Followers

Monday, January 30, 2006

Unit khas siasat kematian Safiqah

JOHOR BAHRU 29 Jan. - Polis Johor menubuhkan satu unit khas bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes kematian pelajar tingkatan tiga Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS), Safiqah Mohd. Borhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, pasukan khas itu akan bekerja 24 jam sehari menyiasat kes pelajar tersebut.
Beliau berkata, siasatan polis dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk memastikan sama ada mangsa dirogol.

Katanya lagi, pihak polis turut menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kematian Safiqah berdasarkan laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh ahli patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA).

``Laporan bedah siasat yang diterima sudah pun dilaporkan kepada saya dan saya kini sedang meneliti laporan tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kes kematian Safiqah, 15, bermula dengan kehilangannya pada pagi 25 Januari lalu sewaktu Allahyarham dikatakan dalam perjalanan ke sekolah.

Tiga hari selepas kehilangannya dilaporkan oleh bapanya, mayat Safiqah ditemui di dalam longkang sedalam dua meter di Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda (BBU) dekat sini oleh seorang pelajar sekolah lain yang ketika itu, dalam perjalanan ke sekolah.
Rahim berkata, pihak polis turut melipatgandakan usaha untuk menjejaki suspek yang terbabit dalam kes itu.

``Kita melihat kemungkinan ada lebih daripada seorang suspek yang terlibat dalam kes ini berdasarkan kedudukan mayat mangsa yang diletakkan di dalam longkang sedalam dua meter.

``Kita juga sedang mengkaji bagaimana mangsa tidak mengalami patah di mana-mana bahagian tubuhnya sekiranya mangsa dihumban ke dalam longkang konkrit,'' katanya.
Justeru katanya, pihak polis sedang mengkaji bagaimana mangsa boleh dimasukkan ke dalam longkang dengan keadaannya yang sempit.

Beliau berkata, setakat ini, pihak polis mempunyai beberapa maklumat dan siasatan dijalankan berdasarkan maklumat yang ada.
Namun begitu, beliau berkata, pihak polis masih mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian.

``Polis memerlukan bantuan orang ramai yang mungkin tahu mengenai kejadian pembunuhan ini supaya menyalurkan maklumat tersebut bagi melancarkan siasatan,'' ujarnya.

Beliau menambah, walaupun unit khas ditubuhkan untuk mengendalikan kes tersebut namun pihak polis tetap menjalankan tugas mereka secara profesional.
Katanya lagi, polis tidak boleh membuat apa-apa tangkapan secara melulu dan mendakwa tanpa sebab yang kukuh.

Oleh yang demikian katanya, siasatan polis adalah terperinci dan memerlukan masa untuk bertindak.

Beliau berkata, walaupun kes kematian Safiqah telah mencetuskan minat banyak pihak namun ia tidak memberi tekanan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya menemani anak-anak mereka, terutamanya anak perempuan yang perlu ke sekolah pada awal pagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...