Followers

Tuesday, May 30, 2006

Hatiku Luka Lagi

Semalam merupakan detik hitam yang meyelubungi diri ku..Sekali lagi hati aku telah dikecewakan. Dan kali ini bukanlah kehendak Aina tapi ayahnya. Aku sedar siapalah diri aku ini. Aku bukannya orang berada malah aku juga bukan orang Perak seperti yang diinginkan oleh ayahnya. Namun apa yang aku ada hanyalah cinta dan kasih sayang buat Aina.
Alangkah pedih rasa hati ini apabila mendengar yang dia akan ditunangkan dengan saudara sendiri. Kenapa masih ada lagi keluarga yang memaksa anaknya berkahwin dengan pilihan mereka. Gelap dunia aku rasakan. Tak tahulah macam mana aku hendak teruskan hidup ini. Bagi aku, aku benar-benar berharap dapat bersama dengannya. Aku tak pernah bermimpipun perkara semacam ini akan berlaku pada diriku. Perhubungan kami terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan. Alasan yang diberikan hanya kerana ingin mengukuhkan hubungan saudara antara mereka. Apa mereka fikir anak mereka barangan dagangan. Yang boleh dijual beli.
Memanglah aku ni orang miskin. Ayahpun dah lama tiada. Dan anaknya bakal bergelar jururawat manakala aku nie masih belajar dan belum pasti mendapat kerja yang sesuai namun aku masih lagi punya hati dan perasaan. Aku benar-benar mencintai dia. Lebih dari segala yang ada.
Aku memang tak mengharapkan yang lain selain dari dia. Ainalah yang memberi aku semangat setelah cinta pertama aku kandas. Aina hadir membawa harapan pada diriku. Dan sememangnya aku berharap dapat bersama dengannya sepanjang hidupku..
Sejak semalam dah berapa kali aku menanggis aku sendiripun tak ingat. Aku benar-benar tak menyangka semua ini akan terjadi. Segala janji dan harapan musnah sama sekali. Aku terlalu menyintai dirinya. Ya Allah apakah ini cubaan dariMu terhadap hambamu. Tabahkanlah diriku bagi menghadapi hidup ini. Dan aku mengharapkan rahmat dariMu dan berikanlah kebahagian dunia dan akhirat buat Aina.
Aku sedar jodoh itu di tangan tuhan dan aku redha dengan semua ini. Cuma sebagai manusia biasa, rasa sedih dan terkilan itu tetap ada. Apa yang dapat aku harapkan hanyalah kebahagiaan dirimu sayang. Aku benar-benar berharap bahawa dia dapat menjaga dirimu dengan penuh kasih sayang seperti mana aku meyayangi dirimu selama ini.
Tarikh 28.5.2006 pasti takkan aku lupakan. Dan juga perkenalan kita pada 14.2.2004. Aku tetap mencintai dirimu buat selamanya sayang…

DI MANA KAU KU CARI GANTI

HENDAK KU NANGGIS
TIADA…..
BERAIR MATA

HENDAK KU SENYUM
TIADA SIAPA NAK TEMAN
KALAULAH NASIB
SUDAH TERSURAT
BEGINI HEBAT
APA NAK BUAT…

DIMANA KAN KU CARI GANTI
SERUPA DENGAN MU
TAK SANGGUP KU BERPISAH
DAN PERHATI PATAH
HIDUP GELISAH

ALANGKAH PEDIH RASA HATI
SELAMA KAU PERGI
TINGGALKAN SENDIRIAN
TIADA BERTEMAN
DALAM KESEPIAN

DUNIA TERANG MENJADI GELITA
CAHAYA INDAH TIADA BERGEMA
KELUHAN HATIKU MEMBAWA DERITA
KINI KAU JUA TAK KUNJUNG TIBA

DIMANA KAN KU CARI GANTI
MUNGKINKAH DI SYURGA
UNTUK KAWAN BERDUKA
MENANGGIS BERSAMA
SELAMA-LAMANYA…

Thursday, May 11, 2006

Jika UMNO tidak wujud

APA agaknya terjadi pada Malaysia jika UMNO tidak ditubuhkan pada 11 Mei 1946? Jawapannya, besar kemungkinannya Malaysia tidak ada. Konsep Bumiputera juga tidak wujud. Malah Melayu mungkin mengecewakan Hang Tuah kerana bangsa ini hilang di dunia.

Jadi apa yang ada? Mungkin yang ada hari ini ialah Malayan Union tetapi bukan dalam bentuk gagasan ketika ia mula diutarakan penjajah British.

Malayan Union pada tahun 2006 mungkin merupakan sebuah negara merdeka yang menggabungkan Malayan Union 1946 dengan Singapura. Nama panggilan antarabangsanya ialah Malaya. Ibu negaranya bukan Kuala Lumpur, apatah lagi Putrajaya. Tetapi ia adalah Singapura. Bahasa kebangsaannya ialah Inggeris dengan bahasa-bahasa diiktiraf, Cina, Melayu dan Tamil.

Apa akan jadi dengan Sarawak dan Sabah? Kemungkinannya tanpa UMNO, Sarawak dan Sabah menjadi sebahgian daripada Indonesia sebagai propinsi Kalimantan Utara dan Sabah menjadi wilayah paling selatan Filipina.

Di satu pihak mungkin Malayan Union lebih maju daripada Malaysia tetapi orang Melayu jauh ketinggalan daripada kaum lain.

Malayan Union mungkin lebih maju kerana pemerintahannya tidak perlu membuat pertimbangan untuk berusaha meningkatkan tahap kedudukan ekonomi bumiputera.

Di satu pihak yang lain pula mungkin Malayan Union menjadi kacau-bilau akibat pergaduhan kaum akibat ketidakseimbangan taraf ekonomi antara kaum. Ataupun lebih teruk lagi, Malayan Union jatuh ke tangan komunis untuk menjadi Republik Rakyat Malaya.

Jika Malayan Union menjadi komunis, ia boleh menjadi kunci kepada kemenangan komunis bukan saja di Asia Tenggara tetapi juga seluruh dunia.

Bayangkan pada tahun 50-an jika Malayan Union menjadi komunis. Parti Komunis Indonesia (PKI) pula berjaya menguasai Jakarta, dengan kemenangan komunis Vietnam, maka teori domino menjadikan seluruh Asia Tenggara komunis.

Dengan laluan dagang tersekat antara Jepun dan Eropah, begitu juga Australia, maka dunia lebih mudah jatuh ke tangan komunis. Lebih-lebih lagi Soviet Union dapat bersatu dengan China yang mungkin dapat mengalahkan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah Barat. Keadaan dunia menjadi begitu berubah dan jauh berubah dengan keadaan pada hari ini.

Terlalu pahit untuk membayangkan apakah nasib orang Melayu di bawah pemerintahan komunis.

Jika komunis di Malaya menjadi seperti apa yang berlaku di China, maka hanya selepas pemerintahan Deng Xiaoping, barulah Malaya dapat menikmati kemajuan ekonomi seperti apa yang sedang berlaku di China hari ini.

Dalam senario lebih buruk, jika Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi begitu zalim seperti Khmer Rouge di Kemboja, mala petaka besar pasti menimpa penduduk Malaya.

Tanpa UMNO, apakah parti orang Melayu di Malayan Union yang sudah menjadi minoriti kerana kehadiran Singapura di dalamnya? Yang wujud kemungkinannya adalah parti-parti yang tidak berasaskan mana-mana kaum, tetapi lebih kepada ideologi.

Melayu mungkin berpecah dua. Satu pihak akan menyebelahi aliran kanan, sementara satu lagi aliran kiri.

Jasa UMNO pada Melayu

PADA tarikh 11 Mei 2006, ahli-ahli UMNO seluruh negara menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan parti UMNO.

Ia merupakan tarikh yang amat signifikan dalam susur galur sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia.
George Santayana, seorang ahli falsafah dan penyajak Amerika kelahiran Sepanyol pernah menyatakan bahawa mereka yang tidak mengingati masa lampau akan disumpah untuk mengulanginya.

Dalam konteks tarikh keramat 11 Mei, kata-kata hikmat Santayana boleh sahaja dirujuk kepada keperluan untuk generasi muda dengan tujuan untuk mengetahui fakta sejarah. Lebih daripada itu, ia juga wajar digunakan bagi menghayati kesan serta akibatnya kepada sejarah bangsa dan negara.

Keperluan ini semakin mendesak hari ini dalam suasana negara aman damai dengan segala nikmat kemakmuran yang melimpah.

Adalah sesuatu yang perlu buat orang Melayu terutamanya generasi muda bersama-sama menghitung kembali segala rahmat yang Maha Esa kepada kita umat Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Penubuhan UMNO enam dekad lalu telah membuka pintu rahmat kepada bangsa Melayu di bumi tercinta ini.

UMNO adalah sebuah pertubuhan massa Melayu yang mendapat sokongan dan dokongan majoriti umat Melayu.

Ini bertitik tolak daripada matlamat penubuhan UMNO itu sendiri adalah untuk memelihara dan memperjuangkan martabat serta maruah bangsa, agama dan negara.
Orang-orang Melayu yang sebelum ini terkenal dengan kesetiaan kenegerian mereka berubah kepada kesetiaan kebangsaan.

Perpaduan orang Melayu melalui parti keramat ini telah membuahkan hasil apabila UMNO berjaya menamatkan sistem perlembagaan Malayan Union yang menghakis hak orang Melayu dan seterusnya digantikan dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu yang lebih memelihara hak-hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.

Dukungan dan sokongan orang Melayu terhadap UMNO juga telah membolehkan parti menubuhkan perikatan bersama MCA dan MIC yang akhirnya telah berjaya memenangi hak berkerajaan sendiri pada tahun 1955 diikuti kemerdekaan negara dua tahun kemudian.
Kemerdekaan negara yang telah berjaya dicapai memberikan orang Melayu kebebasan dan hak untuk menentukan hala tuju negara tanpa perlu tunduk kepada orang lain.

Kalau semasa penjajahan segala bentuk pembangunan adalah untuk menyenangkan eksploitasi sosioekonomi penjajah terhadap bumi kita namun sekarang segala bentuk pembangunan merupakan demi faedah warganegara sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Sejak berkerajaan sendiri pada tahun 1955 telah ada sebelas rancangan pembangunan bagi jangka masa lima tahun dilaksanakan kerajaan yang diterajui UMNO.
Bermula dengan rancangan pembangunan Malaya yang pertama sehinggalah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dari segi pembangunan modal insan kerajaan yang diterajui UMNO telah berjaya membangunkan prasarana yang mengagumkan terutamanya dalam meluaskan akses kepada pengajian tertiari.

Dari sebuah universiti awam pada awal tahun 60 an kepada dua belas universiti dan enam kolej universiti awam pada tahun 2006.

Ini tidak termasuk 27 Institut Pendidikan Guru, Politeknik (20) , Kolej Komuniti (34), Universiti Swasta (11) Kolej Universiti swasta (11), kampus tempatan universiti asing (5) dan lebih 500 kolej swasta.

Hari ini terdapat kira-kira 322,917 pelajar yang mengikuti pengajian ijazah pertama di institusi awam dan swasta di seluruh negara; 230,381 pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma; 132,880 peringkat sijil; 38,638 peringkat sarjana dan 6,882 peringkat doktor falsafah (Ph.D).

Pada hari ini, 29 peratus mereka yang berada dalam lingkungan umur 17-23 tahun mendapat pendidikan tertiari jumlah ini dijangka meningkat kepada 40 peratus pada tahun 2010.
Siapa yang mampu menafikan jasa UMNO kepada orang Melayu? Sokongan dan dokongan orang Melayu kepada UMNO tidak sekali-kali dipersia-siakan parti.

Ia telah membolehkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirangka dan dilaksanakan.
Melalui dasar ini kemiskinan diperangi dan masyarakat disusun semula agar legasi penjajah iaitu pengenalan kaum mengikut jenis pekerjaan dan lokasi geografi mereka akan dapat diubah.
Kalau pada tahun 1970 apabila bermulanya DEB hanya terdapat 225 orang profesional Melayu, namun hari ini berkat dasar berkenaan serta dasar-dasar selari dengannya menjadikan 42, 414 profesional Melayu atau 38.8 peratus muncul dari keseluruhan profesional di Malaysia.

Jika pada tahun 1970 hanya terdapat 66 jurutera Melayu dan 79 doktor perubatan Melayu, jumlah tersebut telah bertambah kepada masing-masing 22,623 jurutera (46 peratus dari jumlah jurutera di Malaysia) dan 5,720 doktor perubatan (36.7 peratus dari jumlah jurutera di Malaysia). Hanya dalam bidang perakaunan angkanya agak mengecewakan walaupun terdapat 4,498 akauntan Melayu (20.8 peratus dari jumlah keseluruhan semua akauntan di Malaysia) berbanding 40 orang pada tahun 1970 hanya 961 atau 6.2 peratus akauntan adalah bertaraf akauntan profesional.

DEB juga telah berjaya mengurangkan kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia dari hampir 50 peratus pada permulaannya kepada hanya 5.7 peratus hari ini.
Bagi matlamat penyusunan semula masyarakat walaupun kemajuan telah dicapai dalam beberapa bidang namun ia masih belum berjaya sepenuhnya.

Dari segi penguasaan ekuiti bumiputera misalnya, yang diukur dari pemilikan modal saham syarikat berhad walaupun ia telah bertambah dari kurang dua peratus pada permulaan DEB kepada 18.9 peratus pada akhir Rancangan Malaysia Kelapan, namun ia masih tidak dapat memenuhi matlamat DEB iaitu untuk penguasaan bumiputera 30 peratus menjelang tamat DEB pada tahun 1990.

Pengalaman DEB membuktikan bahawa tidak cukup penumpuan diberikan kepada prakarsa dasar atau pembinaan institusi semata-mata tanpa melihat kepada usaha gerakan pembangunan modal insan yang berteraskan reformasi kepada sistem nilai, budaya dan sikap di kalangan orang Melayu.

RMK-9 yang memberi penekanan lebih serius kepada modal insan adalah langkah yang tepat dalam memulakan misi nasional bagi merealisasikan wawasan 2020.
Hari ini dalam usia 60 tahun UMNO perlu terus didokong dan diperkukuhkan kerana parti keramat ini adalah tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah, kerajaan yang menjadi mekanisme untuk memastikan bangsa Melayu akan terus terbela.

Mungkin ada segmen bangsa Melayu yang telah berjaya, telah mampu berdikari serta merasakan tidak lagi memerlukan bantuan atau tongkat tetapi jangan dilupakan masih ada sebahagian segmen bangsa yang masih perlu dibantu.

Untuk menjadikan kemajuan bangsa Melayu lebih pantas selain dari bantuan kerajaan, mereka yang berjaya di kalangan orang Melayu sepatutnya juga menghulurkan tangan untuk membantu membimbing kalangan anak Melayu yang masih perlu dibantu.
Bersama-sama kita memastikan bangsa Melayu akan terus bertatih menjadi bangsa kuat yang dihormati kawan dan lawan, janganlah kita merasa jemu dalam melaksanakan tugas yang mulia ini.

Allah tidak mempunyai anak

Syeikh Sya'rawi berkata, selepas Allah s.w.t. menerangkan bahawa setiap sesuatu di alam ini di bawah kekuasaan-Nya, Allah s.w.t. hendak mengembalikan atas mereka yang cuba menjadikan Allah penolong dan sekutu bagi kerajaan-Nya.

Kemudian ayat-ayat yang berikut menunjukkan kefahaman mereka yang sesat terhadap hakikat Uluhiah dan penyelewengan mereka daripada dasar tauhid yang menjadi landasan agama Allah dan asas kefahaman yang betul dalam setiap risalah. Ia menggandingkan kefahaman mereka yang menyeleweng dengan kefahaman-kefahaman jahiliah yang karut terhadap zat Allah s.w.t. dan sifat-sifat-Nya, di samping menjelaskan wujudnya persamaan di antara hati kaum Musyrikin Arab dengan hati kaum Musyrikin daripada golongan Ahli Kitab serta membetulkan seluruh mereka yang menyeleweng ke arah kepercayaan syirik itu dan menerangkan landasan kefahaman keimanan yang betul kepada mereka.

Firman Allah, “Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: ‘Allah mempunyai anak’. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia-lah yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: ‘Jadilah engkau!’ Lalu menjadilah ia.” (Al-Baqarah: 116 dan 117)

Firman Allah s.w.t., Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak.” Inilah dakwaan golongan Yahudi, Kristian dan musyrikin. Yahudi mendakwa Uzair sebagai anak Allah. Kristian pula mendakwa al-Masih anak Allah. Sedangkan golongan musyrikin pula mendakwa segala malaikat adalah anak perempuan Allah.

Maka Allah s.w.t. mendustakan semua dakwaan mereka seraya berfirman, “Sebelum al-Quran meneruskan penerangannya tentang segi-segi kekarutan kefahaman mereka yang lain terhadap Allah s.w.t., ia terlebih dahulu membersihkan Allah s.w.t. daripada kefahaman itu dan menerangkan hakikat hubungan yang sebenar antara Allah dengan sekalian makhluk-Nya.”

Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Ulama telah khilaf sebab turun ayat ini:

1. Diturunkan kepada golongan Yahudi yang menjadikan Uzair anak Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a..

2. Diturunkan kepada Kristian Najran yang berkata, Isa anak Allah. Inilah pendapat Muqatil.

3. Diturunkan kepada Kristian dan Musyrikin Arab kerana orang Kristian mendakwa Isa anak Allah dan musyrikin pula mendakwa malaikat adalah anak-anak perempuan Allah. Inilah pendapat Ibrahim bin al-Sariy.

4. Bahawa ia diturunkan terhadap Yahudi, Kristian dan Musyrikin Arab. Inilah pendapat al-Tha'labi.

Maha Suci Allah (daripada apa yang mereka katakan itu), iaitu Maha Suci Allah daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-suci-Nya. Dakwaan yang karut bahawa Allah mempunyai anak itu bukanlah dakwaan kaum Nasara sahaja terhadap Isa al-Masih, malah ia juga dakwaan kaum Yahudi terhadap Uzair dan dakwaan Musyrikin Arab terhadap malaikat.

Ayat ini tidak menghuraikan dakwaan-dakwaan itu kerana tujuan penerangan ayat ini adalah untuk menerangkan secara ringkas tentang tiga golongan yang menentang Islam pada masa itu di Semenanjung Tanah Arab – yang anehnya ketiga-tiga golongan itu masih terus menentang Islam pada hari ini dalam bentuk pergerakan Zionis antarabangsa.

Dan ketiga-tiga golongan ini lebih kufur daripada kaum Musyrikin pada masa itu – dan daripada kenyataan umum ayat ini gugurlah dakwaan kaum Yahudi dan Nasara kononnya mereka sahaja golongan manusia yang mendapat hidayat. Kini nyatalah bahawa mereka adalah sama dengan kaum Musyrikin (Arab).

Bahkan Dialah yang daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-sucinya memiliki segala yang di langit dan di bumi. Bahkan ia bukan sebagaimana apa yang mereka sangka. Sebenarnya Allahlah yang bersifat Maha Pencipta semua yang ada daripada makhluk-Nya termasuklah Uzair, al-Masih dan malaikat.

Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. Al-Zajjaj berkata: Perkataan qunut mempunyai dua makna:

1. Qiam atau berdiri;

2. Taat.

Dan yang masyhur pada bahasa dan penggunaan iaitu qunut dengan maksud doa ketika qiam sedangkan orang berqunut ialah orang yang melaksanakan arahan Allah s.w.t..

Ulama tafsir mengemukakan tiga pendapat yang dimaksudkan dengan qunut:

1. Ketaatan. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, Mujahid dan Qatadah;

2. Ia bermaksud ikrar dengan ibadat. Inilah pendapat Ikrimah dan al-Suddi;

3. Ia bermaksud qiam. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Rabi'.

Sedangkan makna qiamnya pula mempunyai dua pendapat:

1. Bahawa maksudnya qiam dengan syahadah dengan ubudiyah;

2. Iaitu berdiri di hadapan-Nya pada hari kiamat.

Semuanya patuh kepada Allah s.w.t. dan sekali-kali tidak mungkin melanggar hukum takdir Tuhan. Oleh itu, tidak sekali-kali perlu difahamkan bahawa Allah s.w.t. mempunyai anak di kalangan makhluk-makhluk yang wujud di langit dan di bumi ini kerana seluruh makhluk ini adalah daripada ciptaan-Nya belaka. Semuanya diciptakan dengan darjah yang sama dan alat yang sama.

Berkehendak

Firman Allah, “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); Allah sahajalah Pencipta dan Pereka yang tidak mempunyai sebarang contoh terdahulu dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: Di sini kita sampai kepada satu konsep Islam yang bersih dan sempurna mengenai Allah s.w.t. dan bentuk hubungan antara khalik dan makhluk, juga mengenai cara kemunculan makhluk daripada ciptaan-Nya.

Konsep ini merupakan setinggi-tinggi dan sejelas-jelas kefahaman mengenai semua hakikat ini. Alam buana ini muncul daripada Penciptanya dengan perantaraan keputusan iradat Allah yang mutlak dan Maha Berkuasa iaitu, “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

Apabila Allah s.w.t. berkehendak mencipta sesuatu, ia boleh terhasil tanpa sebarang larangan dan tangguh, bahkan dengan sekelip mata, pasti arahan-Nya terlaksana. Keputusan Iradat Allah hendak menjadikan sesuatu makhluk sudah cukup untuk melahirkan makhluk itu ke alam al-wujud mengikut rupa bentuk yang telah ditentukan-Nya tanpa perantaraan kekuatan dan bahan.

Tetapi bagaimana cara iradat Allah – yang kita tidak mengetahui hakikat itu – berhubung dengan makhluk yang hendak diciptakan-Nya itu adalah satu rahsia yang tidak didedahkan kepada kefahaman manusia, kerana tenaga manusia tidak dilengkapi dengan kesediaan-kesediaan untuk memahaminya kerana ia tidak diperlukannya dalam menjalani tugas yang diserahkan kepada mereka, iaitu tugas memerintah dan mengimarahkan bumi ini.

Sebagaimana manusia dikurniakan Allah s.w.t. dengan kudrat kuasa sekadar yang membolehkan mereka untuk membongkakkan undang-undang alam yang berguna kepada mereka di dalam menjalani tugas-tugas mereka, begitulah juga Allah s.w.t. menyembunyikan daripada mereka rahsia-rahsia lain yang tidak ada hubungan dengan tugas khalifah mereka yang agung.

Pendapat-pendapat falsafah hanya berkelana dan meraba-raba di padang gurun tanpa pedoman apabila ia cuba membongkarkan rahsia-rahsia ini dan membuat berbagai-bagai andaian yang terbit daripada kefahaman manusia yang tidak disediakan untuk bidang ini.

Mereka sama sekali tidak dibekalkan dengan alat-alat yang membolehkan mereka mengetahui dan meneroka bidang ini. Oleh sebab itulah hasil andaian-andaian itu kelihatan lucu walaupun ia dibuat dalam tahap yang setinggi-tingginya.

Ia kelihatan begitu lucu hingga membingungkan manusia bagaimana pendapat ini boleh terkeluar daripada seorang ahli falsafah!

Semuanya ini disebabkan ahli-ahli falsafah itu cuba keluar dengan kefahaman dan pemikiran manusia daripada tabiat kejadiannya dan membawanya keluar melebihi batas keupayaan yang ditentukan kepadanya.

Oleh sebab itu mereka tidak sampai kepada sesuatu pendapat yang boleh diyakini dan boleh
dihormati oleh orang yang berpegang dengan kefahaman Islam dan hidup di bawah naungannya. Islam telah menyelamatkan para penganutnya yang beriman kepada hakikatnya daripada berkelana dan meraba-raba di padang gurun yang tidak berpandu dan daripada melakukan percubaan-percubaan yang gagal serta tersalah jalan dari awal lagi.

Gerakan iradat itu berlangsung dengan suatu cara yang tidak dapat diketahui oleh daya pemikiran manusia. Ini kerana hal ini di luar kemampuan daya pemikiran mereka. Oleh itu adalah kerja-kerja membuang tenaga yang sia-sia untuk berusaha membongkar rahsia ini dan meraba-raba di padang gurun tanpa pemandu.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...