Followers

Thursday, March 02, 2006

`Mencipta' semula masyarakat berintegriti

ADA sedikit perasaan khuatir apabila melihat gelagat anak muda zaman sekarang. Namun ada kalanya kita sendiri tidak pasti sama ada standard yang diletakkan itu terlalu tinggi atau sememangnya belia hari ini tidak begitu mengambil peduli tentang apa yang berlaku di sekitar mereka.

Kalau dilihat dari segi keputusan peperiksaan, hampir setiap tahun ia semakin baik. Jika di zaman penulis bersekolah dahulu yang mendapat 5A di peringkat ujian penilaian mungkin hanya 3 atau 4 orang di dalam kelas, itu pun hanya dalam kelas terbaik di seluruh sekolah.

Tetapi hari ini keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) melaporkan hampir seluruh kelas sesebuah sekolah mendapat 5A. Begitu juga dalam peperiksaan lain.
Bertuah

Kalau ini dijadikan kayu ukur, maka kita amat bertuah kerana negara telah berjaya melahirkan lebih ramai cerdik pandai dan diharapkan kecemerlangan akademik ini berterusan di peringkat universiti dan alam pekerjaan.

Tapi persoalannya adakah indikator ini memberi gambaran sebenar tahap kecerdikan remaja di negara kita atau ia hanya gambaran yang lahir disebabkan pembangunan dan pengaruh persekitaran?

Apabila diteliti dengan lebih mendalam kita akan melihat bahan-bahan teknologi serba canggih yang ada secara tidak langsung menjadi bahan sokongan pembelajaran multimedia yang wujud di negara kita hari ini.

Justeru, menjadi kebiasaan kepada remaja-remaja di kota terdedah kepada kafe siber, Astro, MTV, HBO yang akan menjadi lebih terkini kalau dibandingkan dengan rakan sebaya mereka yang tinggal di kampung-kampung.

Selebihnya, barangkali anggapan ini kurang tepat kerana rata-rata di kawasan luar bandar pun pengaruh dari Barat menular dengan hebatnya.
Lagu-lagu Britney Spears kedengaran di kawasan-kawasan pedalaman dan kampung-kampung terpencil.
Persoalannya pula, apakah sebenarnya ilmu yang dipelajari atau ilmu yang digemari oleh belia kita pada masa ini?

Kalau berdasarkan keputusan ujian-ujian Kementerian Pelajaran, kita mendapati ramai pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.
Kita turut berbangga dengan tahap pencapaian yang semakin baik setiap tahun.
Cuma kita kurang pasti kecemerlangan ini adalah disebabkan sistem pendidikan yang lebih baik atau soalan-soalan peperiksaan yang semakin mudah.

Namun agak benar juga dikatakan bahawa ada yang tidak kena dalam sistem pendidikan masyarakat kita hari ini.

Peratusan yang cemerlang dalam akademik sepatutnya juga memberi gambaran `kecemerlangan' dalam segala aspek kehidupan.

Mata pelajaran sivik atau moral mendidik pelajar dengan nilai-nilai murni. Subjek agama sudah pasti menentukan antara yang baik dan sebaliknya.
Guru-guru di sekolah sudah pasti mendidik dan membimbing pelajar untuk berjaya dalam kehidupan.

Ibu bapa di rumah juga sentiasa memperingati anak-anak supaya berkelakuan baik dan mematuhi guru-guru serta berlajar bersungguh-sungguh.
Soal nasib dan ketentuan Tuhan adalah satu lagi elemen yang perlu dilihat dalam menilai sejauh mana kejayaan seseorang itu bergantung kepada banyak mana ijazah yang diperolehnya.

Hari ini kita didedahkan lebih ramai penjenayah kolar putih yang ditahan dalam penjara.
Mengambil kira semua itu, ditambah pula dengan pengalaman peribadi ketika berinteraksi dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), suhu kekhuatiran penulis makin meningkat.

Pada masa ini ramai yang tahu bahawa George W. Bush adalah Presiden Amerika Syarikat (AS), tetapi ramai juga yang masih menjawab Bill Clinton.
Ketika ramai yang mengenali Presiden AS, tidak ramai yang tahu siapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Kebimbangan

Ini mungkin kekhuatiran sampingan penulis kerana kebimbangan ketara pada masa ini adalah apabila ditanya kepada pelajar IPT berkenaan sama ada mereka akan terlibat dengan rasuah, hampir 30 peratus menganggap bahawa memberi rasuah sudah menjadi sebahagian daripada norma kehidupan dalam negara kita.

Ramai yang beranggapan bahawa kalau mereka tidak ikut serta dengan aliran yang sedia ada, mereka akan ketinggalan dalam perniagaan.
Role model yang mereka lihat rata-rata adalah orang yang berbangga sambil menceritakan bagaimana mereka ini berjaya dengan `membeli' orang.

Dengan bangganya mereka ini menceritakan bagaimana `seseorang' itu dibayar untuk meluluskan sesuatu projek.
Soalnya sekarang, bagaimana kita hendak `mencipta' semula masyarakat kita supaya menjadi masyarakat berintegriti?

Adakah sistem pelajaran kita hanya baik untuk memperkenalkan huruf dan nombor tetapi gagal untuk mendidik manusia dengan nilai-nilai baik sejagat?

Atau mungkinkah kempen-kempen untuk mengajar dan mendidik nilai-nilai murni ini perlu mempelajari cara mana MTV berjaya mempengaruhi minda orang muda.

Sepuluh tahun lalu penulis pernah menulis dalam akhbar ini dan menyamakan MTV sebagai ``Empty-TV'' atau TV kosong yang tidak memberi faedah kepada masyarakat.
Hari ini mungkin penulis perlu berfikir semula, kerana kalau sekolah dan universiti gagal untuk melahirkan manusia yang takut kepada Tuhan, manusia yang tahu malu bila melakukan keburukan, dan manusia yang tahu menghormati manusia lain, maka kita mungkin harus meniru gaya Britney Spears untuk dapat berkomunikasi dengan remaja di negara kita secara lebih efektif.

Mungkin kita perlu `klonkan' Mawi dan hantar `klon' itu ke sekolah-sekolah untuk membudayakan integriti di kalangan para pelajar.

Di satu sisi, pandangan ini mungkin disifatkan sebagai cakap-cakap seorang yang merasa `letih' bila membaca laporan di dada akhbar tentang kes rasuah, samun, rogol, dera yang berleluasa.
Barangkali tidak lengkap rasanya akhbar harian kalau sehari tidak ada laporan tentang itu semua. Mungkin sebab itu juga tokoh wartawan, Tan Sri A. Samad Ismail merasa bosan membaca akhbar pada hari ini.

Negara Malaysia cukup bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin yang benar-benar prihatin untuk membudayakan integriti dalam masyarakat. Soalnya, adakah rakyat telah bersedia untuk menyahut seruan pemimpin kita ini dan bersama-sama memikul tanggungjawab sosial untuk mencipta semula masyarakat kita mengikut Pelan Integriti Nasional agar Malaysia melangkah ke hadapan demi mencapai cita-cita murni menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri.
Ini termasuk bebas daripada rasuah dan segala salah laku integriti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...