Followers

Tuesday, August 27, 2013

ADAKAH KITA MASIH FAHAM ERTI KEMERDEKAAN


56 tahun yang lalu, di Stadium Merdeka, Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka!Merdeka!Merdeka!

Laungan ini disahut oleh penduduk Tanah Melayu yang bersama-sama dengan Tunku yang berasa sungguh terharu dan amat gembira akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan selepas beratus tahun di bawah penjajah asing. Tiada kata yang dapat diucapkan untuk menggambarkan kegembiraan mereka.

Jasa mereka kepada kita cukup besar. Rata-rata mereka yang berada di Stadium Merdeka ketika itu sudah berusia dan ramai di antaranya sudah meninggalkan kita.

Namun, legasi perjuangan mereka diamanahkan kepada kita. Pembangunan dan kemajuan yang dikecapi kita adalah hasil daripada penat lelah mereka. Mereka sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi anak dan cucu cicit mereka. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan. Mereka berjuang semata-mata untuk kebahagiaan kita.

Namun, adakah kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan atas perjuangan mereka selama ini? Selama 56 tahun, kita masih membincangkan perkara yang sama.

Isu bahasa yang tidak putus-putus diperbincangkan walhal secara jelas Bahasa Melayu adalah bahasa utama negara. Kita lebih selesa bercakap dalam Bahasa Inggeris, kononnya Bahasa Inggeris bahasa hebat. Dari satu sudut kita terlalu mengagung-agungkan barat. Budaya mereka menjadi ikutan. Hak asasi manusia diheboh-hebohkan sebagai cara hidup moden. Kita anggap Barat cukup hebat.

Dahulu secara terang-terangan kita memanggil penjajah sebagai tuan, kita menghormati mereka seolah-olah mereka tuan kita di tanah air kita sendiri. Kini, meskipun kita tidak memanggil mereka tuan, tetapi cara hidup kita masih dijajah oleh mereka. Pemikiran pluralisme dan liberalisme dibawa masuk ke negara kita. Kita mengatakan pemikiran sebegini tidak kolot manakala pemikiran dan budaya nenek moyang kita terlalu kolot untuk diamalkan.

Kita berasakan kita cukup bijak dengan bersuara apa sahaja tanpa batasan. Apa sahaja yang ingin disuarakan diperdebatkan secara terbuka tanpa memikirkan perasaan kaum lain. Kononnya, itu adalah demokratik. Kita terlupa apabila orang lain bercakap mengenai kaum kita, kita pula cepat melenting. Kononnya itu perkauman. Tetapi apabila kita menyentuh hal kaum lain, itu adalah hak kebebasan bersuara.

Adakah rakyat kita semakin keliru selepas 56 tahun merdeka? Polarisasi kaum semakin melebar. Masing-masing ingin menegakkan pendidikan kaum sendiri. Bagaimana kita mahu bersatu padu apabila kita sendiri mengajar anak kita berpecah belah sejak kecil lagi?

Kita juga cukup marah apabila Barat cuba masuk campur urusan negara kita secara terang-terangan tetapi mudah pula kita lupa betapa Barat sudah lama menjajah kita secara tersirat dan halus.

Budaya hendonisme berteraskan Barat telah lama meresapi budaya kita. Kita sanggup menghadirkan diri untuk berseronok apabila adanya artis-artis mereka datang membuat konsert tetapi tidak ramai yang sanggup mendengar ceramah-ceramah ilmu yang disampaikan oleh rakyat kita sendiri.

Dalam hal ekonomi dan perniagaan, kita lebih yakin dengan tenaga pakar asing berbanding rakyat kita sendiri. Sanggup membayar gaji mereka berkali-kali ganda berbanding rakyat kita. Bagi kita, mereka mempunyai pelbagai formula untuk membawa keuntungan kepada syarikat dan perniagaan. Tenaga pakar kita pula dianggap sebagai kelas kedua. Bakat-bakat tempatan dipandang sebelah mata sedangkan negara lain sentiasa mengintai tenaga pakar kita. Rakyat kita sendiri diktiraf oleh negara asing tetapi kita pula berasakan bakat-bakat asing lebih hebat berbanding bakat tempatan. Ini menggambarkan betapa minda kita masih terjajah.


Sememangnya taraf hidup rakyat Malaysia semakin baik. Dahulu, sungguh sukar untuk menjamah makanan secara bermewah-mewahan. Kini, cukup mudah kita menjamah makanan yang memenuhi selera dan nafsu makan kita. Ambil contoh, semasa rumah terbuka diadakan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri, betapa mewahnya kita menikmati makanan, tetapi berapa ramaikah kita bersyukur dengan kemewahan tersebut? Pembaziran berlaku di sana sini. Sampah makanan bertimbun angkara makanan yang tidak habis di makan. Kita terlupa betapa ramainya penduduk dunia yang kebuluran. Tidak cukup makan dan ada di antara mereka hanya tinggal tulang rangka semata-mata.

Lebih teruk lagi mereka sedang bertarung dengan kematian. Kita hanya sedar apabila gambar-gambar mereka dipaparkan di dada akhbar dan ditayangkan di televisyen, tetapi selepas itu mudah sahaja kita lupa kesengsaraan dan penderitaan yang mereka alami.

Kita terlupa bahawa kemewahan yang kita kecapi ini bukan sahaja perjuangan kemerdekaan oleh generasi terdahulu tetapi juga kurniaan yang Maha Esa, Allah SWT. Generasi muda celik-celik mata sahaja terus menikmati kesenangan ini.

Malangnya, kita semakin materialistik dan mementingkan diri sendiri. Tidak pedulikan kesengsaraan dan penderitaan orang lain. Kita terkejar-kejar dengan harta dan menjadi hamba kepada wang ringgit sehingga kita mengabaikan tujuan kita dilahirkan di dunia ini iaitu untuk menghambakan diri hanya kerana Allah SWT.

Kita salahkan anak-anak muda kerana tidak beradab tetapi kita terlupa betapa masa terlalu penting untuk kita mengejar kekayaan dunia. Segala-galanya ingin dibayar dengan wang ringgit walhal keikhlasan itu menenangkan hati kita. Kekayaan dunia melalaikan kita.

Jangan sampai nikmat ini ditarik oleh yang Maha Esa hanya kerana kita tidak bersyukur dengan kurniaan-Nya. Hayatilah kemerdekaan yang kita nikmati ini dengan penuh tawaduk dan rasa syukur kerana ia mungkin datang hanya sekali sahaja. Semoga Malaysia kekal aman, makmur dan dirahmati oleh-NYA. Amin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...