Followers

Saturday, August 13, 2005

Jerebu beransur pulih

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Masalah jerebu yang semakin teruk terutamanya di sekitar Lembah Klang semalam beransur-ansur pulih hari ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara berada di bawah paras berbahaya.
Kesan pemulihan itu mula dapat dilihat hari ini apabila keadaan langit di beberapa kawasan yang sebelumnya mendung kesan jerebu kembali cerah.
Perubahan paling ketara ialah di dua kawasan yang diisytiharkan darurat semalam apabila IPU di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang masing-masing turun mendadak daripada 527 dan 486 semalam kepada 228 dan 182 hari ini.
Bacaan baru IPU itu yang diambil pukul 5 petang ini bagaimanapun dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan tidak sihat.
Paras tidak sihat ialah 101-200; sangat tidak sihat 201-300, manakala berbahaya 301-500.
Pemangku Pengarah Bahagian Perubahan Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Kang Thean Shong berkata, perubahan arah angin monsun dari barat daya ke tenggara mulai hari ini merupakan faktor utama menyumbang kepada pemulihan itu.
Jelasnya, tiupan angin monsun barat daya yang sebelum ini membawa kesan kebakaran dari Indonesia ke Semenanjung, dijangka beralih ke arah utara Sumatera, sekitar Medan dan Selat Melaka.
Bagaimanapun jelasnya, fenomena itu hanya bersifat sementara untuk tempoh seminggu sahaja memandangkan ramalan arah tiupan angin untuk tempoh seterusnya belum diketahui lagi.
``Dalam tempoh satu minggu ini, keadaan cuaca akan pulih sedikit daripada jerebu disebabkan pertukaran angin monsun dari barat daya ke tenggara.
``Namun, ia hanya sementara kerana arah tiupan angin seterusnya belum diketahui,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat sini hari ini.
Sementara itu, IPU di kawasan-kawasan yang teruk dilanda jerebu juga menunjukkan penurunan.
Di ibu kota, bacaan IPU turun kepada 276 berbanding 295 semalam, Shah Alam (430 kepada 226), Putrajaya (354 kepada 220), Petaling Jaya (326 kepada 240) dan Gombak (305 kepada 222).
Namun begitu kesemua bacaan itu secara puratanya masih berada pada tahap sekurang-kurangnya tidak sihat.
Walaupun cuaca semakin cerah dengan tiupan angin di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, operasi pembenihan awan oleh jabatan itu dengan kerjasama TUDM tetap dijalankan.
Sementara itu, Thean Shong berkata, selain perubahan angin monsun yang menyumbang kepada fenomena positif itu, faktor hujan dan status kebakaran hutan di Indonesia turut menyumbang kepada pemulihan.
``Masalah jerebu ini juga dapat diatasi sekiranya hujan turun dengan lebat dalam beberapa hari ini dan kebakaran hutan di Indonesia dapat dipadamkan,'' katanya.
Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku di Kelantan apabila jerebu mula turut melanda negeri itu dengan IPU yang dicatat pukul 10 pagi hari ini lebih 100, iaitu paras tidak sihat.
Pegawai Kawalan Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar Kelantan, Rohimi Harun berkata, IPU di Pengkalan Chepa dan Maktab Sultan Ismail di Kota Bharu meningkat mendadak berbanding 52 dan 59 yang dicatat pukul 11 pagi semalam.
``Kita dapati bacaan IPU yang dicatat di dua lokasi berkenaan meningkat secara mendadak, kita percaya berpunca daripada tolakan angin dari tenggara yang menuju ke utara, menyebabkan angin membawa jerebu yang melanda Selangor ke negeri ini,'' katanya.
Bagaimanapun, IPU yang dicatatkan pukul 5 petang ini menunjukkan kawasan-kawasan di negeri pantai timur itu bertambah baik dengan bacaan 61 dan 66 iaitu tahap sederhana.
Penilaian ukuran IPU adalah 0-50 yang dikategorikan sebagai Baik; 51-100 (Sederhana); 101 - 200 (Tidak Sihat); 201-300 (Sangat Tidak Sihat) dan 301-500 (Berbahaya).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...