Followers

Thursday, June 30, 2005

Menyahtoksik secara semula jadi

SERING berasa lesu?.Kerap dijangkiti selesema dan demam?.Mempunyai jerawat dan akne?.Menghadapi masalah kembung perut dan sembelit?
Ini mungkin menunjukkan bahawa anda perlu menyahtoksik dan membersihkan sistem perkumuhan dalam badan anda.

Hati (hepar) ialah organ penyahtoksikan yang utama. Bahan buangan juga disingkirkan melalui buah pinggang, kulit, najis dan paru-paru.
Jika toksin yang berlebihan terkumpul dalam badan kita, sistem penyahtoksikan badan akan terjejas.

Sumber toksin termasuklah racun perosak, bahan tambah makanan, sisa bahan cemar pertanian dalam daging, tanaman, hasil tenusu, kehadiran logam berat dalam ikan dan air.
Badan juga menghasilkan toksin daripada proses metabolisme makanan. Jika makanan tidak dicernakan dengan sempurna, bakteria dan yis yang berbahaya boleh berkembang dan boleh menghasilkan bahan sampingan yang bertoksik.

Progam penyahtoksikan yang kerap boleh membantu mengekalkan kesihatan untuk menangani pelbagai masalah kesihatan, sama ada kronik atau tidak.
Terdapat banyak jenis program penyahtoksikan yang berlainan dan boleh berbeza bergantung kepada keperluan individu.

Namun begitu, tujuannya adalah sama iaitu menyingkirkan toksin, memulihkan keperluan nutrien dan menyokong sistem perkumuhan badan.
Penyingkiran toksin bermaksud mengelakkan penambahan toksin kepada sistem dan dalam masa yang sama menggalakkan penyingkiran toksin yang tersedia ada di dalam badan.
Untuk menyahtoksik, individu itu perlu mengelakkan pengambilan kafeina, alkohol, rokok, dadah, makanan terproses dengan pewarna, bahan tambah makanan, perisa dan gula ringkas.
Diet perlu kaya dengan makanan organik yang segar, sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan, air yang mencukupi, daging tanpa lemak dan bijirin penuh.

Serat bukan sahaja meningkatkan kekerapan dan kuantiti najis bahkan mengurangkan penyerapan semula toksin daripada hasil buangan.
Suplemen untuk menyahtoksik
Apabila toksin yang dihasilkan oleh bakteria dan yis berbahaya dalam usus diserap, masalah seperti kembung, jangkitan yis (kandida), penghasilan gas berlebihan, diarea (cirit-birit), sembelit, alahan (alergi) dan masalah kulit akan berlaku.
Ini juga mungkin merupakan penyebab kepada masalah kesihatan yang lain.
Oleh itu, pengimbangan semula flora usus menerusi pengambilan suplemen probiotik adalah penting untuk menyingkirkan mikroorganisma yang berbahaya ini.
Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang bermanfaat dalam mencegah dan menyekat pertumbuhan bakteria berbahaya, membantu dalam pencernaan makanan, menurunkan paras kolesterol dan menghasilkan pelbagai jenis vitamin termasuk vitamin B kompleks dan vitamin K.

Sesetengah jenis bakteria bermanfaat daripada strain Bifidobacteria berupaya menguraikan toksin berbahaya dalam usus yang boleh menyumbang kepada terjadinya kanser.
Bagi memudahkan proses penyahtoksikan, kita perlu mengurangkan beban hati di samping menggalakkan pemulihan fungsinya.
Pemakanan dan herba berperanan penting dalam hal ini. Nutrien antioksidan seperti beta-karotena, vitamin C, E, zink dan selenium melindungi sel hati daripada serangan radikal bebas.
Radikal bebas adalah molekul yang sangat reaktif yang boleh memusnahkan struktur sel, maka ia perlu disingkirkan secara berkesan.

Milk Thistle (Silymarin marianum) adalah herba untuk hati yang mengandungi kumpulan antioksidan yang digelar sebagai silymarin.
Beratus-ratus kajian menunjukkan bahawa herba ini dapat mencegah kerosakan hati dan memulihkannya semula daripada kerosakan akibat alkohol, dadah, hepatitis yang kronik dan pendedahan terhadap bahan kimia toksik.
Bahan buangan yang larut lemak biasanya disingkirkan daripada badan melalui hempedu.
Kajian ke atas manusia dan haiwan menunjukkan bahawa Dandelion (Taraxacum officinale) mempunyai kesan langsung ke atas hati dengan meningkatkan pengaliran hempedu lalu membantu dalam penyingkiran toksin secara berkesan.
Dandelion biasanya digunakan bersama-sama dengan Milk Thistle untuk meningkatkan fungsi hati.

Diet dan gaya hidup
- Kurangkan pengambilan hasil tenusu dan daging sambil mengelakkan makanan ringan
- Makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan segar untuk membantu menyingkirkan toksin secara semula jadi
- Minum lebih cecair, terutamanya air kosong dan jus buah segar
- Mandian stim, sauna dan pengurutan membantu menyingkirkan toksin dalam sel lemak
- Kawal tekanan dengan baik
- Bersenam selalu untuk meningkatkan peredaran darah dan limfa bagi menyingkirkan toksin melalui kulit dan paru-paru.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...