Followers

Friday, July 29, 2005

Ajaran sesat melampaui batas agama

Berdasarkan realiti masa lalu, jelas sebahagian ajaran sesat boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Malah dikatakan terdapat sebahagian kandungan ajaran sesat melibatkan aktiviti anti kerajaan serta menimbulkan kekeliruan dan permusuhan di kalangan masyarakat Islam khususnya.
Situasi begini jika dibiarkan sudah tentu boleh mengancam keselamatan negara. Secara jelasnya, semua bentuk ajaran sesat membawa kepada penyelewengan akidah dan boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.
Sehingga kini dikatakan terdapat 22 buah kumpulan ajaran sesat yang masih aktif di negara ini. Keadaan ini sudah tentu tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk menghapuskannya. Ini berdasarkan kekuatan dan kecekapan jentera penguatkuasaan anggota jabatan-jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berfungsi sebagai penyelaras, pemantau dan jawatankuasa bertindak terhadap kumpulan ajaran sesat.
Kelambatan bertindak ke atas kumpulan-kumpulan ajaran sesat akan mengakibatkan tercetusnya pelbagai angkara yang mungkin tidak terjangkau pada pemikiran kita. Oleh yang demikian, strategi mempertingkatkan kecekapan dan kredibiliti anggota penguatkuasaan agensi-agensi terlibat untuk menghidu dan mengambil tindakan ke atas ajaran sesat perlu diperkukuhkan.
Kes Al-Arqam contohnya, Jakim berjaya menyelesaikan permasalahan penyelewengan akidah yang dibawa oleh Ashaari Muhammad dengan bantuan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM). Al-Arqam dahulu bergerak aktif di seluruh negara secara terang-terangan tetapi dalam kes ajaran sesat Ayah Pin, modus penyelewengan yang dilakukan lebih secara tersembunyi.
Namun, kedua-dua kes ini hanya berbeza daripada aspek modus gerakan tetapi mempunyai persamaan kesan ancaman yang wujud akibat penyelewengan akidah.
Program Pemulihan yang dijalankan oleh kerajaan telah berjaya memulihkan iktikad dan akidah pengikut Al-Arqam kembali ke pangkal jalan. Persoalannya, apakah Pusat Pemulihan Akidah Jakim di Kuala Kelawang, Jelebu, yang diharapkan dapat membantu memulihkan akidah mereka yang terpengaruh dengan ajaran sesat yang lain benar-benar berfungsi dengan efisien?
Berdasarkan bentuk hukuman dan denda sedia ada yang dikategorikan sebagai amat rendah serta tidak setimpal dengan kesalahan, jelas menunjukkan bahawa usaha menangani ancaman ajaran-ajaran sesat kurang berkesan dan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Oleh yang demikian, satu metadologi yang merangkumi aspek pendidikan seperti menyebarkan risalah atau maklumat umum mengenai cara mengenal pasti sesuatu ajaran sesat perlu dilakukan. Pendidikan formal atau tidak formal boleh dimanipulasi sebagai medium penyebaran maklumat yang berkesan termasuk penggunaan media cetak dan elektronik.
Usaha harus ditekankan ke arah memberi penerangan secara jelas kepada masyarakat umum mengenai akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sikap tidak bertolak ansur dalam penghayatan akidah yang sahih merupakan suatu ketegasan dalam mempertahankan kesucian akidah dan agama Islam itu sendiri.
Oleh itu akidah yang sahih ialah mereka yang beriman kepada Allah, para malaikat dan rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari akhirat serta qada dan qadar.
Amal ibadat yang bukan terbit dari akidah yang sahih adalah sia-sia sahaja iaitu tidak mendapat apa-apa balasan dari Allah.
Akidah yang sahih dapat menjadi landasan dan pendorong bagi umat Islam dalam melaksanakan amal soleh dan memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Ajaran sesat sebenarnya satu fenomena yang melampaui batas dalam agama. Kaedah atau jalan penyelesaian umat ialah dengan meluruskan akidah dan kembali kepada akidah Salafush-shalih, menjadikan al-Quran dan al-sunnah sebagai sumber hukum, ikhlas pada Allah dan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan, menuntut ilmu syariat serta berusaha memahami agama dan mencari kebenaran mengikut dalil yang benar.
- MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

1 comment:

Anonymous said...

mari lawati mengenai ajaran sesat ayah pin di [ www.ayah-pin.blogspot.com ]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...