Followers

Friday, June 10, 2005

Jarum suntikan, kondom

Isu pemberian jarum dan kondom kepada penagih dadah kini hangat diperkatakan. Semua pihak ingin menganggap tentunya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia membuat keputusan bijak untuk menangani masalah penularan HIV dan AIDS pada masa ini dan akan datang.
Namun persoalan yang perlu dijawab adalah adakah keputusan ini didorong oleh pengetahuan yang cukup bagi meramalkan bahawa jangkitan HIV akan berkurangan sekiranya penagih dibekalkan dengan jarum bersih dan kondom?
Di sini penulis ingin mengetengahkan beberapa dapatan daripada kajian yang dijalankan di kalangan penghuni penjara di Semenanjung Malaysia antara tahun 1998-1999. Kesemua mereka yang dikaji ialah HIV-positif.
Fenomena HIV/AIDS berkait rapat dengan isu-isu sosial, budaya dan ekonomi masyarakat. Penagih dadah dan pesakit disebabkan HIV berpunca daripada masalah kekeluargaan dan kemasyarakatan secara umum dan spesifik.
Oleh sebab kemiskinan kanak-kanak dan remaja meninggalkan alam persekolahan. Mereka mencari sebarang pekerjaan yang boleh menyara keperluan hidup.
Tanpa persediaan mental yang cukup akhirnya mereka terjerumus ke dalam golongan masyarakat yang sudah pun bermasalah seperti kutu rayau, pencuri dan penagih dadah. Di luar sana pengedar dadah sememangnya menunggu-nunggu kehadiran individu sedemikian untuk dijadikan mangsa.
Penglibatan mereka dengan seks bebas berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Yang disengajakan ialah dengan pelacur. Bayangkan remaja berusia 12 tahun sudah pandai menjamu selera seks tanpa memikirkan risiko kemudian hari.
Bagi remaja yang lain, masalah kewangan bukan puncanya tetapi masalah hubungan dalam keluarga. Apabila ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan kegiatan masing-masing, kemaslahatan anak terabai.
Wang digunakan untuk membuang masa di luar rumah. Kegiatan seks sesama rakan sekolah atau orang lain dengan sendirinya menjerumuskan mereka ke dalam perlakuan tidak bermoral. Fenomena ini melibatkan remaja lelaki dan perempuan.
Apakah remaja berkenaan tahu tentang kondom? Keseluruhannya tidak tahu.
Masalah penagihan dadah perlu dikaji daripada akar umbinya. Dari segi praktiknya, pemberian jarum suntikan dan kondom adalah cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan HIV.
Namun, adakah kita pasti bahawa penagih dadah akan menggunakan jarum yang diberikan dan menggunakan kondom apabila mereka melakukan hubungan seks.
Sukar
Banyak kajian menunjukkan bahawa penagih mempunyai beberapa pasangan. Pasangan itu pula mempunyai pasangan mereka yang lain.
Terbukti bahawa amat sukar untuk mendorong lelaki menggunakan kondom setiap kali mengadakan hubungan seks. Dalam banyak situasi kaum wanita sering menjadi mangsa kerana tidak dapat memujuk pasangan mereka berbuat demikian.
Penulis tertarik dengan artikel di dalam buku Dutch Response to HIV: Pragmatism and Consensus, UCL Press, 1998. Pada Bab 1 dinyatakan bahawa masyarakat Belanda menangani masalah AIDS dengan menggunakan pendekatan `pragmatik dan konsensus'.
Asas kepada keputusan untuk membendung penyakit itu dibuat berdasarkan kesedaran bahawa sesuatu strategi itu mestilah disepakati sebagai berkesan.
Iktibar daripada apa yang berlaku di Belanda ialah sesuatu keputusan besar seperti memberi jarum suntikan dan kondom mestilah mendapat permuafakatan daripada seramai mungkin pihak yang terbabit dengan masalah ini.
Apa yang penting ialah kita perlu menyedari iklim budaya Malaysia sangat berbeza dengan negara-negara lain. Kejayaan strategi ini di Iran, China dan lain-lain negara tidak boleh dijadikan asas mutlak untuk melaksanakannya di negara ini.
Setakat ini pun pelbagai pihak telah menyuarakan pendapat. Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) menolaknya sama sekali. Tokoh agama menolaknya dengan alasan bahawa kaedah tersebut tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan prinsip agama Islam. Masyarakat amnya menyuarakan faktor kos yang bakal ditanggung oleh pembayar cukai.
Dapatan kajian yang boleh diberi perhatian lebih serius ialah pendapat penagih yang ditahan di penjara.
Mereka mengatakan bahawa selama meringkuk dalam kurungan, mereka dapat mengatasi masalah ketagihan dadah, tetapi masalah mereka berulang setelah mereka kembali kepada masyarakat.
Di luar sana pengedar dadah tidak serik untuk menggamit bekas penagih agar memulakan semula tabiat mereka.
Ada yang berpendapat bahawa jika mereka diletakkan di sebuah pulau atau perkampungan asing, berkemungkinan besar mereka akan insaf dan pulih.
Dalam hal ini adalah sangat penting dan wajar bagi semua pihak berusaha untuk menghalang anak-anak remaja daripada gejala-gejala yang boleh menjurus kepada jangkitan HIV.
- Prof. Madya Dr. Haliza Mohd. Riji ialah pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...