Followers

Saturday, July 19, 2008

Perpaduan kunci kekuatan bangsa

NEGARA yang kuat adalah negara yang mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama- sama membangunkan agama, bangsa dan negara itu. Negara yang bercirikan kesatuan yang utuh dan mapan pasti sukar digugat dan sama sesekali tidak akan gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh.

Bagi mencapai status negara kuat, tidak ada cara lain yang perlu dilakukan melainkan dengan bersatu. Ini bertepatan dengan hukum dan tuntutan Islam yang meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

Perpecahan, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan pertelingkahan amat dibenci Islam kerana akan membawa kepada kehancuran bukan saja kepada negara, malah seluruh rakyat, agama dan bangsanya.

Tidak hairanlah, perpecahan akan memberi peluang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan apa saja yang diingini, tanpa me- ngambil kira perasaan dan hak mangsanya.

Bagi menghalang perpecahan, perpaduan hendaklah diutamakan, tidak hanya dalam aspek pertahanan, malah merangkumi semua aspek kehidupan. Perlu diingat, musuh tidak mengintai kelemahan sesebuah negara berdasarkan satu sudut saja, malah dalam banyak perkara yang boleh menguntungkan mereka.

Kunci perpaduan adalah persaudaraan sesama rakyat. Semakin erat persaudaraan, semakin kukuh perpaduan sesebuah negara atau ummah. Semangat persaudaraan perlu dipupuk dalam hati setiap rakyat, sebaliknya, permusuhan adalah virus utama kepada persaudaraan. Maknanya, jika sesebuah bangsa atau kaum sering permusuhan serta bersengketa, mereka sebenarnya tidak bersaudara, apatah lagi untuk membentuk kesatuan dan perpaduan.

Dalam pada itu, Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah belah kerana ia boleh meleraikan persaudaraan dan kekuatan ummah. Kita hendaklah lebih mementingkan keutuhan umat daripada kepentingan diri sendiri.

Perpaduan dan kesatuan menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadi ummah lemah dan mudah dipermainkan musuh.

Umat Islam di negara ini perlu menginsafi se- jarah umat terdahulu yang musnah angkara perpecahan sesama sendiri. Kejatuhan kerajaan Islam Abbasiyah, Fatimiyah dan Uthmaniyah adalah bukti jelas tiadanya elemen persaudaraan yang kukuh di kalangan rakyat.

Hal ini membawa kepada kemasukan pengaruh asing dan musuh Islam, khususnya Barat, dalam setiap diri rakyat lalu menjadikan mereka bangsa lemah serta sering ditindas hingga hari ini.

Soalnya, apakah kita mahu sejarah pahit itu berulang kembali dan menimpa negara ini?

SUMBER : Utusan Malaysia

Tuesday, July 15, 2008

Janganlah kita menjadi bangsa jalanan

BUNYINYA memang keji lagi hina. Bangsa jalanan ialah bangsa yang merempat, bersimpang siur dan tidak terurus, yang pepat di luar rencong di dalam di kalangan masyarakatnya. Bukan menghina atau menafikan peranan dan hak ahli-ahli politik untuk menggunakan segala macam cara untuk mendapatkan perhatian; tetapi hanya ingin menyedarkan bahawa demonstrasi atau menunjuk perasaan secara tidak sah adalah demokrasi jalanan.

Perhimpunan atau demonstrasi adalah pakej yang didatangkan bersama dengan sistem demokrasi ala Barat yang dipaksakan ke atas negara-negara lain termasuklah Malaysia. Jika tidak mendapat persetujuan pemerintah atau pihak penjaga keamanan negara, ia digelar perhimpunan haram yang tidak diberikan permit berhimpun. Walaupun sejarah demonstrasi bermula daripada perjuangan orang Melayu menuntut pembatalan Malayan Union pada 1946 di Tanah Melayu, saya berpendapat budaya ini bukanlah budaya pemakaian demokrasi yang baik untuk demokrasi mahupun menghormati sistem raja berperlembagaan yang mementingkan undian majoriti.

Memang tidak adil mengaitkan pakej yang dibenarkan dalam demokrasi dengan pemikiran, tetapi tindak tanduk pelaku atau peserta demonstrasi kadangkala sukar diramal. Dalam keadaan tanpa permit atau izin, pelaku akan bertindak dengan emosi. Keadaan baik boleh menjadi luar kawalan, keadaan yang awalnya betul dan lancar kadangkala 'bak mencurah api' pada sekam mengakibatkan kejadian luar jangka mengundang. Di Singapura, demonstrasi ini memang dihalang sehingga dikatakan mencemuh pakej demokrasi tersebut. Tetapi apakan daya, banyak penakatan penting di sebalik pengharaman ini membuahkan kesan yang baik. Lebih banyak baiknya diharamkan demonstrasi haram daripada dibenarkan.

Kita dapat menyorot kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia pada 1998 akibat demonstrasi jalanan yang dianjurkan pejuang reformasi. Demokrasi jalanan tersebut telah mematikan sistem demokrasinya dengan cara yang paling keji - pemimpin dijatuhkan dengan 'suara jalanan' tanpa ideologi dan kepimpinan pelapis. Akibatnya, Indonesia sehingga kini 'meratapi' krisis tersebut.

Apakah dengan ideologi Barat itu dianggap semuanya baik? Apakah pakej demokrasi itu boleh menjamin keluhuran sistem demokrasi yang diamalkan. Memang bukan semuanya berpuas hati dengan segala benda yang dilakukan oleh pemerintah. Tetapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Pemikiran ini harus dipancung daripada fikiran kita terutamanya bagi yang mementingkan jati diri dan sopan santun adat Timur. Kita tidak perlu terkinja-kinja untuk didengarkan idea politik kita. Tetapi bahaslah semasa kempen, dalam ruang lingkup politik kita. Banyak saluran yang ada untuk meluahkan pandangan kita, Parlimen sehinggalah ke forum terbuka.

Demonstrasi tidak menyelesaikan semua benda, bahkan bakal mengundang pelbagai implikasi. Bagi yang berkepentingan semuanya akan menyatakan demonstrasi haram adalah jalan terakhir yang perlu diambil untuk menyedarkan pihak yang ditentang. Terfikirkah kita khalayak yang menyertai demonstrasi? Sebungkus nasi menjanjikan segala-galanya? Sekali atau sekerap mungkin demonstrasi itu bakal mengubah senario semasa? Jika begitu demonstrasi bakal meranapkan segala cita warganegara yang inginkan keamanan.

Ramai yang akan berkata pemikiran penulis adalah pesimis. Tetapi sedar atau tidak demonstrasi haram tidak mengundang kebaikan langsung melainkan cita-cita politik pihak tertentu yang memperalatkan bangsanya demi cita-citanya yang tersendiri. Khalayak yang menyertainya pula diperalatkan. Setelah berjaya cita-citanya, apa yang akan diganjarkan kepada penyokong atau juak-juaknya? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah janji retorik yang mana mungkin dilaksanakan dalam masa yang sesingkat seperti sebelum demonstrasi.

Janganlah sokongan jalanan menjadi budaya kita. Akan rosaklah sistem kita sejak 50 tahun dahulu. Janganlah bangsa kita menaikkan pemimpin melalui jalanan bak orang tak bertamadun. Janganlah memaksa rakyat terhibur dengan aksi-aksi sarkas. Tidak maju pun dengan berdemonstrasi bahkan menunjukkan kelemahan berfikir serta tindak tanduk yang meluru atau membuta tuli dengan memaksa ideologi anda ke atas orang lain. Kami berhak menentukan apa yang kami cita dengan kertas undi, bukannya pemikiran sempit dan sokongan sorak di jalan.

Sumber Utusan Malaysia

Tuesday, July 08, 2008

Awasi godaan dan hasutan syaitan

Kalamullah
DAN demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan daripada mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka dan untuk mengelirukan mereka mengenai agama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.
(al-An’am: 137)

Huraian

Ayat ini menerangkan bahawa syaitan telah memperdaya orang-orang musyrik untuk melakukan penyelewengan dalam pengendalian harta benda dan membunuh anak-anak mereka dengan menanamnya hidup-hidup kerana takut mendapat malu dan ditimpa kemiskinan serta membayar nazar kepada berhala-hala yang disembah oleh mereka.

Matlamat syaitan mudah, iaitu untuk membinasakan manusia dan menimbulkan kekeliruan dalam kefahaman beragama sehingga mereka tidak dapat memahaminya dengan jelas, lalu sedikit demi sedikit kefahaman yang sebenar akan mula hilang lenyap.

Kefahaman yang keliru pula hanya akan menghancurkan kekuatan akidah sebilangan yang lain. Ini termasuklah juga dalam beberapa adat dan etika yang diamalkan dalam masyarakat sekarang yang boleh menimbulkan kesulitan masyarakat untuk mengamalkannya.

Terdapat sesetengah adat yang diamalkan dalam masyarakat sekarang amat bertentangan dengan syariat Islam yang mulia. Justeru, adat ini terpaksa juga diikuti agar tidak menampakkan kejanggalan dalam hidup bermasyarakat. Mereka tidak berani menyatakan bahawa kefahaman-kefahaman dan peraturan-peraturan itu adalah daripada mereka sendiri.

Oleh sebab itu, mereka melakukan pembohongan terhadap Allah dengan mendakwa bahawa semua itu adalah peraturan yang disyariatkan Allah kepada mereka dan mereka hubungkan peraturan itu kepada syariat nabi Ibrahim dan Ismail.

Kesimpulannya :

Sesungguhnya kaum musyrik amat licik dalam mengatur segala pakatan dan strategi yang jahat untuk menghancurkan agama Islam yang suci ini. Apabila manusia hanyut dibuai oleh hasutan dan godaan syaitan, maka semua yang haram sanggup dilakukan tanpa sekelumit pun perasaan bersalah.

Hanya Menyokong Harga Minyak Diturunkan



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...