Followers

Thursday, May 11, 2006

Jasa UMNO pada Melayu

PADA tarikh 11 Mei 2006, ahli-ahli UMNO seluruh negara menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan parti UMNO.

Ia merupakan tarikh yang amat signifikan dalam susur galur sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia.
George Santayana, seorang ahli falsafah dan penyajak Amerika kelahiran Sepanyol pernah menyatakan bahawa mereka yang tidak mengingati masa lampau akan disumpah untuk mengulanginya.

Dalam konteks tarikh keramat 11 Mei, kata-kata hikmat Santayana boleh sahaja dirujuk kepada keperluan untuk generasi muda dengan tujuan untuk mengetahui fakta sejarah. Lebih daripada itu, ia juga wajar digunakan bagi menghayati kesan serta akibatnya kepada sejarah bangsa dan negara.

Keperluan ini semakin mendesak hari ini dalam suasana negara aman damai dengan segala nikmat kemakmuran yang melimpah.

Adalah sesuatu yang perlu buat orang Melayu terutamanya generasi muda bersama-sama menghitung kembali segala rahmat yang Maha Esa kepada kita umat Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Penubuhan UMNO enam dekad lalu telah membuka pintu rahmat kepada bangsa Melayu di bumi tercinta ini.

UMNO adalah sebuah pertubuhan massa Melayu yang mendapat sokongan dan dokongan majoriti umat Melayu.

Ini bertitik tolak daripada matlamat penubuhan UMNO itu sendiri adalah untuk memelihara dan memperjuangkan martabat serta maruah bangsa, agama dan negara.
Orang-orang Melayu yang sebelum ini terkenal dengan kesetiaan kenegerian mereka berubah kepada kesetiaan kebangsaan.

Perpaduan orang Melayu melalui parti keramat ini telah membuahkan hasil apabila UMNO berjaya menamatkan sistem perlembagaan Malayan Union yang menghakis hak orang Melayu dan seterusnya digantikan dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu yang lebih memelihara hak-hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.

Dukungan dan sokongan orang Melayu terhadap UMNO juga telah membolehkan parti menubuhkan perikatan bersama MCA dan MIC yang akhirnya telah berjaya memenangi hak berkerajaan sendiri pada tahun 1955 diikuti kemerdekaan negara dua tahun kemudian.
Kemerdekaan negara yang telah berjaya dicapai memberikan orang Melayu kebebasan dan hak untuk menentukan hala tuju negara tanpa perlu tunduk kepada orang lain.

Kalau semasa penjajahan segala bentuk pembangunan adalah untuk menyenangkan eksploitasi sosioekonomi penjajah terhadap bumi kita namun sekarang segala bentuk pembangunan merupakan demi faedah warganegara sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Sejak berkerajaan sendiri pada tahun 1955 telah ada sebelas rancangan pembangunan bagi jangka masa lima tahun dilaksanakan kerajaan yang diterajui UMNO.
Bermula dengan rancangan pembangunan Malaya yang pertama sehinggalah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dari segi pembangunan modal insan kerajaan yang diterajui UMNO telah berjaya membangunkan prasarana yang mengagumkan terutamanya dalam meluaskan akses kepada pengajian tertiari.

Dari sebuah universiti awam pada awal tahun 60 an kepada dua belas universiti dan enam kolej universiti awam pada tahun 2006.

Ini tidak termasuk 27 Institut Pendidikan Guru, Politeknik (20) , Kolej Komuniti (34), Universiti Swasta (11) Kolej Universiti swasta (11), kampus tempatan universiti asing (5) dan lebih 500 kolej swasta.

Hari ini terdapat kira-kira 322,917 pelajar yang mengikuti pengajian ijazah pertama di institusi awam dan swasta di seluruh negara; 230,381 pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma; 132,880 peringkat sijil; 38,638 peringkat sarjana dan 6,882 peringkat doktor falsafah (Ph.D).

Pada hari ini, 29 peratus mereka yang berada dalam lingkungan umur 17-23 tahun mendapat pendidikan tertiari jumlah ini dijangka meningkat kepada 40 peratus pada tahun 2010.
Siapa yang mampu menafikan jasa UMNO kepada orang Melayu? Sokongan dan dokongan orang Melayu kepada UMNO tidak sekali-kali dipersia-siakan parti.

Ia telah membolehkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirangka dan dilaksanakan.
Melalui dasar ini kemiskinan diperangi dan masyarakat disusun semula agar legasi penjajah iaitu pengenalan kaum mengikut jenis pekerjaan dan lokasi geografi mereka akan dapat diubah.
Kalau pada tahun 1970 apabila bermulanya DEB hanya terdapat 225 orang profesional Melayu, namun hari ini berkat dasar berkenaan serta dasar-dasar selari dengannya menjadikan 42, 414 profesional Melayu atau 38.8 peratus muncul dari keseluruhan profesional di Malaysia.

Jika pada tahun 1970 hanya terdapat 66 jurutera Melayu dan 79 doktor perubatan Melayu, jumlah tersebut telah bertambah kepada masing-masing 22,623 jurutera (46 peratus dari jumlah jurutera di Malaysia) dan 5,720 doktor perubatan (36.7 peratus dari jumlah jurutera di Malaysia). Hanya dalam bidang perakaunan angkanya agak mengecewakan walaupun terdapat 4,498 akauntan Melayu (20.8 peratus dari jumlah keseluruhan semua akauntan di Malaysia) berbanding 40 orang pada tahun 1970 hanya 961 atau 6.2 peratus akauntan adalah bertaraf akauntan profesional.

DEB juga telah berjaya mengurangkan kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia dari hampir 50 peratus pada permulaannya kepada hanya 5.7 peratus hari ini.
Bagi matlamat penyusunan semula masyarakat walaupun kemajuan telah dicapai dalam beberapa bidang namun ia masih belum berjaya sepenuhnya.

Dari segi penguasaan ekuiti bumiputera misalnya, yang diukur dari pemilikan modal saham syarikat berhad walaupun ia telah bertambah dari kurang dua peratus pada permulaan DEB kepada 18.9 peratus pada akhir Rancangan Malaysia Kelapan, namun ia masih tidak dapat memenuhi matlamat DEB iaitu untuk penguasaan bumiputera 30 peratus menjelang tamat DEB pada tahun 1990.

Pengalaman DEB membuktikan bahawa tidak cukup penumpuan diberikan kepada prakarsa dasar atau pembinaan institusi semata-mata tanpa melihat kepada usaha gerakan pembangunan modal insan yang berteraskan reformasi kepada sistem nilai, budaya dan sikap di kalangan orang Melayu.

RMK-9 yang memberi penekanan lebih serius kepada modal insan adalah langkah yang tepat dalam memulakan misi nasional bagi merealisasikan wawasan 2020.
Hari ini dalam usia 60 tahun UMNO perlu terus didokong dan diperkukuhkan kerana parti keramat ini adalah tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah, kerajaan yang menjadi mekanisme untuk memastikan bangsa Melayu akan terus terbela.

Mungkin ada segmen bangsa Melayu yang telah berjaya, telah mampu berdikari serta merasakan tidak lagi memerlukan bantuan atau tongkat tetapi jangan dilupakan masih ada sebahagian segmen bangsa yang masih perlu dibantu.

Untuk menjadikan kemajuan bangsa Melayu lebih pantas selain dari bantuan kerajaan, mereka yang berjaya di kalangan orang Melayu sepatutnya juga menghulurkan tangan untuk membantu membimbing kalangan anak Melayu yang masih perlu dibantu.
Bersama-sama kita memastikan bangsa Melayu akan terus bertatih menjadi bangsa kuat yang dihormati kawan dan lawan, janganlah kita merasa jemu dalam melaksanakan tugas yang mulia ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...