Followers

Thursday, November 16, 2006

Kerajaan pertahan Islam: Pak Lah

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan kerajaan akan terus memelihara kesucian Islam dan menangani cubaan merendahkan fungsi Mahkamah Syariah, tetapi pada masa sama tidak akan membenarkan penyuburan sikap kebencian dan tidak toleran.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, Malaysia menggalakkan kerjasama dan dialog serta tidak pernah menjadi tempat konflik dan syak wasangka.
“Saya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan, sama ada Islam atau bukan Islam yang cuba melampaui garis perimbangan yang halus ini dengan mempersoalkan status Islam atau menghasut orang ramai berdasarkan dakwaan palsu dan ancaman yang direka cipta,” katanya.
Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno, Abdullah menegaskan Islam Hadhari bukan ‘cek kosong’ untuk menghidupkan semula pendekatan konservatif atau membenarkan cara hidup yang terlalu bebas dan permisif.
“Islam Hadhari tidak mewujudkan ancaman sedemikian. Ia tidak menghasut umat Islam memusuhi mana-mana kumpulan. Sebaliknya, ia menghuraikan prinsip kita dengan holistik untuk pembangunan menyeluruh masyarakat Islam,” katanya.
Malangnya, kata Abdullah, sesetengah golongan menyalahertikan Islam Hadhari sebagai satu alasan untuk menjadi lebih konservatif atau lebih radikal.
“Budaya yang diamalkan selama bertahun-tahun, kini ditakrif sebagai haram seperti mengucap selamat kepada warga Malaysia yang berlainan agama sempena hari perayaan mereka.
“Apakah kita sudah sampai ke tahap tidak toleran seperti ini? Rumah terbuka yang dikongsi antara kaum turut dikutuk. Bilakah kita menjadi ultra-konservatif. Ini bukan Islam Hadhari,” katanya.
Presiden Umno itu juga menegur tindakan pihak tertentu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai pembaptisan umat Islam beramai-ramai dan penubuhan Persatuan Kristian Melayu.
Malah, katanya, ada yang mendakwa memiliki bukti kononnya ribuan orang Melayu sudah murtad tanpa mempunyai bukti sahih.
Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan itu boleh menyebabkan ramai orang Melayu ghairah, marah, malah menjadi militan kerana tidak menyelidiki kesahihan dakwaan seperti itu.
Abdullah juga menjelaskan mengenai dasar luar negara dengan memilih saluran diplomasi, bukan berkonfrontasi - bersuara lantang dan keras atau memilih cara diplomasi pintar.
“Memilih saluran diplomasi tidak bermakna menjadikan diri kita lemah atau kita sudah mengalah,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kekal bebas dalam dasar luar tanpa pernah tunduk kepada tekanan atau terpaksa meminta bantuan pihak lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...