai 50 tahun kemerdekaan jika ada antara kita terpaksa merempat di negara sendiri

1 comment:

Anonymous said...

Kerajaan terlalu berlembut dengan orang luar tapi anak bangsa sendiri dianak tirikan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...