Followers

Monday, May 01, 2017

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2017 #PBAKL2017


Semalam aku berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di PWTC. Tahun lepas tak pergi sebab dia buat jauh ya amat. Tahun ini dia kembali ke tempat asal.



Macam biasa ramai yang datang. Sehingga ada sesetengah booth tu korang nak masuk pun tak boleh. Terlalu ramai dan padat macam sardin. Tetapi sebenarnya bagi jenama penerbitan yang besar, mereka ada booth lain di setiap tingkat. Tetapi entahlah orang lebih suka tumpu ke booth utama. Macam aku yang hanya nak cari buku, akan pergi ke booth yang kurang orang. Senang untuk memilih buku.

Ada berjuta rasanya buku yang boleh dibeli. Bergantung kepada minat, keperluan dan kedalaman poket seseorang. Macam aku, aku sekarang banyak membaca buku buku bersifat akedemik dan jurnal. Jadi semalam aku banyak menghabiskan masa di booth buku terbitan IPTA, DBP, ITBM dan booth booth kecil yang turut menjual buku sebegitu.



Tahun ni aku membeli sebuah saja buku berbahasa Inggeris iaitu The Battle Of Singapore. Boleh tahan tebal dia. Aku rasa mungkin ambil masa seminggu untuk dihadam. Dan tiga buku bahasa Melayu iaitu Biografi Leftenan Adnan, Mantera Melayu Analisa Pemikiran dan Teknologi Kesultanan Melaka. Ada sebuah buku, Hikayat Siak yang aku nak beli tapi tak jumpa.



Kalau korang ada masa, aku cadangkan korang pergilah ke PWTC sekarang. Ada banyak buku yang boleh korang pilih dengan harga yang berpatutan. Sebenarnya budaya membaca dalam masyarakat semakin subur namun jenis jenis buku yang mereka baca, mungkin tidak menepati saranan kerajaan yang mahu membentuk masyarakat intelek. Tetapi sekurang kurang mereka minat membaca, itupun sudah cukup baik. Kalau langsung malas membaca, lagi haru negara jadinya.

Friday, April 28, 2017

Setelah Sekian Lama, Mungkinkah Aku Kembali...

Sudah terlalu lama aku tak mengemaskini blog ni. Kali terakhir aku kemaskini, adalah pada januari 2016.

Aku lihat ramai blogger yang aku ikuti dahulu sudah tidak lagi aktif. Mungkin sudah meninggal dunia pun ada.

Aku rasa macam nak kembali menulis seperti dahulu tetapi bergantunglah kepada mood. Gaya penulisan aku dah kaku, blogger ini pun aku kena belajar semula. Dah banyak ciri ciri baru yang aku tak faham.

Blog ini juga perlu dikemaskini templat dan header. Banyak link yang perlu dibuang. Kandungan yang lepas pun kena semak semula. Ada video, gambar dan link yang sudah hilang. Banyak kenangan lama yang bila aku baca dalam ni, terasa macam ianya baru sahaja berlalu.

Harap semuanya dipermudahkan...


Sunday, January 17, 2016

HANG TUAH MENINGGAL DI PALEMBANG ?


KEHEBATAN Hang Tuah atau Tun Tuah sebagai seorang pahlawan ketika zamannya menyebabkan dia diangkat sebagai laksamana istana pada usia remaja. Setelah berguru bersama empat sahabat rapatnya, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu di Gunung Tundok berdekatan Gunung Ledang, mereka pulang ke Kampung Duyong.

Kelima-lima mereka dikatakan berguru dengan seorang lelaki bernama Seri Petala Adi Putera. Nama Hang Tuah mula disebut-sebut sehingga ke dalam istana ekoran peristiwa dia menyelamatkan Bendahara Tun Perak daripada amukan seorang lelaki berketurunan Jawa.

Setelah diangkat sebagai laksamana, wujud perasaan iri hati dalam kalangan pemuda Melaka terhadap kehebatan Tuah. Sejak dari itu, hidup Tuah dikatakan tidak asing dari asakan fitnah yang datang satu per satu sehingga membawa kepada peristiwa dia dihukum bunuh oleh sultan yang memerintah ketika itu.

Namun, menurut Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin, Hang Tuah pada akhir zaman sebelum kejatuhan kerajaan kesultanan Melayu Melaka telah membawa diri ke Palembang, Indonesia kerana merajuk dengan Sultan Mahmud.

“Oleh kerana itu, kita percaya bahawa makam Hang Tuah berada di Palembang. Menerusi apa yang ditulis oleh sepupu Hang Tuah, Tun Kola dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah Duyong, laksamana Melayu terbilang itu terkesan dengan sikap dan perbuatan Sultan Mahmud yang banyak melakukan perkara tidak betul pada masa itu,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Katanya, tindakan Hang Tuah yang membawa diri ke Palembang itu juga merupakan kesan daripada fitnah-fitnah yang dilontarkan kepadanya dan sikap sultan yang lebih mempercayai orang luar daripada mendengar pandangan panglima istananya sendiri.

Malah, Hang Tuah sebenarnya dikatakan merupakan bapa mentua kepada Sultan Mahmud apabila baginda berkahwin dengan seorang anak Hang Tuah, Tun Sabariah. Maka, apabila Sultan Mahmud lebih mengutamakan pandangan orang luar yang banyak mempunyai agenda tersirat, Hang Tuah berkecil hati.

Lalu, beberapa tahun sebelum kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, Hang Tuah membawa diri ke Palembang dan menetap bersama saudaranya, Tun Alam sehingga dia meninggal dunia di sana.

Ironinya, Khalid berkata, semasa Hang Tuah menjadi panglima perang istana, Melaka beberapa kali berjaya menewaskan serangan Portugis yang begitu mendambakan Melaka sehingga penjajah itu merasa gerun dengan kehebatan laksamana Melayu itu.

Manuskrip itu, katanya, ada menyebut ibu bapa Hang Tuah iaitu Tun Mahmud dan Tun Lela Wati dan beberapa pengikutnya belayar meninggalkan Palembang untuk mencari tanah baharu. Apabila mereka tiba di Pulau Besar, bapa kepada Tun Lela meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.

“Tun Mahmud menamakan kawasan yang dimudik di kuala sungai sebagai Kampung Duyong. Inilah kampung yang wujud pada hari ini. Tidak lama selepas itu, Hang Tuah dilahirkan di situ.

“Hang Tuah berasal dari kampung ini. Dakwaan mengatakan Hang Tuah berasal dari Tanah Besar China tidak benar. Sebenarnya, Hang itu adalah gelaran bagi pahlawan Melaka. Ia bukanlah nama berketurunan Cina ataupun sebagainya seperti yang diandaikan banyak pihak,” katanya.

Katanya, berdasarkan apa yang tertulis di dalam manuskrip itu, maka logik dikatakan dakwaan makam Hang Tuah di Palembang itu mempunyai asas yang lebih meyakinkan bahawa pahlawan itu meninggal dunia di Palembang. Pendek kata, kewujudan Hang Tuah bukan satu mitos.

“Masyarakat di Palembang begitu mengagumi Hang Tuah. Mereka tahu kisah pahlawan Melayu ini. Malah mereka yakin Hang Tuah wujud berdasarkan bukti yang ada di sana. Jadi, bagaimana pula wujud dakwaan bahawa Hang Tuah ini mitos atau tidak wujud? Itu sesuatu yang menyedihkan,” katanya.

Menyentuh mengenai kewujudan Hang Tuah, ujar Khalid, Hang Tuah merupakan simbol kekuatan orang Melayu sejak sekian lama. Dia merupakan figura yang menguatkan lagi semangat orang Melayu. Sewajarnya sejarah mengenai Hang Tuah diperkukuhkan dengan membangkitkan fakta logik mengenai kewujudannya.

Bagi persatuan itu katanya, mereka tampil dengan fakta dan bukti yang menunjukkan Hang Tuah merupakan seorang insan yang pernah dilahirkan di bumi Melaka. Fakta sejarah yang dinukil sendiri oleh saudara Hang Tuah, Tun Kola di Kampung Duyong.

Katanya, jika hendak disangkal, masakan kerajaan negeri mengangkat Kampung Duyong sebagai perkampungan Hang Tuah yang telah wujud selama 600 tahun.

Malah, terdapat bukti fizikal seperti Masjid Laksamana Hang Tuah, Perigi Hang Tuah, beratus-ratus kubur purba dan Sungai Duyong yang menjadi penghubung penduduk kampung itu dan seluruh Melaka.

Tambah Khalid, sesiapa yang mahu mengetahui kisah lengkap mengenai Hang Tuah dialu-alukan datang dan berjumpa dengannya mahupun ahli persatuan tersebut yang rata-rata terdiri daripada keturunan dan susur galur Hang Tuah di Kampung Duyong.

“Walaupun manuskrip asli Hikayat Hang Tuah Duyong yang dikarang Tun Kola itu kini disimpan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, namun persatuan ini mempunyai salinannya. Malah, ahli keluarga kami sempat menterjemahkan tulisan jawi kuno itu ke dalam tulisan rumi untuk difahami orang ramai mengenai kisah Hang Tuah,” katanya.

Tuesday, October 13, 2015

ISTIADAT MANDI KERIS


Lama gila aku tak update kan. Last bulan julai. Sekarang dah masuk bulan Oktober. Memang gila lah hahaha. Oklah tanpa membuang masa, meh aku cerita sikit pasal adat memandikan keris atau cakap bahasa senang, cuci keris lah.



Aku ni tak pandai pun. Cuma baru nak belajau belajau gitu je. Apapun aku pelik juga dulu, mengapa orang Melayu dulu dulu amalkan mencuci keris pada Awal Muharram. Kira hari Maal hijrah gitu. Tapi mungkin sebab orang Melayu dahulu kala mengambil kira bulan Muharram adalah bulan haram berperang. Maknanya tiadalah peperangan yang dibuat. Jadi waktu tidak berperang, mereka mengambil kesempatan membersihkan senjata senjata mereka. Apapun ini hanyalah pandangan peribadi aku saja. Benar atau tidak, korang kenalah bertanya sendiri kepada mereka yang lebih arif.

"Mereka bertanya tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar. Namun menghalang (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) dari pada membunuh.
(QS AL-Baqarah (2) :217)


Biasalah orang Melayu, kalau tak syirik, dia jadi bangang. Kalau tak bangang, dia jadi terlebih pandai dan terus berlagak alim. Kononnya membersihkan keris pada awal Muharram ini adalah perbuatan syirik. Laa dah tu bila pulak nak bersihkan keris ? Dah macam kisah tol pulak. Hari ni naik, dia marah. Naik esok, dia marah. Dah tu bila nak naiknya ? Ok abaikan bab politik.

Tetapi zaman sekarang, nak mandikan keris ini bila bila pun boleh. Sebab kita bukan gunakan keris untuk berperang dah. Sekadar koleksi atau hiasan saja. Tapi nak buat pun, suka hati korang lah. Bukan kena GST pun.

Ada yang kata, mandikan keris ini adalah perbuatan syirik, sebab dah macam memuja keris dengan mengasapkan dengan kemenyan ataupun mandikan dengan limau. Oklah dah dulu dulu mana ada pengering elektrik. Apatahlagi hair dryer nak bagi keris kering cepat. Tahu kan keris dibuat daripada besi, lawan besi adalah karat. Dan karat berpunca daripada air. Mengasapkan keris sebenarnya adalah proses mengeringkan keris dengan cara semulajadi. Boleh lap je dengan kain, tapi lap dengan kain atau mengeringkan dengan bara api, kesannya berbeza. Lagipun keris ditempa daripada api. Maka dengan apilah ianya lebih afdal.

Bab asap kemenyan, memang tak dinafikan ada sesetengah keris memang berpenunggu. Ada jin duduk dalam. Ada orang yang suka sangat bela jin. Dan makanan jin adalah asap. Tetapi selain itu, motif penggunaan kemenyan adalah untuk mewangikan keris. Bukan nak bagi makan jin semata mata.

Ok sekarang aku berikan cara cara nak cuci keris mengikut cara tradisional.

Sediakan bilah keris yang ingin dicuci.. Sediakan batang pisang yang segar berukuran 3 hingga 4 kaki panjang.. Beberapa biji limau nipis.. Air kelapa tua / Cuka makanan (bagi memberi ketahanan pada besi sekaligus membuang karat). Ini juga akan bertindak sebagai penebat besi dari karat. Seruas buluh yang berukuran sama panjang dengan mata bilah keris yang ingin dicuci.. Air mawar (Bagi mewangikan bilah) ATAU seeloknya Minyak Atar (Unsur minyak bagi memberi ketahanan pada besi. Jenis atar bagi mewangikan).

Proses pengeringan bilah dari air. Jangan dilap atau sapu dengan kain kerana itu bukan adat dan adapnya ‘berkeris’. (Dahulukala orang Melayu menggunakan asap kemenyan yang secara perlahan-lahan akan mengeringkan air pada bilah).

Apabila bilah keris sudah tersedia, tikamkan mata serta bilah keris itu tadi pada batang pisang beberapa kali bagi membuang karat peringkat pertama. Setelah keris itu basah dari hasil batang pisang tersebut, kita masuk ke peringkat kedua dengan menggosok mata bilah dengan limau nipis sehingga hilang karat tersebut. Dari sini, bilah keris akan kelihatan putih berseri-seri dan adakalanya binaan pamor juga akan hilang dari bilah keris. Tetapi jangan risau, pamor yang indah itu akan kembali semula.

Kemudian, pecahkan sebiji kelapa tua dan masukkan airnya (atau cuka makanan) di dalam ruas buluh yang tersedia tadi (yang sama panjangnya dengan mata bilah keris) dan rendam. Seeloknya, biarkan ianya semalaman bagi mendapatkan hasil. Selepas proses merendam bilahnya, keluarkan bilah keris itu dari ruas buluh, basuhkan dengan air mawar (atau air rendaman beras) bagi mencuci sisa karat yang masih berbaki.

Jika ingin mewangikan bilah keris itu pula, maka sapukan dengan minyak atar dan yang sebaik-baik minyak bagi tujuan ini adalah minyak Zafaron, minyak Misik, minyak Gaharu, minyak Cendana atau kalau ada kenalan dari Indonesia, cuba dapatkan ‘Warangan’. dengan penyapuan minyak tersebut, bilah keris akan kembali menjadi hitam dan pamor akan kembali kelihatan. Akhir sekali, proses pengeringan mata bilah tersebut.

Aku tak guna asap kemenyan. Merepek je sekarang. Tapi aku guna dapur gas. Buka api, layang layangkan keris atas api ( Bukan letak terus atas api tu. Hangus nanti.). Kira kira bagi air kering atau keris suam suam kuku. Lepas tu ambil minyak attar ( Beli dengan penjual minyak attar di pasar malam je ), sapu kan bagi keris tu ada perlindungan daripada karat dan juga bagi keris tu wangi.

Tapi serius, kalau korang sapu minyak attar, bila korang keluarkan keris tu dari sarung, memang bau wangi semerbak. Tak payah pakai jin dah konon nak tunjuk keris tu wangi. Bila dah wangi, boleh ler simpan elok elok.

Keris tiga bilah dan sebilah Tumbuk Lada tu koleksi aku. Tapi gambar mencuci keris tu aku pinjam daripada blog sini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...