Followers

Saturday, July 02, 2005

Spa & Butik: Spa Village unik, istimewa

PERSEKITARAN yang cantik dan menarik, mampu mengubah perasaan seseorang. Pengalaman itulah yang akan dikecapi pengunjung apabila tiba di Spa Village Kuala Lumpur yang terletak di tingkat empat, The Residences di The Ritz-Carlton Kuala Lumpur.
Sebaik saja kaki melintasi laluan menuju ke spa, berdekatan di kawasan itu akan kelihatan ikan berenang bebas dan riang di dalam kolam dengan ditemani pandangan sekeliling yang menghijau serta membangkitkan kesegaran.

Tiba di spa, tempat pertama menyambut pengunjung ialah ruang istirahat yang mengagumkan dan di situ jugalah anda akan dihidangkan secawan teh sebagai tanda kemesraan. Setiap kerusi di situ disusun menghadap skrin televisyen besar yang menayangkan beberapa visual pemandangan indah dan bunyi-bunyian unsur alam semula jadi yang mengasyikkan. Sehinggakan ada ketika, anda akan benar-benar berasakan diri berada di kawasan air terjun dengan suasana damai dan tenang.

Pengurus Spa, Chik Lai Ping, berkata pemulihan zahir dan minda menunggu pengunjung di Spa Village Kuala Lumpur kerana rawatan perkhidmatan di sediakan sememangnya amat unik dan mempunyai beberapa keistimewaan.
“Spa ini dibangunkan dengan mendapatkan khidmat beberapa pakar terapi dan meditasi. Gabungan ini membuatkan rawatan disediakan lain daripada yang lain dan mampu memberi kepuasan seperti dihajati oleh pengunjung,” katanya.
Chik berkata, antara rawatan yang mesti dicuba ialah Sensory Exploration yang memberikan pengalaman menarik dan unik. Pengunjung mungkin tidak akan menikmati rawatan seumpama itu di mana-mana spa sebelum ini kerana ia memang direka khusus untuk pengunjung Spa Village Kuala Lumpur.

Sesi rawatan itu boleh dilakukan secara individu atau beramai-ramai dan dibuat di dalam satu bilik khusus yang dinamakan bilik Sensory. Memulakan rawatan, pengunjung akan diberi sehelai kertas dan pen serta disuruh menulis apa yang membelenggu dirinya ketika itu. Kemudian, disuruh berbaring di atas tikar yang disediakan.
Bilik itu hanya diterangi cahaya samar pada siling dan ia bertukar-tukar daripada warna merah ke biru dan hijau yang dikatakan membantu mengubah perasaan. Dalam keadaan berbaring dan menutup mata, ahli terapi akan menyuruh anda menarik nafas beberapa kali atau memandang cahaya lampu berkenaan.
Selepas itu, kertas yang ditulis tadi disuruh dimasukkan ke dalam mangkuk berisi air. Anda akan melihat dakwat basah ditulis pada kertas itu akan perlahan-lahan hilang.
“Ia memberi satu simbol yang unik sekali tetapi bagi yang pernah membuat sesi rawatan satu jam ini, pasti akan mengakui, apa yang membelenggu dirinya pada awal tadi, sedikit sebanyak turut hilang. Dan pada akhir rawatan, terapi akan mengurut kaki dan bahu anda,” kata Chik lagi.

Beliau berkata, untuk sesi individu rawatan itu mengenakan bayaran RM225 (seorang) manakala jika berkumpulan ialah RM150 setiap seorang.
Katanya, terdapat banyak lagi pilihan rawatan yang boleh dipilih pengunjung daripada rawatan tradisional hingga rawatan terapi barat. Antaranya ialah Swedish, Aroma, Lomi-lomi, urutan tradisional Melayu, Thai, Bali, Batu panas, dan urutan Cina, Tui-na An Mo.
Bagi mengecapi pengalaman individu selama tiga jam yang berharga RM 675, pengunjung boleh memilih rawatan seperti Trade Winds (gandingan timur dan barat), rawatan Peranakan Cina, Terapi Rose dan Tun Teja manakala khusus untuk lelaki ialah terapi Gandapura dan Hang Tuah.

Untuk tempahan dan keterangan lanjut hubungi, 03 27829090 atau emel spavillagekl@ytlhotels.com.my


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...