Followers

Tuesday, June 21, 2005

Seni ukir kayu warisan Melayu

SENI ukiran kayu sangat penting menghiasi seni bina bangunan tradisional Melayu pada istana raja-raja Melayu, pembesar istana serta rumah-rumah orang Melayu dahulu.
Bagi memenuhi permintaan itu lahirlah ramai tukang-tukang ukir yang mahir dalam hal mengukir dan menebuk hiasan ini sama ada bakat semulajadi atau dengan cara mempelajari daripada orang-orang yang lebih pandai.
Ukiran yang menggunakan kayu atau papan kebanyakan menghiasi daun tingkap, tibar layar, papan cantik, jenang dan pemegang kiri kanan tangga.
Ukiran ini juga dibuat pada perabut hiasan rumah seperti almari pakaian, almari solek, kerusi dan meja. Malah seni ukiran kayu telah menjadi budaya yang menyertai kehidupan orang-orang Melayu dahulu. Bukan itu sahaja mimbar masjid direka khusus menggunakan ukiran kayu sepenuhnya.
Dalam menuju alam siber keperluan ukiran ikut mengalami perubahan. Kalau dahulu ukiran menggunakan tenaga dan kepakaran manusia sepenuhnya kini kemudahan elektronik telah mengambil alih.
Perubahan ini turut dirasai oleh tukang ukir Abdul Hamid Saidin 74, dari Kampung Padang Kubu, Simpor, Sungai Petani yang berkecimpung dalam bidang ukir mengukir ini sejak berusia 19 tahun.
Selain membuat ukiran pada rumah beliau juga membina dan mengukir mimbar masjid. Kini ada tiga mimbar ciptaan beliau masih dipakai di tiga buah masjid termasuk masjid di kampung kediamannya kini.
Rumah yang dibina tidak banyak menggunakan paku. Penyambunggan antara tiang dengan bahagian lain digunakan pelidah dan satu ruang hanya memerlukan tiga batang paku sahaja, katanya.
Menurutnya, hiasan ukiran yang terdapat pada jenang, daun tingkap rumah yang didiami kini adalah hasil ukirannya sendiri. Kepelbagaian motif ukiran pada papan kepala tingkap sengaja dibuat sebagai contoh untuk pilihan pelanggan yang datang menempah.
Katanya, tiang dan papan ukiran rumah ini dibuat dari batang cempedak yang dibelah sendiri menggunakan gergaji panjang. Antara peralatan tradisional yang digunakan ialah pahat bunga, ketam kayu, rimbai, lima jenis gergaji bunga, pahat dan tiga jenis gergaji pemotong.
Kemajuan serta pembangunan dari semua aspek kehidupan sedikit sebanyak melupuskan seni ini. Beliau rasa terkilan kerana masyarakat hari ini sudah tidak menghargai dan melupakan seni yang merupakan warisan bangsa Melayu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...