Followers

Tuesday, December 28, 2004

Korban tsunami 23,339

KUALA LUMPUR: Jumlah korban akibat gempa bumi dan ombak besar tsunami yang melanda lapan negara Asia, termasuk Malaysia mencecah 23,339 sehingga petang semalam dan dijangka meningkat kerana kerja mencari dan menyelamat dilancar di seluruh negara terbabit.Angka kematian akibat tsunami yang melanda pantai di beberapa negeri utara Semenanjung turut meningkat kepada 53, apabila tujuh lagi mayat ditemui di Pulau Pinang, dua di Perak dan satu di Langkawi, Kedah semalam.Selepas gerakan mencari dan menyelamat yang masuk hari kedua, semalam, Pulau Pinang mencatat jumlah korban terbanyak dengan 37 kematian, 11 di Kedah, empat di Perak dan satu di Selangor, manakala 14 lagi – masing-masing sembilan di Pulau Pinang, tiga di Perlis dan dua di Kedah, disenaraikan masih hilang.Di luar negara sehingga jam 7.30 petang semalam, Sri Lanka mencatat kematian tertinggi dengan hampir 11,000 orang, termasuk 70 warga asing. Indonesia pula mencatatkan (4,725); India (6,597) Thailand (866); Maldives (43); Myanmar (30); Somalia (9) dan Bangladesh (2).Lebih 1,300 lagi dilaporkan hilang di India, 1,555 orang di Thailand, manakala 10 orang yang hilang di Maldives dikhuatiri terkorban.Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa pula berkata pihaknya berusaha mendapatkan bantuan AS$6.5 juta (RM24.7 juta) bagi membiayai usaha menyelamat itu.Di LHOKSEUMAWE, beribu-ribu tentera Indonesia melancarkan operasi mencari dan menyelamat terutama di wilayah utara Sumatera itu yang paling teruk dilanda bencana itu dengan ombak dilaporkan bergulung memasuki kawasan darat lebih 10 kilometer.Sekurang-kurangnya 3,000 daripada 4,448 mangsa di negara itu, terkorban di Banda Aceh, sama ada kerana terperangkap akibat gempa bumi atau ombak besar, kata pegawai Kementerian Kesihatan, Pitoyo.Semua hubungan komunikasi di beberapa daerah di Aceh masih terputus dan ia mencetus kebimbangan terhadap kemungkinan angka kematian jauh lebih tinggi daripada dicatat ketika ini.Antara yang dilapor hilang ialah warga Malaysia yang bercuti di beberapa pulau kecil di utara Sumatera.“Kami mengarah lebih 15,000 tentera untuk ke daerah terbabit bagi mencari mereka yang selamat tetapi setakat ini rata-rata yang ditemui ialah mayat bergelimpangan,” kata jurucakap tentera, Edy Sulistiadi.Di COLOMBO, kegagalan pihak berkuasa Sri Lanka mengambil serius mengenai amaran gempa bumi serta tidak bersedia untuk menangani sebarang bencana alam seperti tsunami, antara punca menyebabkan lebih 4,850 penduduk negara itu maut dalam bencana alam kelmarin, kata seorang pegawai kanan kerajaan.“Kami terlalu cuai. Pakar memang meramal gempa bumi, ombak besar, malahan kami turut mengalami beberapa gegaran kecil akhir-akhir ini, tapi kami gagal mengambil semua amaran itu secara serius,” kata Lalith Weeratunga, penyelaras kanan pasukan penyelamat Sri Lanka.Lebih memilukan lagi, katanya, bencana banjir paling buruk dialami negara itu Jun lalu yang mengakibatkan 255 penduduk maut, langsung tidak dijadikan iktibar oleh kerajaan negara itu.Di PHUKET, pasukan penyelamat terus bekerja keras untuk mencari dan menyelamat mangsa tsunami di kawasan kepulauan terpencil, bagaimana sehingga petang semalam dipercayai lebih 430 orang termasuk pelancong asing maut dan 4,100 lagi cedera selepas ombak besar tsunami turut melanda wilayah selatan negara itu.Dr Piphat Yingseri, pegawai kanan Kementerian Kesihatan di Bangkok berkata, setakat ini 431 dilapor maut dan ramai lagi yang masih hilang di beberapa kepulauan kecil yang menjadi tumpuan pelancong asing di wilayah Selatan Thailand.Dua orang yang terkorban disahkan sebagai pelancong rakyat Malaysia. Warga negara lain termasuk dari Korea Selatan, Jepun, Jerman, Afrika Selatan, Hong Kong, Britain, Denmark, Australia, Mexico, Russia, Sweden, Chile dan Amerika Syarikat.Wilayah Phang Nga antara yang paling teruk dilanda tsunami dengan 181 orang dilapor mati, manakala 130 lagi dilapor maut di pusat peranginan sekitar Phuket, 45 lagi terbunuh di Krabi dan 25 dilapor maut di Ranong.Di CUDDALORE, ratapan tangisan menyelubungi daerah di selatan India ini, apabila penduduk mula mengebumikan mangsa tsunami, yang dipercayai mengorbankan lebih 5,000 orang.Sementara itu, lebih 2,000 orang dikhuatiri maut di kepulauan Andaman dan Nicobar, India.“Tidak kurang 1,000 orang sudah pasti mati,” kata Gabenor Andaman dan Nicobar, Ram Kapse.Di MALE, Maldives, sekurang-kurangnya 32 orang disahkan meninggal dunia dan 51 lagi dilapor hilang di pulau peranginan ini. Antara yang maut ialah seorang pelancong Britain yang dilapor diserang sakit jantung selepas melihat ombak begitu besar datang bergulung ke arahnya. – Agensi

Malaysia: 53 Indonesia: 4, 725 Sri Lanka: 10, 897 Bangladesh: 2 India: 6, 597 Thailand: 866 Maldives: 43 Myanmar: 56 Somalia: 100




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...