Followers

Friday, April 29, 2005

Seruan kawal penyakit

Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-hamba-Nya di atas muka bumi ini. Akan tetapi kurniaan aneka nikmat tersebut tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun.
Antara kurniaan nikmat yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan. Dengan kesihatan ini, manusia dapat menjalani kehidupan dengan aman sentosa. Dengan kesihatan juga, manusia dapat melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar dan baik. Begitu juga dengan kesihatan yang menghiasi seseorang, dia dapat melakukan ibadah kepada Allah Taala dengan sempurna. Demikianlah tingginya nilai kesihatan yang mewarnai serinya kehidupan orang Islam.
Akan tetapi, ada manusia yang alpa dan leka dek kesihatan yang menyerikan hidupnya hinggakan dia tidak menghargai betapa mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupannya. Dia tidak sedar dan insaf betapa sihat itu juga sebahagian daripada detik kehidupan yang dia lalui.
Dalam hal ini, Rasulullah ada memberi peringatan tentang kesihatan ini di mana baginda bersabda yang bermaksud: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (Hadis riwayat Bukhari)
Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan apabila mereka ditimpa kesakitan atau ditimpa penyakit. Dalam keadaan ini, barulah mereka menginsafi betapa kesihatan amat penting agar aktiviti kehidupan mereka tidak tergendala.
Perlu diingat bahawa maksud kesihatan ini menurut perspektif Islam bukan hanya terhad kepada kesihatan lahiriah atau jasmaninya sahaja, malahan ia juga turut mencakupi kesihatan batin atau rohani.
Hakikat ini menepis sama sekali kesilapan persepsi umat Islam yang hanya menekankan kepada kesihatan jasmani semata-mata dengan mengabaikan aspek kerohanian yang amat penting dalam menentukan kesudahan nasib setiap umat Islam.
Begitu juga, Islam menolak pandangan sebahagian umat Islam yang hanya menitikberatkan kesihatan rohaninya sahaja tanpa mengambil berat akan aspek kesihatan jasmani. Justeru itu, Islam adalah addin yang seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi.
Kalaulah begini kepentingan kesihatan dalam kehidupan orang Islam, maka kita melihat betapa Islam dari awal-awal lagi telah memberi perhatian yang serius dalam isu kesihatan ini. Jika diperhatikan secara halus, kita dapati Islam menyediakan garis panduan yang lengkap kepada umatnya tentang kesihatan dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya.
Sehubungan dalam hal ini, apabila kita cuba membelek-belek kitab fikah sebagai contoh, maka kita akan menemui bab yang pertama ialah berkaitan tentang Taharah iaitu kesucian. Dalam bab ini, Islam telah mensyariatkan kepada setiap umat agar mengambil wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu dan sebagainya. Begitu juga disyariatkan mandi untuk kebersihan diri dan juga bersugi untuk kebersihan gigi.
Ini bermakna bahawa kebersihan dan kesucian diri adalah asas yang penting ke arah kesihatan jasmaninya. Bahkan kebersihan dan kesucian diri ini juga adalah antara sifat-sifat utama bagi orang yang bertakwa dan juga layak mendapat mahabbah iaitu kasih sayang Ilahi.
Seterusnya, Islam terus menunjukkan keprihatinannya dalam hal kesihatan ini dengan memberikan panduan dan petua ke arah penjagaan kesihatan yang berterusan. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: Lima amalan ini daripada fitrah iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku. (Hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga apabila kita hendak menghadap hidangan makanan, maka Islam menganjurkan kita membersihkan tangan terlebih dahulu.
Di samping itu, Islam juga menggalakkan kita agar melakukan aktiviti-aktiviti kecergasan badan seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti ini hendaklah disesuaikan dengan peredaran dan keadaan masa kini berdasarkan kemampuan yang sedia ada pada setiap individu seperti bersenam, berjoging, bermain bola sepak, mendaki bukit dan sebagainya. Yang pentingnya, kita dapat mengembalikan kecergasan tubuh badan di samping dapat mengekalkan kesihatan pada setiap masa.
Selain itu, Islam telah mengharamkan beberapa jenis makanan yang perlu dijauhi seperti arak, dadah, bangkai dan lain-lain lagi. Ini penting kerana Allah Maha Mengetahui betapa makanan tersebut membawa lebih banyak kemudaratan kepada manusia berbanding dengan manfaat yang sedikit.
Oleh sebab itulah, Allah Taala mengharamkan makanan tersebut bagi kebaikan dan kesihatan manusia itu sendiri. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Segala perkara yang terkandung dalam tegahan-tegahan tersebut ialah perkara-perkara yang menjadi punca bagi penyebaran penyakit-penyakit di kalangan orang Islam kerana orang awam selalu mengabaikannya dalam kehidupan mereka seharian.
Oleh itu Islam telah menggariskan kaedah-kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk sesuatu tempat iaitu bila berlaku satu-satu wabak penyakit yang berjangkit di satu-satu tempat, maka penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan masuk dengan maksud supaya wabak tersebut tidak merebak ke kawasan yang lebih besar.
Dalam hal ini, Rasulullah telah bersabda maksudnya: Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar darinya. (Hadis riwayat Bukhari)
Di samping itu, Islam menggalakkan umatnya di tempat yang terkena wabak itu agar terus tinggal di tempat tersebut kerana menjadi kebiasaan kepada kebanyakan orang untuk menyelamatkan diri dan juga melarikan diri dari tempat tersebut. Akibat dari tindakan mereka itu biarpun untuk kepentingan diri sendiri, namun ia membawa bala bencana kepada seluruh negara dan umat lain.
Mungkin ada orang yang nekad hendak memasuki negeri-negeri yang ditimpa wabak berjangkit dengan hujah, takutkan penyakit merupakan tanda kelemahan iman atau lari daripada takdir. Padahal tindakan dan fahaman seumpama ini adalah salah menurut perspektif Islam.
Pernah tercatat dalam sejarah Islam bahawa Sayidina Umar al-Khattab menolak pemergiannya ke negeri Syam tatkala berlakunya wabak taun di sana. Lalu ada orang berkata kepadanya: ``Adakah tuan hendak lari dari takdir Tuhan?'' Ujar Sayidina Umar: ``Kita lari dari takdir Tuhan kepada takdir Tuhan.''
Jelas daripada kisah di atas bahawa berikhtiar, bertawakal dan berusaha dengan menggunakan sebab-sebab itu adalah suatu perkara yang dituntut Islam. Apa yang telah dinyatakan dan dilakukan oleh Sayidina Umar termasuk dalam pengertian takdir.
Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari tempat penyakit berjangkit menular. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda maksudnya: Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat. (Hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah antara garis panduan Islam yang serba lengkap berkenaan kesihatan dari sudut penjagaan, pengekalan dan pengawalannya serta kepentingannya dalam hubungan seseorang Islam terhadap Allah Taala dan hubungan seseorang Islam sesama seagama

Friday, April 22, 2005

Roti beras - Pilihan terkini rakyat Jepun

Nasi kini bukan lagi makanan utama apabila orang Jepun bertukar selera dan memilih untuk memakan roti sebagai santapan harian mereka.
Perkembangan tersebut sudah tentu membimbangkan kerajaan kerana ia akan memberi kesan kepada penanam padi di negara matahari terbit itu.
Seorang pembuat roti, Koichi Fukumori yang menyedari kemelut tersebut berusaha mencari jalan penyelesaian. Usaha beliau untuk mengatasi masalah penurunan permintaan terhadap beras kini membuahkan hasil.
Fukumori berjaya menghasilkan sejenis roti yang dibuat daripada beras.
Tentu tidak ada siapa menduga apabila roti panjang yang kelihatan rangup, begitu menarik dan menyelerakan itu sebenarnya mempunyai perbezaan berbanding kebanyakan jenis roti lain yang menarik peminat makanan ini di Jepun ketika ini.
Menurut Fukumori, lebih 80 peratus daripada bahan roti ciptaannya itu berasaskan beras. Kejayaan tersebut pastinya melegakan para petani dan pihak berkuasa di Jepun.
``Inilah saja cara untuk menyelamatkan beras petani,'' kata Fukumori.
Jika berkunjung ke kedai roti milik Fukumori, Aoimugi (Gandum Hijau), terdapat pelbagai jenis roti berasaskan beras dijual untuk menjadi pilihan para pelanggan.
Roti beras juga menjadikan kedai ini begitu unik berbanding kedai lain. Kedai yang dibuka di taman tema roti di salah sebuah kompleks beli-belah terbesar di Jepun, LaLaport di Funabishi berhampiran Tokyo sangat mencuri tumpuan pelanggan.
Kejayaan Fukumori menghasilkan roti beras merupakan satu contoh kejayaan dan kesungguhan beliau yang tidak jemu-jemu mencuba selama lebih empat tahun.
Beliau yang belajar membuat roti dengan pembuat roti terkenal Perancis, Raymond Calvel telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian Jepun.
``Saya membesar di kalangan penanam padi. Saya fikir membuat roti dengan beras dapat membantu mereka,'' katanya.
Hasil
Kejayaan itu semakin menampakkan hasil yang sangat memberangsangkan apabila lebih 70 buah sekolah di barat Jepun telah memperkenalkan roti beras yang mengandungi `gluten' gandum.
``Jika roti beras menjadi bahan makanan di sekolah-sekolah, ia dapat membantu para petani untuk jangka masa panjang.
``Yang lebih penting ialah anak-anak mendapat makanan yang diperbuat daripada beras tempatan,'' jelasnya.
Malah sebenarnya kejayaan membuat roti beras telah memberikan nilai tambah kepada industri beras berikutan penggunaan bahan ini secara optimum.
Roti tersebut tidak menggunakan beras premium, sebaliknya beras hancur yang biasanya dibuang begitu sahaja sebelum ini.
Taman tema ini juga signifikan kepada perkembangan industri makanan dan nasib beras yang semakin kurang mendapat sambutan, ketika ini.
Dikenali dengan Tokyo Panya Street, taman tema ini menghimpunkan lapan kedai roti popular yang dikendalikan oleh sekumpulan individu ternama dalam mencipta dan membuat roti sehingga digelar `super boulongers.'
Para pelanggan dan mengunjung ke taman tema ini berpeluang menikmati roti yang dihidangkan terus dari ketuhar.
Pemilik taman tema ini, Namco Entertainment Group mempunyai wawasan untuk menjadikannya sebagai `sebuah bandar Eropah Utara dalam suasana kampung' dengan mendirikan kincir air yang berputar selain bunyi kicauan burung sebagai halwa telinga.
Pembukaan taman tema ini juga memberikan gambaran bagaimana berkembangnya taman tema makanan di Jepun yang menawarkan pelbagai jenis makanan di seluruh dunia kepada para pengunjungnya.
``Semua orang suka makan. Seorang ketua di sesebuah syarikat tentu sukar untuk mengajak orang bawahnya datang ke Disneyland, tetapi lebih mudah untuk datang ke taman ini beramai-ramai,'' jelas seorang pegawai Namco.
Keperluan
Sesetengah pelanggan yang datang ke Tokyo Panya Street berkata, roti memberikan lebih keperluan pemakanan berbanding nasi.
``Saya tidak mempunyai simpanan beras di rumah dan sudah membuang periuk nasi saya.
``Roti amat mudah. Anda hanya perlu melangkah masuk ke kedai roti dan memilih pelbagai jenis roti yang disukai, sedangkan kita hanya mendapat nasi yang sama setiap kali hendak makan,'' kata Masako Watanabe yang mengetuai kumpulan 3,000 pencinta roti.
Perangkaan oleh Kementerian Pertanian mendapati purata rakyat negara matahari terbit itu hanya memakan 59.5 kilogram beras bagi tahun yang berakhir Mac 2004.
Ia merupakan paras terendah dicatatkan, iaitu di bawah 60 kilogram memandangkan pada puncak penggunaannya pada Mac 1963, rakyat negara itu mengambil 110 kilogram beras setahun.
Perbelanjaan sekeluarga penduduk negara itu untuk membeli roti pula meningkat dari RM1,010.8 pada 2004 berbanding RM751 pada tahun 1981 dan belanja untuk beras turun kepada RM1,289 berbanding RM2,728 setahun.
Bagi melindungi industri beras, kerajaan menyediakan subsidi yang banyak selain berusaha mencari inisiatif lain untuk menggalakkan penggunaan beras seperti yang dilakukan oleh Fukumori.

Friday, April 15, 2005

Jelaskan kepada kaum Cina

Apabila membicarakan soal Islam Hadhari, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan sejauh mana penerimaan masyarakat Cina di negara ini. Islam Hadhari akan menemui kebuntuan sekiranya kita gagal menterjemahkan atau memberikan kefahaman mengenainya kepada orang bukan Islam khasnya masyarakat Cina.
Agama Islam bukanlah sesuatu yang baru kepada orang Cina. Kaitan antara agama Islam dan orang Cina amat rapat. Menurut Morris Rossabi, Islam telah sampai ke China beberapa dekad selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Begitu juga dengan pengaruh Islam yang dibawa oleh Cheng Ho sehingga kini masih bertapak dalam hati masyarakat Cina. Cheng Ho adalah seorang sida istana Dinasti Ming, juga seorang ahli pelayaran yang mahir dan panglima yang cekap. Menurut Victor Purcell, pelayarannya yang pertama adalah di Malaysia dan Indonesia dalam melebarkan lagi kekuasaan China ketika itu. Beliau dikatakan telah tiba di Melaka dalam tahun 1408.
Beliau juga dikenali sebagai Sam-po-Kong. Sehingga ke hari ini Cheng Ho masih disembah oleh kebanyakan masyarakat Cina. Di Penang, terdapat patung Sam-po-Kong yang diukirkan khas menjadi penyembahan masyarakat Cina. Ini bererti bahawa pengaruh Islam kepada masyarakat Cina telah lama bertapak. Malangnya, ketokohan Cheng Ho ini tidak diuar-uarkan oleh orang Islam sendiri.
Sebaliknya, pengkaji-pengkaji Cina bukan Islam lebih berminat membuat kajian tentang Cheng Ho tanpa mengaitkan sumbangan Islam yang telah dilakukannya.
Akibatnya, Islam tidak bertapak di hati masyarakat Cina. Persepsi mereka terhadap Islam juga tidak melihat dalam konteks suatu yang positif.
Dalam memahami masyarakat Cina, kita perlu mengetahui bahawa mereka adalah masyarakat yang bertamadun.
Tamadun mereka yang telah bertapak lebih daripada 4,000 tahun dahulu atau 2,000 Sebelum Masihi.
Pengaruh peradaban dan ketamadunan ini telah bertapak dalam hati masyarakat Cina sejak turun-temurun. Orang Cina memang bangga dengan tamadun mereka. Namun, walaupun China kaya dengan sejarah Islamnya, sehingga hari ini ia masih disalahfahamkan.
Sebab itu, kita dapati amat sukar untuk orang Cina menerima hakikat jika anaknya mengambil keputusan memeluk Islam berbanding memeluk agama lain. Menurut Lee Kam Hing dan Tan Chee-Beng, memeluk Islam bermakna telah dimelayukan, makna tiada lagi identiti kecinaan.
Inilah proses sosialisasi politik yang telah berlaku sekian lama dan agak kurang langkah diambil untuk memperbetulkan salah faham ini. Hasilnya, tidak sampai satu peratus orang Cina memeluk Islam di Malaysia. Yang jelas, prejudis pula semakin menebal.
Negatif
Lebih malang lagi, Islam selalu digambarkan dalam media massa sebagai agama yang negatif, mundur, menentang perubahan dan pemodenan. Memburukkan lagi keadaan dengan tindakan segelintir badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu Islam yang sengaja memutarbelitkan ajaran sehingga menyebabkan agama ini disalahfahamkan oleh bukan Islam.
Misalnya, isu serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas sebuah kelab malam di ibu negara. Adakah tindakan itu betul atau tidak? Kenapa ramai sangat yang menentang tindakan amar makruf nahi mungkar ini, sedangkan ia adalah isu semua agama?
Begitu juga isu samak yang tidak ditangani dengan betul. Peristiwa menyamak salah sebuah restoran di Kuala Lumpur dengan menggunakan air lumpur pekat adalah sesuatu yang amat merugikan dakwah dan imej Islam di negara kita. Sedangkan banyak pendekatan berhikmah boleh diambil dengan mengambil kira pandangan mazhab lain.
Pendek kata, apabila persepsi ini telah bertapak dalam sanubari masyarakat Cina, akhirnya sesuatu perkara yang baik dalam Islam yang ingin disampaikan kepada mereka - tidak kesampaian.
Masyarakat Cina tidak boleh disalahkan apabila timbul kekeliruan ini kerana di kalangan orang Islam sendiri, terlampau banyak kekeliruan yang didedahkan.
Dalam konteks politik, Pas secara terang menolak konsep Negara Islam dan Islam Hadhari yang diutarakan oleh UMNO. Keadaan ini memburukkan lagi imej Islam pada kaca mata orang Cina.
Islam manakah yang betul dan perlu diikuti?
Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Islam Hadhari bukanlah program untuk memujuk orang bukan Islam supaya menerima dasar tersebut. Ataupun mahu menunjukkan bahawa agama Islam lebih baik dan mesra, tetapi sebenarnya Islam adalah agama yang memang sesuai dengan peredaran zaman. Islam Hadhari adalah sebagai satu cara untuk kerajaan mentadbir negara demi kepentingan dan kebaikan masyarakat berbilang kaum.
Perlu ditegaskan bahawa 10 perkara Islam Hadhari bukan suatu perkara yang baru. Ini kerana semua nilai yang digariskan itu adalah prinsip umum yang terdapat dalam agama-agama lain juga. Oleh kerana masyarakat Cina percaya kepada ajaran Confucius, Buddha dan Toisme, maka pendekatan ini boleh digunakan dalam mengukur kepercayaan Cina terhadap agama mereka.
Pada keseluruhannya, kesemua perkara ini disentuh oleh Confucius dan Buddha. Ini bermakna bahawa prinsip-prinsip Islam Hadhari ini bukanlah suatu yang asing kepada masyarakat Cina. Tetapi penerangan perlu dibuat dalam memberikan kefahaman kepada mereka bahawa apa yang ingin dilaksanakan adalah nilai-nilai yang dikongsi bersama, bukan hanya terhad kepada orang Islam sahaja.
Berdasarkan soal selidik dan responden yang ditemui (dalam kajian penulis bagi penyelidikan peringkat Doktor Falsafah), kebanyakannya bersetuju bahawa 10 prinsip tersebut adalah nilai bersama dalam semua agama. Cuma sejauh manakah pelaksanaannya, itu yang masih dipertikaikan.
Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa 10 Prinsip Islam Hadhari relevan dan sesuai untuk semua golongan masyarakat dan bukannya untuk orang Islam sahaja bagi memacu kejayaan rakyat dan negara.
Beliau sendiri telah menerangkan kepada pimpinan MCA dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menerima konsep tersebut.
Sejagat
Jelas, 10 perkara banyak diperkatakan oleh orang Cina apabila membincangkan soal tiga kuasa sejagat (sancai) iaitu: tian (syurga), di (bumi) dan ren (manusia). Ini bukan bermakna penulis hendak mengatakan kerajaan mengambil 10 prinsip ini daripada ajaran Confucius atau Buddha, tetapi apa yang ingin diketengahkan ialah nilai-nilai ini adalah nilai universal yang boleh dikongsi oleh segenap lapisan kaum di negara kita.
Dengan sebab itu, agenda atau program kerja Islam Hadhari sebenarnya bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi sasaran hendaklah sampai kepada orang bukan Islam terutamanya masyarakat Cina dalam mengubah persepsi mereka.
Mereka perlu disedarkan akan kepentingan hidup di bawah naungan Tuhan seperti yang banyak disebut oleh Confucius dan Buddha. Inilah hasil analisis soal selidik yang dijawab oleh responden. Islam Hadhari perlu menyedarkan mereka bahawa manusia perlu kembali kepada hidup beragama kerana itulah asas kejadiannya.
Ini bermakna segala perkara yang bertentangan dengan agama hendaklah didukungi secara bersama walaupun ia mungkin bertentangan dengan sistem demokrasi. Jangan biarkan demokrasi menghancurkan hidup beragama. Keruntuhan telah jelas berlaku dalam masyarakat Barat.
Justeru, sekiranya Islam Hadhari itu hendak juga dirujuk kepada istilah masyarakat madani yang juga merujuk kepada masyarakat bertamadun, maka mahu tidak mahu asas kasih sayang, saling hormat-menghormati, memang tidak boleh dielakkan. Justeru, umat Islam perlu menciptakan semula kegemilangan dengan mengetepikan fahaman politik.
Jika benar 10 prinsip Islam Hadhari mahu dilaksanakan berlandaskan kepada maqasid syariah, maka sudah tiba masanya umat Islam perlu mencipta kegemilangan tersebut. Kalau orang bukan Islam boleh menerima kesemua prinsip Islam Hadhari itu, kenapa kita sebagai umat Islam masih mempertikaikannya?
Mengambil kata-kata Prof. Khoo Kay Kim, yang mengatakan bahawa rata-rata masyarakat tidak faham konsep Islam Hadhari, apatah lagi orang bukan Islam. Sebab tidak ada penerangan bersungguh-sungguh yang dibuat. Orang bukan Islam hanya memahami beberapa perkara umum sahaja seperti tidak boleh minum arak, tidak boleh makan babi, sehingga perkataan babi pun takut digunakan dan digantikan dengan perkataan khinzir.
Bagaimanakah hendak melaksanakan Islam Hadhari, sekiranya orang bukan Islam tidak faham pengertiannya? Islam Hadhari hanya difahami dengan lebih lanjut setelah mereka sendiri mengikuti seminar yang dianjurkan oleh kerajaan dan NGO.
Kesempatan perlu digunakan sepenuhnya untuk mengubah persepsi ini melalui usaha-usaha serius yang perlu dipergiatkan terutama dalam media massa dan elektronik dalam pelbagai bahasa dan cara.

Cara Iran tangani penagihan dadah

Setelah sekian lama cuba menangani masalah penagihan dadah dengan pendekatan pemulihan, kini ada pendekatan harm reduction (pengurangan bahaya). Pendekatan yang agak baru bagi Malaysia ini telah lama digunakan di negara-negara lain.
Apa itu harm reduction? Secara mudah, ia merujuk kepada semua usaha untuk mengurangkan bahaya atau risiko. Dari segi ini, memakai tali pinggang keledar juga adalah satu bentuk pengurangan bahaya.
Pada 20 - 24 Mac lalu, berlangsung The 16th International Conference on the Reduction of Drug Related Harm di Belfast, Ireland Utara. Penulis berkesempatan menghadirinya dengan penajaan dari Majlis AIDS Malaysia. Persidangan ini disertai oleh hampir semua negara di dunia, termasuklah negara-negara Islam yang telah melaksanakan pendekatan ini. Salah satu negara yang dianggap berjaya ialah Iran.
Penglibatan Iran dalam pengurangan bahaya ini masih baru iaitu lebih kurang dua tahun, Walaupun begitu, kejayaan yang dicapainya amat memberangsangkan sehingga penganjur persidangan mengkhususkan satu sesi perbincangan untuk memperkatakan tentang pengalaman Iran dalam konsep pengurangan bahaya. Pada sesi tersebut, tujuh orang wakil Iran membentangkan pengalaman masing-masing.
Dengan jumlah penduduk seramai 68 juta orang, 3.7 juta daripadanya ialah penagih dadah dan 2.5 juta daripada jumlah itu merupakan penagih yang bermasalah. Mereka melaporkan bahawa kadar pertambahan penagih dadah di negara tersebut ialah lapan peratus setahun - tiga kali ganda lebih besar daripada kadar pertumbuhan penduduknya.
Menurut Mohsen Vazirian terdapat 9,800 kes HIV/AIDS di sana dan 95 peratus ialah lelaki. Kira-kira 51 peratus dari angka ini merupakan penagih dadah yang menyuntik dadah ke badan mereka. Namun, wakil Kementerian Kesihatan ini berpendapat angka sebenar penghidap HIV/AIDS di Iran ialah antara 30 - 40 ribu orang.
Pada tahun 1997 pindaan telah dilakukan terhadap Undang-Undang Kawalan Dadah di Iran dan natijahnya, para penagih yang sedang mendapatkan rawatan tidak lagi ditangkap. Ini telah mengurangkan bilangan banduan dalam penjara mereka. Pada tahun 2004, lebih daripada 120,000 orang penagih mendapatkan rawatan di klinik-klinik tetapi kebanyakannya mengamalkan pendekatan abstinent (menjauhi dadah). Namun, kaedah ini didapati tidak berkesan dan kerana itulah pendekatan pengurangan bahaya menjadi fokus mereka kini.
Mereka juga telah membuat kajian mengenai sikap masyarakat terhadap program ini. Kesannya didapati 45 peratus masyarakat umum merasakan program ini berkesan dalam menangani masalah dadah di negara tersebut. Kajian yang sama mendapati bahawa sikap masyarakat bergantung kepada tahap pendidikan mereka. Lebih tinggi ilmu seseorang itu, lebih positif sikapnya terhadap pengurangan bahaya.
Melalui Needle and Syringe Programme, jarum dan alat suntikan dibekalkan kepada penagih bagi mengelakkan mereka mengguna semula jarum serta bahan suntikan terpakai. Walaupun program ini menimbulkan banyak kontroversi - malah di negara bukan Islam pun - Iran tetap melaksanakannya dengan sokongan para ulama mereka.
Mereka juga ada Methadone Maintenance Programme. Dalam program ini, klinik-klinik khusus didirikan dan para penagih akan berkunjung ke klinik-klinik ini pada setiap hari untuk mendapatkan satu dos methadone secara oral. Dari sebuah klinik pada tahun 2002, kini mereka mempunyai 18 klinik seumpama ini dengan 2,500 orang `pesakit'.
Para pemimpin agama di Iran menerima dan menyokong pendekatan pengurangan bahaya ini. Bagi mereka, masalah penagih adalah masalah yang berkait dengan kesihatan. Maka, mereka serahkan kepada kebijaksanaan para doktor untuk `menyembuhkan' para penagih itu. Mereka berpegang kepada dua prinsip Islam iaitu `Jangan memudaratkan diri dan jangan memudaratkan orang lain' dan `Bertoleransi dengan darar kecil bagi mengelakkan darar yang lebih besar'.
Dalam kes penagih dadah, jika mereka telah memudaratkan diri, janganlah pula memudaratkan orang lain. Begitu juga, methadone dilihat sebagai darar kecil bagi mengelakkan darar yang lebih besar (virus HIV/AIDS).
Umum maklum bahawa bilangan penagih dadah di Malaysia juga begitu tinggi. Majoriti mereka juga mengambil dadah secara suntikan. Inilah yang menyumbang kepada sebahagian besar angka pesakit HIV/AIDS di negara kita. Apakah kita masih akan terus berharap kepada pendekatan pemulihan yang memakan belanja yang besar tetapi keberkesanan yang begitu kecil sekali? Atau kita mahu mengikut jejak langkah Iran dengan menggunakan pendekatan pengurangan bahaya dalam menangani masalah ini?
Pengalaman negara-negara yang melaksanakannya mendapati bahawa methodone lebih produktif. Bayangkan kesan pendekatan ini kepada produktiviti negara kita bila para penagih tidak perlu berkurung di Pusat Serenti atau di penjara. Bayangkan kesannya kepada kadar jenayah curi di negara ini. Bayangkan kesannya kepada bilangan penghuni penjara kita. Mungkin juga pendekatan ini akan dapat mengurangkan kos memulihkan seorang penagih yang sekarang ini memakan belanja lebih RM3,000 setahun

Friday, April 01, 2005

Kedudukan akhlak dalam pengukuhan budaya

SALAH satu prinsip ketamadunan ialah wujudnya keutuhan budaya serta ketinggian akhlak sebagai identiti bangsa dan negara. Dalam usaha meningkatkan kemajuan negara, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai akhlak yang kukuh, murni dan luhur.
Penghayatan nilai-nilai akhlak yang tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga menjadikan bangsa itu terhormat lagi disegani.
Sejarah mencatatkan kecemerlangan tamadun Andalusia kerana meletakkan prinsip-prinsip akhlak dalam setiap bidang kehidupan yang merangkumi perundangan, kesenian, sastera selain budaya serta ekonomi dan politik.
Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti, sekali gus menyumbang ke arah kebudayaan tinggi dan cemerlang.
Peradaban Islam telah mewariskan banyak peninggalan yang seharusnya dikagumi dan menjadikannya sebagai satu-satunya peradaban yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dengan demikian, kemajuan ekonomi dan teknologi akan berjalan seiring dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia kini merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.
Membiarkan masalah moral bermaharajalela secara tidak langsung mendekatkan kepada kehancuran sesuatu umat.
Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Rom yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat kepincangan moral yang berjangkit dalam masyarakat.
Tidak berbeza dengan tamadun Barat hari ini yang meletakkan kepentingan kebendaan dan duniawi semata-mata sebagai arah tuju hidup.
Realiti ini telah menyedarkan mereka betapa penting agama dalam menyelesaikan masalah moral yang mereka alami.
Para ulama berpendapat bahawa akhlak luhur itu merupakan pokok kepada segala kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana terangkum dalam doa Nabi s.a.w: Ya Allah, perbaiki agamaku yang menjadi pelindung urusanku, perbaiki duniaku yang menjadi tempat hidupku dan perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tempatku untuk memperbanyakkan kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai tempatku beristirehat daripada segala keburukan.
Al-Quran dan hadis juga meletakkan akhlak luhur sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf.
Di samping itu, sunnah juga membawa saranan agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa sahaja tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang.
Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh. (Al-A'raf ayat 199).
Akhlak Islam adalah akhlak yang komprehensif; mencakupi akhlak ilmiah, individu, keluarga, sosial, politik dan ekonomi.
Akhlak ilmiah bermaksud tunduk kepada kebenaran, berlaku adil kepada orang lain, membebaskan diri daripada taklid dan unsur fanatik serta mencari hikmah di mana sahaja yang boleh didapati.
Akhlak individu pula merangkumi sifat malu dan rendah diri, menghargai masa serta sabar dalam pelbagai cubaan.
Tetapi akhlak keluarga lebih bersifat kecintaan antara suami dan isteri, saling memahami, kasih sayang kepada anak-anak, berbakti kepada orang tua dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Akhlak sosial dapat dijelaskan melalui pengamalan sifat-sifat jujur, amanah, adil dan ihsan. Akhlak politik pula lebih menjurus kepada menyampaikan kebenaran kepada penguasa yang zalim, musyawarah, menghormati pendapat kawan dan lawan, melindungi hak-hak manusia, bersikap toleransi terhadap pihak-pihak yang berbeza pendapat dan menghidupkan roh jihad dalam mempertahankan kemuliaan umat.
Sementara itu, dalam membicarakan akhlak ekonomi, manusia seharusnya memakmurkan bumi, menghidup dan menyuburkan tanah-tanah gersang, melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perniagaan, menghindari riba, tidak bermewah-mewah, serakah mengumpulkan harta atau melakukan pengkhianatan.
Sangat jelas bahawa akhlak Islam itu mencakupi seluruh kehidupan.
Akhlak dalam Islam lebih bersifat sejagat kerana tidak terbatas kepada individu Islam sahaja tanpa melibatkan golongan bukan Islam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...