Followers

Wednesday, November 09, 2005

Ella, Jojie rancang nikah serentak

GOSIP yang mengatakan Ella akan menamatkan zaman daranya bukanlah satu cerita yang asing dalam dunia hiburan tempatan sejak kebelakangan ini.
Khabar angin yang melanda ratu rock tempatan itu banyak kali dipaparkan oleh media massa terutamanya majalah-majalah hiburan.
Ella seakan sudah lali dan bijak bermain kata-kata terutamanya apabila diajukan oleh para wartawan hiburan berhubung perkara itu.
Bagaimanapun dalam satu pertemuan dengan wartawan baru-baru ini, Ella tidak menafikan dia kini sedang membuat persiapan untuk melalui saat-saat bahagia dalam hidupnya itu.
"Insya-Allah kalau semuanya berjalan lancar, Ella mahu mendirikan rumahtangga pada pertengahan tahun depan.
"Calonnya (bakal suami) sudah ada, tetapi buat masa ini Ella tidak mahu dedahkan siapakah orangnya. Apa yang Ella boleh beritahu, dia (calon suami) bukanlah artis atau selebriti tetap hanya orang biasa.
"Apabila sudah ada tarikh yang sesuai Ella akan umumkan tarikh pernikahan atau persandingan Ella itu nanti,'' katanya sewaktu ditemui selepas penggambaran klip video terbarunya berjudul Dunia Batinku yang diadakan di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
Kata penyanyi berusia 39 tahun ini, dia juga merancang untuk mendirikan rumahtangga serentak dengan kakaknya, Jojie, 40, yang juga merupakan pengurusnya.
"Keluarga Ella memang mahu kami kahwin serentak kerana sudah sampailah masanya kami mendirikan rumahtangga.
"Ini kerana, dalam keluarga lapan beradik cuma Ella dan Jojie sahaja yang belum berkahwin. Memang menjadi hasrat emak Ella (Yang Asmah Long) mahu melihat kami berdua bersuami sebelum dia tiada (meninggal dunia),'' ujarnya penuh yakin.
Jelas Ella, ibu dan keluarganya merestui hubungannya dengan calon suaminya itu yang dikenalinya beberapa tahun lalu.
"Calon suami Ella adalah ahli perniagaan biasa sahaja. Tetapi apa yang penting emak Ella berkenan dengan calon suami Ella itu kerana latarbelakang dan pendidikan agama yang ada padanya.
"Begitu juga dengan calon suami Jojie yang bukan artis atau VIP. Kalau semuanya berjalan lancar, keluarga Ella merancang untuk mengadakan majlis pernikahan Ella dan Jojie dibuat serentak di Mekah dan majlis kendurinya pula akan diadakan di Klang, Selangor.
"Selepas pernikahan itu, Ella dan anggota-anggota keluarga terdekat termasuk ibu Ella akan menunaikan ibadah umrah di sana,'' kata Ella lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...