TARIKH pilihan raya umum berada di ambang pintu. Pelbagai manifesto dicipta, pelbagai tokoh bakal menjadi 'ayam sabung' mewakili parti masing-masing bagi menjuarai pertandingan yang dinanti-nantikan ini.
Melihat gelagat pembangkang, kita perlu ingat ini bukan beradu kekuatan tenaga, ini beradu kekuatan fikiran.
Strategi manakah yang dapat menarik pengundi dan dasar apakah yang menarik penyokong-penyokong?
Kerja menjahanamkan bendera parti lain bukanlah perangai yang baik. Kalau itulah yang mereka gunakan tentulah tidak wajar dalam proses pemilihan negara berdemokrasi ini.
Bagaimana hebatnya manifesto pembangkang, ia tidak lebih daripada manifesto lidah bercabang. Lidah bercabang maknanya, bercakap lain di depan khalayak yang berbeza atau waktu berbeza.
Kenyataan-kenyataan lidah bercabang ini tidak lain untuk mengabui para pengundi.
Satu ketika dulu, Pas melaungkan slogan negara Islam dan hukum hudud. Tapi kini manifesto itu sudah masuk ke bakul sampah.
Tiada lagi perjuangan negara Islam kerana negara Islam ditentang oleh sekutu Pas iaitu DAP. Pemimpin DAP pernah menyergah Pas dengan ugutan, "langkah mayat saya dulu kalau nak tubuhkan negara Islam." Dan Pas ternyata takut. Lalu slogan negara Islam dan hukum hudud tidak kedengaran lagi.
Dulu Pas mengkafirkan UMNO kerana bersekongkol dengan MCA dan MIC. Maka keluarlah hukum sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan dan tidak boleh berimamkan orang-orang UMNO.
Masyarakat Islam berpecah belah kerana fatwa Haji Hadi. Tetapi kini apa sudah jadi? Hadi sanggup berpeluk-peluk dengan Lim Kit Siang.
Sedangkan UMNO konsisten dalam soal bergabung dengan orang-orang Cina dan India. Tindak-tanduk Pas ini bolehlah kita madahkan begini, "bila sudah kenal orang lain, hukum hudud entah ke mana."
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula bertindak seolah-olah merekalah 'pembela atau juara' kuil.
Tetapi ketika kempen di kalangan orang Melayu di Ijok mereka menyoal orang Melayu, "Pilih kuil atau masjid?"
Orang-orang Melayu susah hendak menjawab, kerana andaian memilih BN bermakna menyokong kuil kerana calon BN dari MIC dan memilih PKR bermakna memilih masjid kerana calon PKR daripada kalangan orang Melayu.
Walaupun ini perbandingan yang salah tetapi cukup mengelirukan para pengundi. Begitulah mereka memainkan sentimen agama dan keturunan.
Baru-baru ini, Hadi merestui calon-calon bukan Islam PKR untuk mereka bersekongkol.
Di samping itu mereka berpakat dengan DAP supaya pertandingan BN dengan pembangkang menjadi satu lawan satu.
Ini satu lagi tanda lidah bercabang mereka, UMNO berpakat dengan bukan Islam dikatakan kafir.
Tetapi pakatan mereka dibolehkan atas alasan mencontohi Perjanjian Madinah.
Baru-baru ini, Pas marah-marah kerana bendera mereka diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan di Terengganu kerana menyalahi peraturan yang dibenarkan.
Malah Pas berkata jika mereka memerintah, demonstrasi jalanan akan dibenarkan. Kepada saya ini tidak mungkin berlaku.
Ingatkah kita satu ketika dulu, Perdana Menteri kita melawat Terengganu, Pas yang ketika itu pemerintah Terengganu telah menurunkan bendera UMNO yang dipasang semata-mata bertujuan menyambut lawatan Perdana Menteri. Sedangkan Perdana Menteri diperlakukan demikian, apatah lagi rakyat biasa.
Fikirkan secara rasional. Saya kasihan melihat penyokong-penyokong mereka yang mengharapkan kepimpinan ulama tetapi yang ada tidak seperti yang mereka harapkan. Ada di antara pemimpin pembangkang yang bercakap lain tetapi perbuatan lain.
Cukuplah sampai di sini, kita akan lihat cabang lidah pembangkang dengan cukup jelas. Selamat mengundi.