Followers

Monday, January 30, 2006

Unit khas siasat kematian Safiqah

JOHOR BAHRU 29 Jan. - Polis Johor menubuhkan satu unit khas bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes kematian pelajar tingkatan tiga Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS), Safiqah Mohd. Borhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, pasukan khas itu akan bekerja 24 jam sehari menyiasat kes pelajar tersebut.
Beliau berkata, siasatan polis dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk memastikan sama ada mangsa dirogol.

Katanya lagi, pihak polis turut menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kematian Safiqah berdasarkan laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh ahli patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA).

``Laporan bedah siasat yang diterima sudah pun dilaporkan kepada saya dan saya kini sedang meneliti laporan tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kes kematian Safiqah, 15, bermula dengan kehilangannya pada pagi 25 Januari lalu sewaktu Allahyarham dikatakan dalam perjalanan ke sekolah.

Tiga hari selepas kehilangannya dilaporkan oleh bapanya, mayat Safiqah ditemui di dalam longkang sedalam dua meter di Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda (BBU) dekat sini oleh seorang pelajar sekolah lain yang ketika itu, dalam perjalanan ke sekolah.
Rahim berkata, pihak polis turut melipatgandakan usaha untuk menjejaki suspek yang terbabit dalam kes itu.

``Kita melihat kemungkinan ada lebih daripada seorang suspek yang terlibat dalam kes ini berdasarkan kedudukan mayat mangsa yang diletakkan di dalam longkang sedalam dua meter.

``Kita juga sedang mengkaji bagaimana mangsa tidak mengalami patah di mana-mana bahagian tubuhnya sekiranya mangsa dihumban ke dalam longkang konkrit,'' katanya.
Justeru katanya, pihak polis sedang mengkaji bagaimana mangsa boleh dimasukkan ke dalam longkang dengan keadaannya yang sempit.

Beliau berkata, setakat ini, pihak polis mempunyai beberapa maklumat dan siasatan dijalankan berdasarkan maklumat yang ada.
Namun begitu, beliau berkata, pihak polis masih mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian.

``Polis memerlukan bantuan orang ramai yang mungkin tahu mengenai kejadian pembunuhan ini supaya menyalurkan maklumat tersebut bagi melancarkan siasatan,'' ujarnya.

Beliau menambah, walaupun unit khas ditubuhkan untuk mengendalikan kes tersebut namun pihak polis tetap menjalankan tugas mereka secara profesional.
Katanya lagi, polis tidak boleh membuat apa-apa tangkapan secara melulu dan mendakwa tanpa sebab yang kukuh.

Oleh yang demikian katanya, siasatan polis adalah terperinci dan memerlukan masa untuk bertindak.

Beliau berkata, walaupun kes kematian Safiqah telah mencetuskan minat banyak pihak namun ia tidak memberi tekanan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya menemani anak-anak mereka, terutamanya anak perempuan yang perlu ke sekolah pada awal pagi.

Hari Ini Dalam Sejarah

Hari ini merupakan hari yang takkan aku lupa. Aku hanya turun ke KL hanya disebabkan untuk membeli tiket bas TRANS untuk balik ke Melaka jer. Tak pernah aku buat. Penat giler aku rasa. Dengan Indon yang begitu ramai di Pudu Bersesak-sesak pada hari raya kedua Tahun Baru Cina arhhhhhhh.

Dua jam pergi balik dari rumah aku ke KL dan hanya tak sampai setengah jam jer aku kat KL tuh. Banyak masa aku habis dalam bas jer. Dahlah awek balik kampung. Kalau tak leh gak ler aku ronda2 ngan dia. Bila aku sampai rumah kol satu tengahari tadi, aku trus tdor. Penat nya......

Sunday, January 29, 2006

Islam hormati orang lain

SEJAK tercetusnya kes M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah, isu ini terus menjadi bahan perbualan dan perbahasan pelbagai komponen masyarakat.

Apa yang lebih mendukacitakan ada cubaan menggambarkan seolah-olah Islam adalah agama yang tiada tolak ansur dan kompromi terhadap masyarakat bukan Islam. Ini cuba dijustifikasikan oleh segelintir melalui keputusan Mahkamah Syariah yang kononnya dikatakan tidak adil dalam memaksakan status keislaman Allahyarham Mohamad Abdullah.

Bagi segelintir lain berkepentingan pula cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan polemik baru melalui provokasi dan tuntutan tidak wajar yang lebih terdorong kepada nilai perkauman sempit dan berkepentingan politik tertentu.

Sikap segelintir masyarakat ini lebih jelas terpancar apabila dalam kes Nyonya Tahir yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban sebagai kekal status bukan Islamnya, mereka yang sinis tadi tidak pula memberi reaksi malah membisu semacam hilang pertimbangan objektif dalam menilai sesuatu keputusan.

Penulis tidak berhajat untuk merungkai episod ini melalui perspektif perundangan kerana ia telah banyak dibahaskan sebelum ini. Namun apa yang pasti, hakikat yang harus diterima oleh semua pihak ialah sesuatu hukuman tidak kira oleh mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syariah dibuat berasaskan fakta yang dikemukakan.

Dalam kedua-dua kes Mohamad Abdullah dan Nyonya Tahir umpamanya, Mahkamah Syariah hanya membuat keputusan berdasarkan fakta dan keterangan saksi yang dikemukakan.

Masalahnya bukannya isu keadilan yang dipertikaikan sangat tetapi sikap segelintir berkepentingan yang cuba mensensasikan dan mempolemikkan isu-isu membabitkan agama dan kaum seperti ini dengan mencetuskan provokasi-provokasi yang hanya boleh menjejaskan struktur kemajmukan yang selama ini terbina secara harmonis.

Persoalannya benarkah Islam agama diskriminasi yang tidak memberi ruang keadilan kepada minoriti bukan Islam? Mengapakah selepas hampir 50 tahun merdeka masih timbul permasalahan dan pertikaian mengenai isu-isu perlembagaan yang disepakati bersama?

Atau apakah integrasi nasional yang ada hanyalah ungkapan kosmetik yang tidak pernah tercerna di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini?

Dalam konteks inilah, sejarah harus kembali ditelaah oleh generasi pewaris negara hari ini agar lebih menghargai suasana keharmonian kaum yang wujud, sekali gus memaksa semua pihak bertolak ansur dan berlapang dada antara satu sama lain.

Jika ditelusuri dan difahami faktor sejarah, dasar mempertahankan Islam sebagai agama rasmi sebagaimana terangkum di dalam perlembagaan berkait rapat dengan kontrak sosial atau kompromi politik yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan.

Persepakatan atau perjanjian antara kaum dan agama ini menetapkan bukan bumiputera yang layak akan diberi kewarganegaraan dan mereka bebas mengamalkan agama dan budaya mereka serta mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Pada masa yang sama syarat balas yang diterima ialah kaum bumiputera berhak mendapat beberapa pertimbangan istimewa dalam bidang pekerjaan, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi ialah bahasa Melayu, agama persekutuan adalah agama Islam dan institusi kesultanan dikekalkan.

Kesediaan kepemimpinan Melayu pada waktu itu menerima masyarakat majmuk sebagai teras pembentukan negara merdeka adalah pengorbanan yang cukup besar walaupun terpaksa mengetepikan impian pejuang nasionalis Melayu terdahulu untuk mewujudkan negara Melayu sejati.

Antara faktor terpenting yang mendasari perubahan sikap dan orientasi kepemimpinan Melayu pada waktu itu adalah sedikit sebanyak terkesan daripada nilai universal Islam yang menjadi tema perjuangan nasionalisme Melayu Islam pada ketika itu.

Islam sebagai sistem akidah dan falsafah hidup sememangnya menekankan prinsip keadilan dalam setiap perkara. Keadilan dalam Islam tidak pernah mendiskriminasi kaum mahupun masyarakat berlainan agama. Malah Islamlah satu-satunya agama yang merumuskan secara tuntas prinsip penerimaan terhadap golongan bukan Islam, asal saja mereka tidak memusuhi masyarakat Islam.

Sikap akomodatif Islam ini terungkai melalui firman Allah dalam surah al-Mumtahinah ayat 8 yang bermaksud; Allah tidak menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah itu kasihkan orang yang berlaku adil dan saksama.

Sejarah awal perkembangan Islam banyak mencoretkan fakta membuktikan betapa nilai akomodatif dan prinsip keadilan Islam inilah yang menjadi teras kekuatan tamadun Islam berabad lamanya. Malah penghayatan dan pemartabatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat menatijahkan suasana harmonis walaupun berlainan agama, bangsa, budaya dan pola pemikiran.

Ini dibuktikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. ketika membina dan mendirikan kerajaan Islam terawal di Madinah. Ketika itu, mengikut sesetengah riwayat, hanya ada beberapa ratus sahaja umat Islam, sedangkan penduduk Madinah dianggarkan sekitar 5,000 hingga 10,000 orang. Orang Yahudi pula dikatakan separuh daripada jumlah tersebut.

Dalam upaya Nabi Muhammad mewujudkan persefahaman antara pelbagai kelompok dalam masyarakat Madinah pada waktu itu, terbentuklah perlembagaan pertama yang dikenali sebagai Sahifah iaitu kanun tingkah laku atau piagam yang memperincikan hak dan kewajipan pemerintah dan rakyat. Catatan mengenai Perlembagaan ini banyak diterangkan oleh Ibn Ishaq, Abu Ubaid, Ibn Kathir, Ibn Abi Kyathaman dan lain-lain.

Menurut Ibn Ishaq, Perlembagan Madinah turut merangkumi asas hubungan dan penyatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar, termasuk juga beberapa fasal penting mengenai perjanjian dengan kaum Yahudi. Antara lain fasal mengenai jaminan agama dan harta serta peruntukan mengenai kewajipan masing-masing terhadap negara dan kaum lain.

Jumlah keseluruhan fasal yang terkandung di dalam Piagam Madinah ini adalah 47 fasal. Dua puluh empat daripadanya menyentuh peruntukan hak dan kewajipan orang Yahudi yang merupakan kelompok minoriti bukan Islam.

Perlembagaan pertama dalam sejarah peradaban Islam ini adalah manifestasi pendirian Islam berteraskan prinsip keadilan yang tercermin melalui sikap dan peribadi Rasulullah yang bersedia berunding dan menjamin hak masyarakat bukan Islam di Madinah berpandukan ayat 159 dari surah Ali-Imran; Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau bersikap lemah lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan sosial keduniaan itu.

Dasar akomodatif yang menerima dan menjamin hak masyarakat bukan Islam ini juga turut dipraktikkan dan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin Islam selepas Rasulullah. Sebagai contoh, Khalifah Umar pada tahun 638 Masihi telah membenarkan kaum Yahudi kembali ke bumi Palestin buat sekian kalinya setelah berabad lama dihalau, diseksa dan dipinggirkan oleh empayar Rom.

Begitu juga pada tahun 1099, apabila puak Kristian menawan Palestin, disebutkan oleh para sejarawan betapa bumi Palestin pada ketika itu senantiasa dibasahi darah orang yang tidak berdosa. Sebaliknya, apabila Salahuddin al-Ayubi berjaya menakluki kembali Palestin pada 1187, bukan sahaja kaum Yahudi sekali lagi terbela, malah rakyat beragama Kristian turut dijamin hak sebagai rakyat dan diberi kebebasan beragama dan berbudaya seperti kelompok masyarakat lain.

Pemerintahan Islam di Andalusia dari tahun 711 hinggalah kejatuhan Granada pada tahun 1492 turut digambarkan oleh sejarawan bukan Islam seperti Jeffrey Lee, sebagai zaman keemasan di mana masyarakat berbilang agama dapat hidup secara harmonis tanpa diskriminasi. Ini berbeza sama sekali apabila kerajaan Kristian Katolik mengambil alih di bawah pimpinan Raja Ferdinand dan Isabella yang bukan sahaja menghalau orang Islam dan Yahudi dari bumi Sepanyol malah turut membunuh mereka yang ingkar keluar.

Ini adalah sebahagian coretan sejarah yang membuktikan betapa percikan Islam yang terpancar melalui sikap dan tindakan masyarakat Islam yang mendukung prinsip keadilan untuk semua memungkinkan Islam tersebar luas dan diterima seantero dunia.

Sikap berlapang dada dan penuh hikmah berteraskan nilai Islam inilah yang turut mewarnai prinsip dan budaya kepimpinan Melayu Islam dari dulu hingga sekarang dan memungkinkan kerjasama kaum sejak merdeka lagi. Bahkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu Islam dalam menangani polemik perkauman dari semasa ke semasa telah menatijahkan suasana harmonis yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Justeru, untuk meneruskan kesinambungan persefahaman yang sedia terjalin di antara pelbagai kaum di Malaysia hari ini, sebarang unsur-unsur provokasi mahupun tuntutan tidak wajar yang membelakangi prinsip toleransi dan kesepakatan yang telah lama dipersetujui bersama haruslah dielakkan.

Ini pastilah memerlukan ketelusan dan ketulusan semua pihak bagi menjamin keharmonian masyarakat Malaysia terus terjana dan dipertahankan. Apa yang penting sebarang masalah haruslah ditangani secara hikmah, beradab dan tidak terlalu taksub meletakkan kepentingan kelompok melebihi kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya.

- Dr. asyraf wajdi DUSUKI ialah Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Saturday, January 28, 2006

Al-Fatihah untuk Safiqah Mohd. Borhan

Hari nie aku baru sampai ke rumah. Aku cuti sampai hari rabu nanti. Sepanjang perjalanan aku dari melaka sampai rumah, jalan sesak giler. Nasib baik ler aku tak kandas lama sangat kat highway tadi. Kalau tak, mau masak aku dalam kereta.

Baru tadi aku menonton Buletin TV3 jam 8, ada satu kes rogol dilaporkan berlaku di Bandar Baru Uda, Johor. Dalam kes nie, seorang pelajar tingkatan 3 dirogol dan dibunuh semasa menunggu bas untuk ke sekolah. Allahyarham dilaporkan hilang sejak hari rabu lepas dijumpai di dalam longkang oleh seorang pelajar sekolah.

Bila aku tengok berita nie, aku rasa benci betul kat perogol tuh. Dah takde keja lain ker nak wat sampai sangup buat benda terkutuk nie. Kalau dah sangap sangatpun, cariler mana2 "ayam". Nie budak sekolah juga yang jadi mangsa. Apa diorang nie takde kepala hotak ker. Kalau aku tahu sapa yang buat benda nie, aku belasah cukup2 sampai lumpuh.

Walaupun aku belum kawin, tapi aku tetap bimbang sebab aku takut perkara nie mungkin akan berlaku pada family aku terutamanya anak perempuan aku. Aku juga bimbang kalau2 awek dan juga x-awek aku kena macam nie. Kalau diorang kena, memang aku bersumpah akan mencari orang tuh.

Sama-samalah kita berdoa agar roh allahyarham Safiqah Mohd. Borhan dicucuri rahmat..Al fatihah.....

Pelajar hilang ditemui mati dipercayai dirogol

JOHOR BAHRU 27 Jan. - Seorang pelajar perempuan yang hilang semasa menunggu bas sejak dua hari lalu ditemui mati di dalam longkang dipercayai dirogol sebelum dibunuh di Bandar Baru Uda (BBU) di sini hari ini.

Mayat Safiqah Mohd. Borhan, 15, pelajar Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) ditemui di dalam longkang sedalam kira-kira dua meter di Jalan Padi Huma di sini oleh seorang pelajar sekolah kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Mangsa merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya dan pernah mendapat keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2003.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, seorang pelajar sekolah yang dalam perjalanan dari rumahnya ke sekolah berdekatan ternampak mayat mangsa berada di dalam longkang.
Beliau berkata, pelajar terbabit terus berlari ke sekolah dan memberitahu gurunya bahawa dia terlihat mayat di dalam longkang tersebut.

Menurut beliau, guru sekolah terbabit telah menghubungi polis bagi memaklumkan perkara itu dan pihak polis telah menghantar sepasukan anggota bagi menyiasat mayat tersebut.

``Siasatan awal mendapati terdapat kesan luka di kepala, lebam di leher dan lutut mangsa.

``Selain itu, mangsa yang masih lengkap berpakaian sekolah ditemui dalam keadaan kain terselak ke atas manakala seluar dalam terlucut ke bawah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rahim berkata, pihaknya juga turut menemui kesan seret di atas jalan berhampiran tempat kejadian.
Beliau memberitahu, dua hari lalu, mangsa sedang menunggu bas sekolah di jalan tersebut awal pagi selepas keluar dari rumahnya di Jalan Barli 2/3 di sini.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga petang pada hari tersebut, mangsa tidak pulang ke rumah dan menimbulkan keresahan ibu bapanya yang bimbang dengan keadaan keselamatan anaknya.

Tambahnya, berikutan itu bapa mangsa telah membuat laporan polis pada Rabu lalu berhubung kehilangan anak mereka.

Jelas Rahim, setakat ini pihaknya masih belum lagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan dipercayai ia dilakukan lebih daripada seorang.
Kata beliau, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian pelajar itu dan mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan bedah siasat akan dijalankan esok.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan terhadap kes itu.

Sementara itu seorang rakan mangsa, Fairuz Amalina Baharuddin berkata, Allahyarham Safiqah telah berjanji dengan kawannya untuk pergi bersama-sama ke sekolah dan bertemu di tempat kejadian kerana meraikan persaraan guru besar sekolah itu pada hari Rabu lalu.
Katanya, dia mengambil keputusan menaiki bas sekolah seorang diri selepas rakannya itu tidak muncul di tempat biasa.

Bagaimanapun tambahnya, dua hari sebelum kejadian itu, mangsa telah memberitahu kepadanya bahawa dia tidak mahu ke sekolah tanpa menyatakan sebarang alasan.
``Saya pun hairan mengapa Safiqah menghilangkan diri selama dua hari kerana Allahyarham merupakan rakan karib dan duduk di sebelah meja saya,'' katanya.

Wednesday, January 25, 2006

Hatiku Berbunga Cinta

Hari nie hari rabu. Dan hari ahad nie adalah Chinese Ney Year. Dan nak tau aku suka. Aku suka sebab hari sabtu nie aku balik umah lagik. Sebenarnya SEM2 nie dah masuk 3 minggu tapi kelas seminggu cuma 2 atau 3 kali jer hua hua hua. Sebabnya banyakkkk sangat cuti..Dan lepas cuti tahun baru cina nie, aku jamin dengan nyawa aku bahawa aku akan sibuk sesibuknya. Sibuk dengan projek, sibuk dengan kelas dan sibuk dengan kerenah pensyarah pensyarah yang x reti2 nak bagi hidup pelajarnya senang hek hek hek *teruk aku nie kan*

Monitor komputer aku kat umah membuatkan aku rasa nak campak je komputer tuh. Mula-mula monitor tuh akan terang but pastu gelap, gelap dan semakin gelap sampai hitam terus. Eeeeeeee aku rasa nak gigit gigit jer monitor tuh. Memang dah tahap kena buang dari langit ketujuh.

Sunday, January 08, 2006

Penyatuan umat di kota suci

KOTA suci Mekah sekali lagi menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Mereka tanpa mengira peringkat usia, bangsa, keturunan atau warna kulit adalah antara umat Islam yang bertuah kerana berjaya menjadi ‘tetamu Allah’ pada tahun ini.
Dengan jumlah jemaah yang dihadkan bagi setiap negara, mereka yang sedang berada di tanah suci ketika ini sememangnya amat bersyukur kerana hasrat mereka selama ini tercapai.

Kehadiran mereka juga dianggap sudah sampai waktunya kerana kadangkala mereka yang mempunyai wang, kesihatan yang baik dan pelbagai lagi belum pasti dapat ke sana.
Justeru, mereka patut bersyukur kerana sudah berada di negara kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Sejak awal bulan ini kira-kira 1.3 juta umat Islam berduyun-duyun ke kota suci itu dan menjelang hari ini jumlah tersebut meningkat kepada 2.5 juta. Jumlah tersebut termasuk anggaran 300,000 orang yang dipercayai menyusup ke Mekah tanpa visa atau permit.
Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan tidak mengeluarkan visa kepada mereka yang telah mengerjakan ibadat itu dalam tempoh lima tahun lalu.

Mereka datang dengan pelbagai cara – berjalan kaki atau menaiki kenderaan sama ada melalui jalan darat, laut atau udara. Ia selari dengan firman Allah dalam surah al-Hajj yang bermaksud: Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.

Dan hari ini 8 Januari bersamaan 8 Zulhijah, bermulalah perjalanan lima hari terpenting dalam mengerjakan ibadah itu. Mereka yang kebanyakannya sudah berada di Mekah sejak awal bulan ini akan melaksanakan Rukun Haji, ibadah yang menjadi Rukun Islam kelima itu. Mereka akan meninggalkan kota Mekah menuju Padang Arafah.

Dengan berpakaian ihram serba putih tanpa mengira lelaki atau wanita, mereka akan berada di sana bagi mengerjakan rukun yang amat penting atau kemuncak ibadah haji iaitu wukuf pada 9 Zulhijah. Arafah yang dulunya kering kontang dan kini dinaungi pokok sepanjang 10.4 kilometer persegi terletak kira-kira 22 kilometer dari Masjidilharam

Pada Selasa, 10 Zulhijah, para jemaah akan beredar meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah. Pada tarikh ini juga, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban. Mereka yang berkemampuan termasuk yang berada di luar kota suci Mekah akan melakukan ibadat korban dengan menyembelih binatang peliharaan yang ditetapkan untuk diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Di Muzdalifah, para jemaah akan berada di sana hingga tengah malam dan mengutip batu sebelum beredar menuju Mina untuk melontar jamrah, diikuti bercukur atau menggunting rambut bagi membolehkan mereka bertahalul awal.

Mereka akan berada di Mina selama tiga hari atau secepat-cepatnya dua hari untuk melontar jamrah yang ditentukan.

Kemudian para jemaah akan meninggalkan Mina menuju ke Mekah untuk menyempurnakan ibadat haji dengan mengerjakan tawaf dan sai.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pelbagai langkah keselamatan diambil oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan para jemaah dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.
Sebanyak 60,000 anggota pasukan keselamatan – jumlah paling besar ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau tragedi buruk yang sering berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahun ini tumpuan pasukan keselamatan diberikan kepada kemungkinan rempuhan hingga menyebabkan kematian, serangan kumpulan pengganas atau kemungkinan virus berbahaya tersebar.

Menurut pengarah Pusat Kawalan Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, Dr. Mohammed al-Harithy, tumpuan diberikan kepada jemaah haji dari beberapa negara termasuk Afrika, Mesir dan Yemen.

“Sebaik sahaja pesawat membawa jemaah dari negara terlibat mendarat, kami akan menghantar dua pegawai untuk membuat pemeriksaan. Pintu pesawat tidak akan dibuka selagi orang kami tidak datang,” katanya.

Turut diberi perhatian ialah kira-kira 4,500 jemaah dari Kyrgzstan yang diberi suntikan vaksin.

Pada tahun ini juga, pihak berkuasa Arab Saudi mengagihkan air zamzam (300 milimeter) kepada jemaah yang memasuki kota Mekah. Seramai 950 pekerja ditempatkan di Mekah dan Madinah yang bersedia mengagihkan air zamzam di dalam bas dan tempat penginapan jemaah.
Dan sebelum pulang setiap jemaah akan dibekalkan dengan 5.1 liter air zamzam setiap seorang.
Pihak berkenaan menjangkakan akan mengedarkan empat juta padu air zamzam kepada jemaah. Di samping itu sebanyak 8,000 kontena diletakkan di sekitar Masjidilharam bagi memudahkan para jemaah mendapatkan bekalan air. Secara keseluruhan terdapat 935 paip yang akan membekalkan air zamzam asli dan sejuk dengan anggaran tiga juta cawan diedarkan setiap hari.

Setiap jemaah dijangka meminum lebih 1,641 liter padu air sehari.

Di Mina pula, sebanyak 19,000 lori sampah dihantar bagi menampung keperluan.
Kehadiran jemaah haji juga memberi rahmat kepada para peniaga di sekitar Jeddah dan Mekah. Sebelum pulang tentunya para jemaah akan membeli sesuatu untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai di tanah air.

Maka inilah kesempatan kepada para peniaga untuk mengaut keuntungan kerana kebanyakan jemaah pastinya akan berbelanja.

Namun dalam kegembiraan menunaikan ibadah haji, banyak juga kisah duka yang menyelubungi kota suci itu setiap kali musim haji.

Walaupun kerajaan Arab Saudi menyediakan pelbagai kemudahan dan meningkatkan langkah keselamatan bagi menjamin keselesaan dan kebajikan para jemaah, beberapa kejadian yang tidak diingini tidak dapat dielakkan.
Sememangnya sejarah ibadat haji di Mekah sejak zaman awalnya sentiasa dilanda pelbagai peristiwa suka-duka.

Terbaru apabila sebuah bangunan empat tingkat runtuh mengorbankan 53 orang berhampiran Masjidilharam pada 5 Januari lalu. Dalam kejadian itu lima jemaah Malaysia cedera. Pada tahun-tahun sebelum ini, beberapa kejadian seperti terpijak dan kebakaran telah mengorbankan banyak jiwa.

Semuanya ini mungkin ujian Allah bagi melihat sejauh mana hamba-Nya tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Manusia hanya merancang, Allah yang tentukan.
Apa pun semoga jemaah haji kita yang dianggarkan seramai 26,000 orang dapat menunaikan haji dengan sempurna dan selamat kembali ke tanah air dengan membawa bersama haji mabrur.

Friday, January 06, 2006

Kerja PertamaKu

Saatku mencoret pada benda alah nie, aku dah ada kat umah. Dan bermakna aku sekarang sudah bercuti yeah! Tapi dah memang nasib agaknya, Baru first day datang kelas dah menanti kerja2 yang perlu dibereskan.

Dah sekarang SEM2 nie aku cam ambik dipl SENI. Kalau SEM1 ari tuh cam dipl MATEMATIK sebab hari-hari ada kelas mate. Dan ironinya kelas mate/kerja mate lagi banyak dari kelas/kerja multimedia. SEM2 niepun camtuh gak cuma bertukar subjek jerk. Dan kerja pertama aku ialah....cari makna, definisi, huraian dan gambar HARMONI yeah yeah.

Harmoni sungguh aku rasa. Lebih dari lepas terjun bangunan setinggi 110 tingkat rasanya. Bab tugas harmoni nie aku dah setle skit cuma tugas kedua ialah bab MELUKIS. Aku kalau melukis nie cam budak tadika 4 tahun. Entah apa-apa.

Belum campur lagi kelas animasi Kalau kelas animasi lagi banyak kerja. Kekadang aku rasa cam aku nie xkan lepas masuk SEM3 nanti :((

Balik bab kerja melukis tadi, kerja aku ialah melukis garisan. Dengar cam senang tapi bukan garisan bodoh2 tuh tapi garisan seni. Kalau sesaper yang dulu budak kelas seni, maka dia akan paham ler apa maksud garisan dalam seni.

Kalau kertas tuh kotor skit jer maka dengan bangganya En. Azmalnizam (lecturer aku yg mengajar klas komunikasi visual) akan mengoyakkannya. So korang leh paham ler apa yang aku akan rasa hari khamis nie. Dan aku tanpa was-wasnya akan mengelepar dalam kelas tuh nanti.

Sampai sini sajalah aku mengarut kat sini. Aku dah penat melukis tadi so aku online jap. And sekarang aku nak gi ZzzZZzz..

Babai...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...