Followers

Sunday, January 08, 2006

Penyatuan umat di kota suci

KOTA suci Mekah sekali lagi menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Mereka tanpa mengira peringkat usia, bangsa, keturunan atau warna kulit adalah antara umat Islam yang bertuah kerana berjaya menjadi ‘tetamu Allah’ pada tahun ini.
Dengan jumlah jemaah yang dihadkan bagi setiap negara, mereka yang sedang berada di tanah suci ketika ini sememangnya amat bersyukur kerana hasrat mereka selama ini tercapai.

Kehadiran mereka juga dianggap sudah sampai waktunya kerana kadangkala mereka yang mempunyai wang, kesihatan yang baik dan pelbagai lagi belum pasti dapat ke sana.
Justeru, mereka patut bersyukur kerana sudah berada di negara kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Sejak awal bulan ini kira-kira 1.3 juta umat Islam berduyun-duyun ke kota suci itu dan menjelang hari ini jumlah tersebut meningkat kepada 2.5 juta. Jumlah tersebut termasuk anggaran 300,000 orang yang dipercayai menyusup ke Mekah tanpa visa atau permit.
Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan tidak mengeluarkan visa kepada mereka yang telah mengerjakan ibadat itu dalam tempoh lima tahun lalu.

Mereka datang dengan pelbagai cara – berjalan kaki atau menaiki kenderaan sama ada melalui jalan darat, laut atau udara. Ia selari dengan firman Allah dalam surah al-Hajj yang bermaksud: Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.

Dan hari ini 8 Januari bersamaan 8 Zulhijah, bermulalah perjalanan lima hari terpenting dalam mengerjakan ibadah itu. Mereka yang kebanyakannya sudah berada di Mekah sejak awal bulan ini akan melaksanakan Rukun Haji, ibadah yang menjadi Rukun Islam kelima itu. Mereka akan meninggalkan kota Mekah menuju Padang Arafah.

Dengan berpakaian ihram serba putih tanpa mengira lelaki atau wanita, mereka akan berada di sana bagi mengerjakan rukun yang amat penting atau kemuncak ibadah haji iaitu wukuf pada 9 Zulhijah. Arafah yang dulunya kering kontang dan kini dinaungi pokok sepanjang 10.4 kilometer persegi terletak kira-kira 22 kilometer dari Masjidilharam

Pada Selasa, 10 Zulhijah, para jemaah akan beredar meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah. Pada tarikh ini juga, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban. Mereka yang berkemampuan termasuk yang berada di luar kota suci Mekah akan melakukan ibadat korban dengan menyembelih binatang peliharaan yang ditetapkan untuk diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Di Muzdalifah, para jemaah akan berada di sana hingga tengah malam dan mengutip batu sebelum beredar menuju Mina untuk melontar jamrah, diikuti bercukur atau menggunting rambut bagi membolehkan mereka bertahalul awal.

Mereka akan berada di Mina selama tiga hari atau secepat-cepatnya dua hari untuk melontar jamrah yang ditentukan.

Kemudian para jemaah akan meninggalkan Mina menuju ke Mekah untuk menyempurnakan ibadat haji dengan mengerjakan tawaf dan sai.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pelbagai langkah keselamatan diambil oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan para jemaah dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.
Sebanyak 60,000 anggota pasukan keselamatan – jumlah paling besar ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau tragedi buruk yang sering berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahun ini tumpuan pasukan keselamatan diberikan kepada kemungkinan rempuhan hingga menyebabkan kematian, serangan kumpulan pengganas atau kemungkinan virus berbahaya tersebar.

Menurut pengarah Pusat Kawalan Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, Dr. Mohammed al-Harithy, tumpuan diberikan kepada jemaah haji dari beberapa negara termasuk Afrika, Mesir dan Yemen.

“Sebaik sahaja pesawat membawa jemaah dari negara terlibat mendarat, kami akan menghantar dua pegawai untuk membuat pemeriksaan. Pintu pesawat tidak akan dibuka selagi orang kami tidak datang,” katanya.

Turut diberi perhatian ialah kira-kira 4,500 jemaah dari Kyrgzstan yang diberi suntikan vaksin.

Pada tahun ini juga, pihak berkuasa Arab Saudi mengagihkan air zamzam (300 milimeter) kepada jemaah yang memasuki kota Mekah. Seramai 950 pekerja ditempatkan di Mekah dan Madinah yang bersedia mengagihkan air zamzam di dalam bas dan tempat penginapan jemaah.
Dan sebelum pulang setiap jemaah akan dibekalkan dengan 5.1 liter air zamzam setiap seorang.
Pihak berkenaan menjangkakan akan mengedarkan empat juta padu air zamzam kepada jemaah. Di samping itu sebanyak 8,000 kontena diletakkan di sekitar Masjidilharam bagi memudahkan para jemaah mendapatkan bekalan air. Secara keseluruhan terdapat 935 paip yang akan membekalkan air zamzam asli dan sejuk dengan anggaran tiga juta cawan diedarkan setiap hari.

Setiap jemaah dijangka meminum lebih 1,641 liter padu air sehari.

Di Mina pula, sebanyak 19,000 lori sampah dihantar bagi menampung keperluan.
Kehadiran jemaah haji juga memberi rahmat kepada para peniaga di sekitar Jeddah dan Mekah. Sebelum pulang tentunya para jemaah akan membeli sesuatu untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai di tanah air.

Maka inilah kesempatan kepada para peniaga untuk mengaut keuntungan kerana kebanyakan jemaah pastinya akan berbelanja.

Namun dalam kegembiraan menunaikan ibadah haji, banyak juga kisah duka yang menyelubungi kota suci itu setiap kali musim haji.

Walaupun kerajaan Arab Saudi menyediakan pelbagai kemudahan dan meningkatkan langkah keselamatan bagi menjamin keselesaan dan kebajikan para jemaah, beberapa kejadian yang tidak diingini tidak dapat dielakkan.
Sememangnya sejarah ibadat haji di Mekah sejak zaman awalnya sentiasa dilanda pelbagai peristiwa suka-duka.

Terbaru apabila sebuah bangunan empat tingkat runtuh mengorbankan 53 orang berhampiran Masjidilharam pada 5 Januari lalu. Dalam kejadian itu lima jemaah Malaysia cedera. Pada tahun-tahun sebelum ini, beberapa kejadian seperti terpijak dan kebakaran telah mengorbankan banyak jiwa.

Semuanya ini mungkin ujian Allah bagi melihat sejauh mana hamba-Nya tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Manusia hanya merancang, Allah yang tentukan.
Apa pun semoga jemaah haji kita yang dianggarkan seramai 26,000 orang dapat menunaikan haji dengan sempurna dan selamat kembali ke tanah air dengan membawa bersama haji mabrur.

1 comment:

Chika Chika said...

sgt pilu dgn kejadian jemaah haji tahun ni. Tapi syukur sbb mereka dpt mati dlm ibadah haji. Kan? ....

rindu masjidil haram...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...